Syurga itu matlamat!

Syurga itu matlamat!

Sunday, December 19, 2010

Hayya 'alas solah

Assalamualaikum,

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Barangsiapa yang memelihara dan mengekalkan solat fardhunya nescaya dimuliakan oleh ALLAH dengan 5 perkara:
1.       Dilapangkan rezekinya pada masa hidupnya
2.       Diringankan azab kuburnya
3.       Diberikan suratan amalnya dengan tangan kanan dan dimudahkan hisabnya
4.       Terselamat di titian Siratulmustaqim
5.       Dimasukkan ke dalam syurga

Barangsiapa yang meninggalkan solat akan diseksa dengan 15 seksaan:

6 seksa di dunia
3 seksa ketika nazak
3 seksa di dalam kubur
3 seksa ketika dibangunkan semula

Di dunia
1.       Tiada berkat hidupnya
2.       Hilang tanda-tanda orang salih daripada mukanya
3.       Tergantung segala pahala daripada amal kebajikannya
4.       Tiada dikabulkan oleh ALLAH doanya
5.       Tiada mendapat doa daripada orang-orang salih
6.       Mati tiada beriman

Ketika nazak
1.       Mati dalam kehinaan
2.       Matinya terasa sangat lapar
3.       Matinya terasa sangat haus/dahaga

Kubur
1.       Disempitkan kuburnya hingga terasa himpitan tanah kuburnya
2.       Kuburnya tersangat panas
3.       Berasa sunyi dan berasa takut yang amat dahsyat

Apabila dihidupkan semula
1.       Dihitamkan mukanya
2.       Dibelenggu dan dirantai oleh malaikat azab
3.       Dipagut oleh ular-ular bisa dari neraka

Pedoman hikmah Al-Syafie untuk direnungi

Assalamualaikum,


Imam Al-Syafie adalah pengasas mazhab Syafie. Nama sebenarnya Muhammad bin Idris Al-Syafie. Beliau dilahirkan pada tahun 105 Hijrah di sebuah bandar bernama Ghizah di Palestin.

Al-Syafie seorang miskin yang kaya dengan semangat dan bercita-cita tinggi dalam menuntut ilmu. Beliau banyak mengembara untuk menimba ilmu.

Imam Syafie dianggap seorang yang dapat memadukan antara hadis dengan fikiran serta membentuk undang-undang fiqh.

Pada permulaannya beliau cenderung dalam bidang sastera dan syair, tetapi mengubah haluan dengan mempelajari ilmu fiqh dan hadis hingga ke kemuncak paling tinggi dalam bidang itu.
Imam Syafie menghafaz al-Quran dengan mudah sejak kecil lagi. Pada waktu itu juga beliau sudah mula menulis hadis.

Beliau sangat tekun mempelajari kaedah dan nahu Bahasa Arab. Untuk tujuan itu, beliau pernah mengembara ke kampung dan tinggal bersama puak Hazyl selama 10 tahun. Kabilah Hazyl paling baik bahasa Arabnya.

Imam Syafie juga banyak menghafaz syair dan qasidah daripada puak Hazyl.

Imam Syafie turut banyak meninggalkan pesanan dan pedoman kepada umat manusia. Nasihatnya bukan sahaja berguna dan relevan pada zaman itu, malah zaman berzaman hingga hari ini.

Empat perkara untuk sihat
1.       Makan daging
2.       Memakai haruman
3.       Kerap mandi
4.       Berpakaian yang diperbuat daripada kapas

Empat perkara melemahkan badan
1.       Terlalu banyak melakukan hubungan kelamin
2.       Selalu cemas
3.       Banyak minum air ketika makan
4.       Banyak makan bahan yang masam

Empat perkara menajamkan mata
1.       Duduk menghadap kiblat
2.       Bercelak sebelum tidur
3.       Memandang yang hijau
4.       Berpakaian bersih

Empat perkara merosakkan mata
1.       Memandang najis
2.       Melihat orang dibunuh
3.       Melihat kemaluan
4.       Membelakangi kiblat

Empat perkara menajamkan fikiran
1.       Tidak banyak berbual kosong
2.       Rajin bersugi
3.       Bercakap dengan orang salih
4.       Bergaul dengan ulama

