Syurga itu matlamat!

Syurga itu matlamat!

Friday, October 29, 2010

Andai Isnin bukan lagi milikku...

Assalamualaikum,

Study week kembali lagi untuk semester ini. Study week kali ni menggamit kenangan semester lepas, ketika study week, arwah abang aku kembali ke Rahmatullah pada 12 April 2010. Semoga ALLAH cucuri rahmatNYA ke atas roh Amiruddin Bin Jemain. AMIN...

Hari ini, Jumaat, tapi pada 9 April yang lalu, penghulu segala hari, abang mula rasa sakit perut teruk. Emak risau yang amat. Abang tidak boleh buang air besar dan membuang angin. Mulanya abang ke hospital tapi hanya diberikan ubat, tapi kerana sakit yang tidak berkurang, abang pergi lagi ke hospital dengan bantuan kawan serumahnya, atas nasihat mak. Kali ni, abang di tahan wad.

Pagi Sabtu aku dikejutkan dengan sms daripada adik yang abang dimasukkan wad sebab sakit perut. Aku jadi fobia kerana belum cukup lagi 3 bulan arwah abah pergi meninggalkan kami. Janganlah amir pula yang menuruti... Mengejutkan kerana adik sangat susah hati lantaran melihat mak yang kegelisahan. Aku yang jauh dari rumah ini lagi la... Aku terus telefon akak yang sudah pergi melawat abang di hospital, akak meyakinkan abang tidak apa-apa tapi nada suara akak tidak meyakinkan...

Pagi Ahad, mak dan adik ke Johor Bahru kerana keadaan abang tidak berkurang. Berkemungkinan abang akan dibedah. Kali ini jiwaku runtun kembali mendengar suara adik menangis setelah melihat keadaan abang di hospital. Kata akak, abang da macam abah dulu, wayar berselirat dan bergantung kepada alat saluran pernafasan. Hati adik mana yang tidak luruh mendengar... :'( Akak pesan, kalau boleh tidak perlu bercakap dengan abang, sebab kasihan melihat keadaannya begitu...

Malam ahad, 11 April 2010, aku telefon mak yang menjaga abang di hospital, aku mengirim salam kepada abang dan mendoakan pembedahan yang dijadual esok berjalan lancar dan abang akan kembali sihat semula. Tambah-tambah majlis pertunangan abang akan dijalankan pada 17 April, Sabtu berikutnya. Walaupun hati meronta-ronta nak cakap dengan abang, tapi aku pendamkan sahaja hasrat tersebut...

Malam itu, aku tidur awal untuk bangun awal, kononnya hendak study. Lebih kurang jam 4.50 pagi, telefon aku yang berbunyi aku sangkakan jam yang aku sudah set untuk bangun. Syukurlah tergerak hati untuk melihat, kerana selalunya aku terus tutup sahaja jam yang berbunyi. Berderau darah melihat nama akak yang tertera di skrin telefon. Panggilan telefon awal-awal pagi biasanya bukan panggilan biasa, tepatlah bagai di sangka. Terngiang-ngiang lagi kata-kata akak, "Nim, amir da tak de..." Abang pergi sebelum sempat pembedahan dijalankan.

Aku terduduk... tak ada lagi kata-kata yang keluar, hanya raungan. Roomate aku terbangun dan menenangkan aku. Rasa nak pitam pun ada. Aku hanya cakap, "Dila, abang da tak de, abah baru je pegi..."

Menurut sijil kematian, abang pergi kerana 'Hypovolcemic Shock Secondary To Bleeding Peptic Ulcer Disease'. Menurut mak, pesara penolong jururawat, perkataan 'Hypovolcemic' itu salah ejaan, faham-faham sahajalah apa yang selalu orang kaitkan bentuk tulisan doktor... Sehinggakan pegawai yang menaip sijil kematian ni salah eja :) Tapi perkataan sebenarnya sudahlah aku lupa... erm...

Punca kematian sebenar tidak pasti kerana post-mortem tidak kami semua benarkan dijalankan ke atas abang. Dia sudah pergi, sudahlah, tidak perlu lagi menyeksa...

Kehilangan yang sangat perit sekali lagi aku rasakan tahun ini. Arwah abah dan abang sangat rapat dengan aku. Kami bertiga menurut ramai orang memang mempunyai iras. Kulit gelap dan mata sepet. Arwah abah selalu menangkan dan manjakan aku. Arwah abang pula selalu berkongsi rahsianya dengan aku. Mereka pergi juga kerana penyakit yang melibatkan organ perut. Perut organ ke? Entah aku tak belajar biologi dan tak minat subjek Sains. Raya tahun sudah, 1430 Hijrah, kami menggunakan tiga kereta, macam biasa, aku, abang dan abah dalam satu kereta yang sama.

Hari ini, hari Jumaat, apakah rasanya andai Isnin yang bakal mendatang bukan lagi milik aku... Itulah yang selalu aku fikirkan kerana kita selalu menanti sesuatu menjangkaui hari Isnin, seperti aku sekarang ini yang menanti hari Rabu untuk bertemu dengan anak-anak buah yang disayangi. Arwah abang aku menantikan hari Sabtu, hari bahagia untuk bertunang dengan pilihan hati, tetapi maut menjemput terlebih dahulu.

Much love,
NJ :)

Tuesday, October 26, 2010

Tunggu Teduh Dulu - meninggalkan kesan mendalam...

Dengan nama ALLAH yang MAHA PENGASIH dan MAHA PENYAYANG...

Assalamualaikum,

Untuk post pertama ni, nak kongsi novel yang memberi kesan sangat-sangat mendalam dalam diri... Watak Salsabila Fahim terasa dekat dengan diri bagi beberapa keadaan. Pertamanya, Salsabila kematian ayah, dia jadi sangat rindu ayahnya, itulah yang aku rasa setiap masa dalam hidup ini sejak 6 Januari 2010 dan kematian ibu tirinya yang sebelum ini menghidapi kanser-yang apabila tersentuh soal kimoterapi, hospitalized, aku jadi sangat sayu...terkenangkan arwah abah yang pergi kerana kanser usus besar. Semoga ALLAH mencucuri rahmat atas arwah abah, Jemain Bin Abu Bakar. AMIN...

Seperti Ayat-ayat Cinta, Nostalgia Padang dan Catatan Dari Laut, dan kini Tunggu Teduh Dulu, membuat aku rasa cool jadi 'baik' ni. 'Baik' dari erti kata taat akan perintah ALLAH :) Jangan salah sangka, bukan selama ini aku mengganggap hamba ALLAH yang alim ini tak cool, cuma mindset yang dibina sejak kecil oleh persekitaran bahawa mereka ini 'skema'.

Biarlah aku kongsi beberapa petikan daripada novel ini, sebagai renungan kita bersama.

Kita mesti memerdekakan diri kita daripada rasa terikat, terlekat dan terlalu memiliki ~Teh Sofia,Dendy,Sazli~

Islam itu lima perkara, iman itu enam, dan ihsan itu ialah merasai Tuhan ada di mana-mana ~Sazli~

Maaf-memaafkan, begitu anjuran agama. Kemaafan itu hanya hadir daripada kelakuan nafsu mutmainnah. Keras hati dan tidak mahu memaafkan itu datang daripada nafsu amarah ~Salsabila~

Kerja Tuhan membalikkan hati manusia sangat mudah ~Salsabila~

Much love,
NJ :)