Empat cara tidur
1.       Tidur Nabi
Terlentang sambil berfikir mengenai kejadian langit dan bumi
2.       Tidur ulama dan ahli ibadah
Mengiring ke kanan memudahkan terjaga untuk solat malam
3.       Tidur raja yang haloba
Mengiring ke kiri untuk mencernakan makanan yang banyak dimakan
4.       Tidur syaitan
Menelungkup seperti tidurnya ahli neraka

Sumber: Berita Harian
Much love,
NJ :)

Paras rupa bukan penentu kewibawaan

Assalamualaikum,


Kisah Julaibib yang hidup pada zaman Nabi Muhammad SAW membawa pelbagai pengajaran berguna untuk umat Islam. Pengalaman dan pengorbanannya dalam sama-sama membantu menegakkan agama ALLAH sentiasa terpahat dalam jiwa umat Islam yang cintakan agamanya.

Diriwayatkan Julaibib seorang Ansar yang kurang menarik dan pendek tubuhnya. Keadaan itu menyebabkannya sukar mendapat jodoh. Tambahan pula keluarganya tidak begitu dikenali.

Rasulullah SAW menyedari masalah yang dihadapi oleh Julaibib. Oleh itu, Baginda berusaha menemukan jodohnya.

Pada suatu hari, Baginda berkata kepada seorang sahabat, “Wahai sahabat, aku meminang anak gadismu.”
Orang itu menjawab, “Dengan senang hati, saya menerima pinangan itu wahai Rasulullah.”

Ternyata, orang itu salah sangka. Dia menyangka Rasulullah sendiri mahu mengahwini anaknya. Sebab itulah dengan mudah dan tanpa difikirkan lagi dia terus menerima pinangan Rasulullah.

Baginda berkata, “Tetapi pinangan ini bukanlah untukku.”

“Jadi untuk siapa?” soalnya dengan rasa terkejut.

“Untuk Julaibib,” jawab Rasulullah ringkas.

“Kalau begitu, biarlah aku berbincang dengan isteriku terlebih dulu,” ujar orang itu pula sebelum pulang ke rumahnya dengan tergesa-gesa.

Di sepanjang perjalanan, dia memikirkan mengenai perbualannya dengan Rasulullah kerana pinangan itu sungguh berat untuk diterima. Ia berikutan Julaibib memang dikenali sebagai seorang lelaki yang hodoh dan ramai yang tidak sanggup bermenantukannya.

Dia juga berat menolak pinangan Rasulullah kerana walaupun sebagai orang tengah, jelas bukan sebarangan orang yang mengemukakan peminangan itu. Sekiranya ditolak, pasti dia dikatakan sebagai seorang memilih dan itu tidak harus dilakukan oleh seorang yang mengaku dirinya Islam dan beriman kepada ALLAH.

Apabila tiba dirumah, dia terus berkata kepada isterinya, “Rasulullah meminang anak gadismu.”

“Benarkah begitu? Saya sungguh berbesar hati menerimanya,” jawab isterinya dengan gembira.

“Tetapi pinangan ini bukanlah untuk Baginda,” jelas orang itu. Dia sedar isterinya juga tersalah anggap seperti dirinya sebelum itu.

“Kalau begitu untuk siapa?” soal isterinya.

“Julaibib,” jawab orang itu.

“Kalau untuk Julaibib, demi ALLAH, aku tidak akan menerimanya,” tegas isterinya.

Jawapan tegas daripada isterinya menyebabkan orang itu malu bertemu semula Rasulullah untuk menyatakan penolakan itu.

Tiba-tiba anaknya muncul lalu bertanya, “Adakah ayah dan ibu akan menolak hajat baik Rasulullah?”

Rupa-rupanya anak gadis itu mendengar perbualan ayah dan ibunya.

Sebagai seorang beriman, dia percaya bahawa apa yang dilakukan oelh Rasulullah itu ada kebaikan.

Katanya, “Beritahulah Baginda, saya menerima peminangan itu. InsyaALLAH Baginda tidak akan melakukan sesuatu yang sia-sia.”

Selepas mendengar keputusan anaknya, orang itu lantas bertemu Rasulullah semula. Katanya kepada Baginda, “Aku menerima pinangan itu.”

Tidak lama selepas itu, Julaibib dan gadis itu dinikahkan.

Baginda mendoakan gadis itu, “Ya ALLAH, berikanlah keberkatan kepada gadis ini. Dan janganlah Engkau biarkan hidupnya dalam kesusahan.”

Wanita itu redha dengan takdir ditetapkan ALLAH yang menentukan jodohnya dengan Julaibib. Ketika ibu bapanya merasakan anaknya tidak layak menikahi Julaibib, wanita itu dengan ikhlas dan rela hati menikahi lelaki yang dipandang rendah oleh keluarganya.

Namun usia perkahwinan mereka tidak lama kerana Julaibib gugur sebagai syahid dalam peperangan bersama Rasulullah. Baginda sendiri turut mengebumikannya. Isterinya menjadi seorang janda terhormat.

Diriwayatkan selepas pertempuran itu, Rasulullah memeriksa orang yang gugur dan sahabat memberitahu Baginda nama mereka.

Mereka terlupa kepada Julaibib hingga namanya tidak disebutkan. Hal ini kerana beliau bukan orang terkenal.
Sebaliknya Rasulullah ingat Julaibib dan tidak melupakannya. Namanya tetap diingat oleh Baginda. Rasulullah sama sekali tidak lupa kepadanya lalu bersabda, “Tetapi aku berasakan kehilangan Julaibib!”

Akhirnya Baginda menemukan jenazahnya dalam keadaan tertutup pasir. Lalu Rasulullah membersihkan pasir daripada wajahnya seraya bersabda sambil menitiskan air mata, “Ternyata engkau membunuh tujuh musuh, kemudian engkau sendiri terbunuh. Engkau termasuk golonganku dan aku termasuk golonganmu, Engkau termasuk golonganku dan aku termasuk golonganmu, Engkau termasuk golonganku dan aku termasuk golonganmu.”

Begitulah pengorbanan Julaibib yang besar pada mata Rasulullah. Jelasnya paras rupa dan kedudukan bukanlah penentu kepada kewibawaan dan keagungan seseorang. Ia hanya faktor luaran yang dipinjamkan sementara oleh ALLAH kepada manusia.

Insan sejati ialah mereka yang benar-benar ikhlas dan melakukan sesuatu perkara semata-mata kerana ALLAH dan ingin mendapat keredhaanNYA.

Sumber: Berita Harian

Much love,
NJ :)

Friday, December 3, 2010

Banyakkan Selawat ke atas Nabi SAW pada hari Jumaat

Assalamualaikum,

ALHAMDULILLAH, kita masih mampu menghirup udara pagi penghulu segala hari, hari Jumaat penuh berbahagia ini. Kali ini aku ingin berkongsi kelebihan berselawat ke atas Nabi SAW pada hari Jumaat. Sebelum ini aku pernah terbaca status hamba-hamba ALLAH di facebook tentang perkara ini, jadi terasa ingin di kongsi di sini. Semoga kita sama-sama memperoleh manfaatnya, AMIN...


Riwayat Ad-Dailami: Sabda Nabi Muhammad s.a.w. :
"Barangsiapa berselawat kepadaku pada hari Jumaat dua ratus selawat, maka diampuni baginya dosa dua ratus tahun. "

Riwayat An-Nasai dan Ibnu Hibban; Sabda Nabi Muhammad s.a.w. :
"Sesungguhnya seutama-utama manusia (orang terdekat) dengan aku pada hari kiamat adalah mereka yang lebih banyak berselawat kepadaku"

Allah mengampunkan dosa-dosa mereka yang berselawat. Rasulullah s.a.w. ada bersabda menyatakan: Siapa berselawat ke atasku pada hari Jumaat lapan puluh kali, diampunkan baginya dosa-dosa selama lapan puluh tahun.

Mendapat perlindungan dan pembelaan daripada Nabi SAW adalah dengan izin ALLAH SWT jua


Barangsiapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, dia akan memperoleh syafaatku pada hari kiamat.

Syafaat Nabi di akhirat ada 5 jenis:

  • Syafaat Nabi untuk membebaskan umat manusia daripada kedahsyatan Padang Mahsyar
  • Syafaat Nabi untuk memasukkan satu kaum ke dalam syurga tanpa hisab dan perhitungan
  • Syafaat kepada kaum setelah dihisab dan diputuskan untuk menerima hukumannya yang setimpal, agar dicabut hukuman itu
  • Syafaat mengeluarkan mereka yang berdosa dari azab neraka
  • Syafaat untuk menaikkan ke tingkat yang lebih tinggi di syurga

Friday, November 26, 2010

Merendahkan KEBESARAN ALLAH...

Ku Yakin Berlaku - Aidil feat. Hafiz Hamidun


Assalamualaikum,

Antara sedar atau tidak, kita seringkali merendahkan KEBESARAN ALLAH (atau pun hanya aku seorang sahaja). Hakikat ini baru aku sedar Hari Raya Aidiladha 1431 yang lalu. Semuanya ilham ALLAH melalui drama 'Ku Yakin Berlaku' di Astro Oasis.

Tersentak rasa hati bila watak anak angkat lakonan Natasha Shiela, kepada Khatijah Tan (dalam drama tersebut-semua watak terlupa, hanya nama pelakon sebenar sahaja ingat) berkata kepada beliau yang selama ini dia fikirkan anak lelaki Khatijah Tan yang kebetulan lakonan Pierre Andre adalah jodoh dia. Apatah lagi Khatijah Tan dalam drama tersebut beria-ia menjodohkan mereka berdua. Tetapi akhirnya Pierre Andre berkahwin dengan watak lakonan Airis Yasmin, seorang yang mempunyai sejarah lampau yang kurang enak. Pertemuannya dengan Pierre Andre berjaya merubah beliau ke arah yang lebih baik.

Khatijah Tan tidak dapat menerima hakikat tersebut, tetapi Natasha Shiela mampu. Kata-kata inilah yang menarik perhatian aku. Katanya selama ini dia telah merendahkan kebesaran ALLAH kerana terlalu yakin Pierre Andre jodohnya lantaran Khatijah Tan juga memberi lampu hijau. Ternyata jodoh adalah kerja ALLAH bukan kerja kita.

Aku sedar juga selama ini aku sering memikirkan kematian menjemput mereka yang tua, ternyata abang aku pergi menemuiNYA 2 minggu selepas hari lahir dia yang ke 29.

Terlalu banyak perkara dalam hidup ini aku terlalu yakin membabi buta, sehingga terlupa KEBESARAN KUASA ALLAH mengatasi segalanya.


Much love,
NJ :)

Thursday, November 25, 2010

Geng Surau



Assalamualaikum,

Kali ini nak kongsi drama bersiri kegemaran aku, Geng Surau huhuhu... Sedutan drama yang share di atas ialah episod pertama sekali tengok. Masa itu baru start cuti Hari Raya Aidilfitri, ada maraton Geng Surau di Astro Oasis. Masa itu siaran Geng Surau dah habis sebenarnya, tapi biasalah ulangan di Astro kan, kalau tak, rugi la subscibers sebab dah bayar tapi tak dapat tengok ;)

Best gila cerita Geng Surau ni! Watak Abu, Ustaz Dahlan Steady memang mantap ;) Paling berkesanlah. Rasanya 2 watak itu paling diingati peminat-peminat Geng Surau. Suka Uddy dengan Razif a.k.a Mayat. Mesej yang baik cuba disampaikan dan mesej yang sampai pada aku ialah kita perlu memberi peluang kedua kepada insan yang sebelum ini pernah membuat kesilapan kerana ALLAH memberi kesempatan kepada mereka untuk bertaubat dan berubah, kenapa tidak kita?

Walauapapun, Steady aku! dan jangan sesekali SBRB huhuhu

Much love,
NJ :)

Wednesday, November 24, 2010

Perantau - Nazrey Johani (feat FarEast, Salleh Brothers, Azhari Nowseehe...



Assalamualaikum,

Aku nak kongsi salah satu nasyid kegemaran, Perantau nyanyian Nazrey Johani (ex-Raihan). Kalau tidak silap lagu ni nyanyian semula Nazrey, tapi tidak diketahui pula penyayi asalnya. Lagu ini sangat mendalam maksudnya, rasa tersentuh hati dengar.

Perantau

Album : Memori The Zikr
Munsyid : Nazrey Johani
http://liriknasyid.com

Perantau musafir perjuangan
Tabahkanlah hatimu
Berjuang di rantau orang
Sedih pilu hanya engaku yang tahu

Ingatlah anak dan isteri
Janganlah menghiris hatimu
Kerinduan desa nan permai
Janganlah melemahkan semangat juangmu

Di waktu ujian badai terus melanda
engkau tetap gigih berjuang
membenarkan sabda junjungan
Terus memburu menuntut janji
Pastilah Islam gemilang lagi

Tapi pejuang kembara perjuangan
Ujian bukan batu penghalang
Kerana itulah syarat dalam berjuang

Oh pejuang
Di mana pun ada ketenangan
Di mana pun ada kebahagiaan
Bila insan kenal pada Tuhan
Kasih sayang dan pembelaan-Nya
bagi insan yang menyerahkan
Jiwa dan raga, anak dan isteri
Kepada Allah


Much love,
NJ :)

Kelip-kelip nan indah...



AlarmMe - Indahnya Alam Ini


Assalamualaikum,

Akhirnya! Akhirnya setelah berumur 23 tahun, dapat juga aku melihat sendiri dengan mata kepala aku sejenis haiwan indah ciptaan ALLAH, kelip-kelip atau kunang-kunang atau firefly. huhuhu ;)

Semalam, lebih kurang pukul 1.30 pagi, aku keluar ke balkoni rumah kolej kediaman, tanpa tujuan tanpa arah (hahaha), tanpa disangka-sangka seekor kelip-kelip terbang ke arah aku dan kemudian pusing berterbangan semula. Macam tahu-tahu saja aku nak tengak dari jarak dekat.

Gembira bukan kepalang rasanya. Tak dapat aku sembunyikan perasaan gembira ini, dengan semua budak rumah aku aku khabarkan. Kelip-kelip ini bercahaya hijau kekuningan. Sungguh indah, SUBHANALLAH.

Much love,

NJ :)

Thursday, November 11, 2010

Harapanku...

Assalamualaikum,

Hari ini aku menolong mak mengemas rumah lama kami untuk disewakan bermula bulan depan. Kira kali ini fasa ketiga kami mengemas rumah tersebut. Bayangkan barang dan habuk rumah yang telah diduduki selama 26 tahun! Fuh jenuh jugalah... Kemas punya kemas barang-barang di bilik lama aku, aku terjumpa yang aku kira sebagai puisi. Tidak aku ingat lagi bersumberkan daripada mana kerana sudah terlalu lama rasanya. Kata-katanya aku kira cukup indah, seperti rintihan seorang hamba ALLAH kepada KhaliqNYA. Kepada pemilik asal puisi ini, izinkan aku berkongsi di sini ya :) Puisi ini bertajuk...

Harapanku

Tuhan, janganlah ibadahku merosakkan aku
Begitu juga janganlah kebaikanku
Aku derhaka denganMU
Ya ALLAH, Jadikanlah kekuranganku menyelamatkan aku
Kelemahanku, aku merendahkan diri denganMU
Dan itulah yang menjadikan Engkau cintakan aku

Ya ALLAH,
Jadikanlah seluruh kebaikanku, untuk keredhaanMU
Bukan hendakkan syurgaMU
Jadikanlah setiap amal kebajikan yang aku buat
Aku sedih dengan kekurangannya
Janganlah kebaikan itu menjadi aku senang dan tenang
Dan hilang takutku denganMU

Aku berlindung dengan Engkau
Ibadahku menghijab di antara Engkau dan aku
Ia jadi bala bagiku, tanpa aku sedari dan tanpa aku tahu
Tuhan, janganlah dengan ibadah dan kebaikan aku
Aku jadi muflis ketika bertemu denganMU

Ya ALLAH, janganlah kepujian dan cercaan
Orang kepadaku, aku jadi berdosa
Tapi jadikanlah keduanya pahala bagiku
Bukan jadi bala kepadaku

Tuhan, Engkau rasakanlah kepadaku
Setiap kali membuat baik aku rasa membuat dosa
Agar aku tidak lagi berbangga dengan kebaikan aku
Bahkan aku lupakan sahaja kebaikan itu
Seolah-olah aku tidak pernah membuat kebaikan
Tuhan,
Selamatkan aku daripada membuat dosa yang memang berdosa
Juga janganlah kebaikanku juga ia menjadi dosa dan derhaka


Much love,
NJ :)

Monday, November 8, 2010

Ganjaran Banyak Berselawat

Assalamualaikum,

Sesungguhnya ALLAH dan para malaikatNYA berselawat (memberi rahmat) kepada Nabi S.A.W (oleh kerana itu) wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu (meminta rahmat) untuk Nabi S.A.W dan ucapkanlah salam dengan penuh penghormatan terhadapnya. -Surah Al-Ahzab ayat 56- 

Bersumberkan daripada At Taiyimi katanya, “Apabila mereka berselawat ke atas Nabi S.A.W, maka malaikat pun turut serta berselawat bersama mereka sehingga mereka selesai berselawat”.
·          
  • Satu kali selawat, ALLAH membalas dengan 10 kali selawat untuknya. 
  • Satu kali selawat, ALLAH mengangkatnya dengan 10 darjat. 
  • Malaikat juga akan turut membaca selawat ke atas orang yang membaca selawat untuk Rasulullah S.A.W.
  • Doa yang disertai dengan selawat diperkenankan ALLAH TAALA tetapi doa yang tidak disertai dengan selawat ia tergantung di antara langit dan bumi.
  • Mendapat tempat yang dekat dengan Rasulullah S.A.W pada hari kiamat nanti.
  • Mendapat syafaat daripada Rasulullah S.A.W pada hari kiamat nanti. 
  • ALLAH menggandakan limpah kurnia dan rahmatNYA kepada mereka yang berselawat ke atas Nabi S.A.W. 
  • Membersihkan hati, jiwa dan roh kotor yang berselaput di dalam dada.
  • Membuktikan kecintaan dan kasih saying terhadap Rasulullah S.A.W. 
  • Mewariskan kecintaan Rasulullah S.A.W terhadap umatnya.
  • Akan terselamat dan terpelihara daripada segala perkara yang mendukacitakan dari hal keduniaan mahupun akhirat.
Untuk aku dan semua, Selamat Beramal!

Much love,
NJ :) 

Wednesday, November 3, 2010

Jejak Kasih + Tuhan Manusia


Assalamualaikum,
Setelah hampir sekian lama mengharap dan lebih setahun merancang, akhirnya pertemuan semula dengan sahabat lama, Nurul Afifah menjadi kenyataan, setelah hampir 11 tahun tidak ketemu. Pertemuan ini membawa kepada kegembiraan yang lain juga, apabila aku dapat kembali semula ke Midvalley seterusnya ke MPH! Seronok berganda kerana tempat di mana aku berasal, kebanyakkannya ialah kedai buku yang menumpu kepada bahan bacaan komersial.

Aku sempat membeli 3 buah buku (ALHAMDULILLAH). Walaupun sebenarnya aku ingin memborong lebih daripada itu, faham-faham sajalah kenapa… ;)

Berbalik kepada jejak kasih, ternyata Afifah tidak banyak berubah daripada segi sikap, tetapi fizikal, ya. Afifah sekarang jauh lebih tinggi, sebenarnya dari dulu lagi dia memang tinggi hehehe. Muka dia juga lain sedikit, maklumlah umur pun sudah berapa sekarang berbanding kali terakhir berjumpa dulu, ketika darjah 6!

Seronok rasanya dapat berkumpul semula walaupun hanya bertiga, aku, Afifah dan Nadia. Kalau hendak diikutkan, geng kami masa darjah 6 dulu 7 orang semuanya. Baki 4 orang lagi ialah Ain, Puteri, Hidayah dan Syafiqa. Jarak, umur dan tahap kepandaian memisahkan kami semua. Secara konsistennya yang masih selalu bersama ialah aku, Ain dan Nadia kerana ALLAH mentakdirkan kami tinggal berdekatan antara satu sama lain. 


Okay, kali ini aku ingin berkongsi buku terbaru yang aku baca tulisan Faisal Tehrani. Aku sudah jatuh cinta dengan buku tulisan Faisal Tehrani sejak Tunggu Teduh Dulu. Gaya bahasa dan tema cerita yang ditonjolkan memenuhi cita rasa aku selain tulisan Dzul Karnain Ithnain yang terkenal dengan novel komponen sastera tingkatan 2, Tragedi 4 Disember. Buku terbaru yang dimaksudkan ialah Tuhan Manusia. Sejujurnya aku tak pandai membuat sipnosis. Jadi aku salin semula sipnosis di belakang buku ini.

Novel ‘Tuhan Manusia’ menyelami kehalusan jiwa dan akal seorang adik yang cuba memahami kemurtadan abangnya. Maka terbentanglah panorama pemikiran manusia yang mencabar hakikat ketuhanan.

Novel ini sangat mengharukan. Aku menangis semasa membaca novel ini. Sejujurnya, novel ini agak berat bagi aku yang sangat kurang ilmu agama dan hal ehwal semasa. Kepada sesiapa pun, aku cadangkan untuk membaca novel ini, semoga sama-sama memperoleh manfaatnya ;)

Akhir sekali, aku nak kongsi 2 potong ayat suci Al-Quran sebagai renungan bersama, yang juga menjadi renungan di dalam novel ini.

Berapalah banyak kota yang Kami telah membinasakannya, yang penduduknya dalam keadaan zalim, maka (tembok-tembok) kota itu roboh menutupi atap-atapnya dan (berapa banyak pula) sumur yang telah ditinggalkan dan istana yang tinggi. Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada. -Al-Hajj ayat 45 & 46-

Much love,
NJ :) 

Friday, October 29, 2010

Andai Isnin bukan lagi milikku...

Assalamualaikum,

Study week kembali lagi untuk semester ini. Study week kali ni menggamit kenangan semester lepas, ketika study week, arwah abang aku kembali ke Rahmatullah pada 12 April 2010. Semoga ALLAH cucuri rahmatNYA ke atas roh Amiruddin Bin Jemain. AMIN...

Hari ini, Jumaat, tapi pada 9 April yang lalu, penghulu segala hari, abang mula rasa sakit perut teruk. Emak risau yang amat. Abang tidak boleh buang air besar dan membuang angin. Mulanya abang ke hospital tapi hanya diberikan ubat, tapi kerana sakit yang tidak berkurang, abang pergi lagi ke hospital dengan bantuan kawan serumahnya, atas nasihat mak. Kali ni, abang di tahan wad.

Pagi Sabtu aku dikejutkan dengan sms daripada adik yang abang dimasukkan wad sebab sakit perut. Aku jadi fobia kerana belum cukup lagi 3 bulan arwah abah pergi meninggalkan kami. Janganlah amir pula yang menuruti... Mengejutkan kerana adik sangat susah hati lantaran melihat mak yang kegelisahan. Aku yang jauh dari rumah ini lagi la... Aku terus telefon akak yang sudah pergi melawat abang di hospital, akak meyakinkan abang tidak apa-apa tapi nada suara akak tidak meyakinkan...

Pagi Ahad, mak dan adik ke Johor Bahru kerana keadaan abang tidak berkurang. Berkemungkinan abang akan dibedah. Kali ini jiwaku runtun kembali mendengar suara adik menangis setelah melihat keadaan abang di hospital. Kata akak, abang da macam abah dulu, wayar berselirat dan bergantung kepada alat saluran pernafasan. Hati adik mana yang tidak luruh mendengar... :'( Akak pesan, kalau boleh tidak perlu bercakap dengan abang, sebab kasihan melihat keadaannya begitu...

Malam ahad, 11 April 2010, aku telefon mak yang menjaga abang di hospital, aku mengirim salam kepada abang dan mendoakan pembedahan yang dijadual esok berjalan lancar dan abang akan kembali sihat semula. Tambah-tambah majlis pertunangan abang akan dijalankan pada 17 April, Sabtu berikutnya. Walaupun hati meronta-ronta nak cakap dengan abang, tapi aku pendamkan sahaja hasrat tersebut...

Malam itu, aku tidur awal untuk bangun awal, kononnya hendak study. Lebih kurang jam 4.50 pagi, telefon aku yang berbunyi aku sangkakan jam yang aku sudah set untuk bangun. Syukurlah tergerak hati untuk melihat, kerana selalunya aku terus tutup sahaja jam yang berbunyi. Berderau darah melihat nama akak yang tertera di skrin telefon. Panggilan telefon awal-awal pagi biasanya bukan panggilan biasa, tepatlah bagai di sangka. Terngiang-ngiang lagi kata-kata akak, "Nim, amir da tak de..." Abang pergi sebelum sempat pembedahan dijalankan.

Aku terduduk... tak ada lagi kata-kata yang keluar, hanya raungan. Roomate aku terbangun dan menenangkan aku. Rasa nak pitam pun ada. Aku hanya cakap, "Dila, abang da tak de, abah baru je pegi..."

Menurut sijil kematian, abang pergi kerana 'Hypovolcemic Shock Secondary To Bleeding Peptic Ulcer Disease'. Menurut mak, pesara penolong jururawat, perkataan 'Hypovolcemic' itu salah ejaan, faham-faham sahajalah apa yang selalu orang kaitkan bentuk tulisan doktor... Sehinggakan pegawai yang menaip sijil kematian ni salah eja :) Tapi perkataan sebenarnya sudahlah aku lupa... erm...

Punca kematian sebenar tidak pasti kerana post-mortem tidak kami semua benarkan dijalankan ke atas abang. Dia sudah pergi, sudahlah, tidak perlu lagi menyeksa...

Kehilangan yang sangat perit sekali lagi aku rasakan tahun ini. Arwah abah dan abang sangat rapat dengan aku. Kami bertiga menurut ramai orang memang mempunyai iras. Kulit gelap dan mata sepet. Arwah abah selalu menangkan dan manjakan aku. Arwah abang pula selalu berkongsi rahsianya dengan aku. Mereka pergi juga kerana penyakit yang melibatkan organ perut. Perut organ ke? Entah aku tak belajar biologi dan tak minat subjek Sains. Raya tahun sudah, 1430 Hijrah, kami menggunakan tiga kereta, macam biasa, aku, abang dan abah dalam satu kereta yang sama.

Hari ini, hari Jumaat, apakah rasanya andai Isnin yang bakal mendatang bukan lagi milik aku... Itulah yang selalu aku fikirkan kerana kita selalu menanti sesuatu menjangkaui hari Isnin, seperti aku sekarang ini yang menanti hari Rabu untuk bertemu dengan anak-anak buah yang disayangi. Arwah abang aku menantikan hari Sabtu, hari bahagia untuk bertunang dengan pilihan hati, tetapi maut menjemput terlebih dahulu.

Much love,
NJ :)

Tuesday, October 26, 2010

Tunggu Teduh Dulu - meninggalkan kesan mendalam...

Dengan nama ALLAH yang MAHA PENGASIH dan MAHA PENYAYANG...

Assalamualaikum,

Untuk post pertama ni, nak kongsi novel yang memberi kesan sangat-sangat mendalam dalam diri... Watak Salsabila Fahim terasa dekat dengan diri bagi beberapa keadaan. Pertamanya, Salsabila kematian ayah, dia jadi sangat rindu ayahnya, itulah yang aku rasa setiap masa dalam hidup ini sejak 6 Januari 2010 dan kematian ibu tirinya yang sebelum ini menghidapi kanser-yang apabila tersentuh soal kimoterapi, hospitalized, aku jadi sangat sayu...terkenangkan arwah abah yang pergi kerana kanser usus besar. Semoga ALLAH mencucuri rahmat atas arwah abah, Jemain Bin Abu Bakar. AMIN...

Seperti Ayat-ayat Cinta, Nostalgia Padang dan Catatan Dari Laut, dan kini Tunggu Teduh Dulu, membuat aku rasa cool jadi 'baik' ni. 'Baik' dari erti kata taat akan perintah ALLAH :) Jangan salah sangka, bukan selama ini aku mengganggap hamba ALLAH yang alim ini tak cool, cuma mindset yang dibina sejak kecil oleh persekitaran bahawa mereka ini 'skema'.

Biarlah aku kongsi beberapa petikan daripada novel ini, sebagai renungan kita bersama.

Kita mesti memerdekakan diri kita daripada rasa terikat, terlekat dan terlalu memiliki ~Teh Sofia,Dendy,Sazli~

Islam itu lima perkara, iman itu enam, dan ihsan itu ialah merasai Tuhan ada di mana-mana ~Sazli~

Maaf-memaafkan, begitu anjuran agama. Kemaafan itu hanya hadir daripada kelakuan nafsu mutmainnah. Keras hati dan tidak mahu memaafkan itu datang daripada nafsu amarah ~Salsabila~

Kerja Tuhan membalikkan hati manusia sangat mudah ~Salsabila~

Much love,
NJ :)