Syurga itu matlamat!

Syurga itu matlamat!

Sunday, December 19, 2010

Hayya 'alas solah

Assalamualaikum,

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Barangsiapa yang memelihara dan mengekalkan solat fardhunya nescaya dimuliakan oleh ALLAH dengan 5 perkara:
1.       Dilapangkan rezekinya pada masa hidupnya
2.       Diringankan azab kuburnya
3.       Diberikan suratan amalnya dengan tangan kanan dan dimudahkan hisabnya
4.       Terselamat di titian Siratulmustaqim
5.       Dimasukkan ke dalam syurga

Barangsiapa yang meninggalkan solat akan diseksa dengan 15 seksaan:

6 seksa di dunia
3 seksa ketika nazak
3 seksa di dalam kubur
3 seksa ketika dibangunkan semula

Di dunia
1.       Tiada berkat hidupnya
2.       Hilang tanda-tanda orang salih daripada mukanya
3.       Tergantung segala pahala daripada amal kebajikannya
4.       Tiada dikabulkan oleh ALLAH doanya
5.       Tiada mendapat doa daripada orang-orang salih
6.       Mati tiada beriman

Ketika nazak
1.       Mati dalam kehinaan
2.       Matinya terasa sangat lapar
3.       Matinya terasa sangat haus/dahaga

Kubur
1.       Disempitkan kuburnya hingga terasa himpitan tanah kuburnya
2.       Kuburnya tersangat panas
3.       Berasa sunyi dan berasa takut yang amat dahsyat

Apabila dihidupkan semula
1.       Dihitamkan mukanya
2.       Dibelenggu dan dirantai oleh malaikat azab
3.       Dipagut oleh ular-ular bisa dari neraka

Pedoman hikmah Al-Syafie untuk direnungi

Assalamualaikum,


Imam Al-Syafie adalah pengasas mazhab Syafie. Nama sebenarnya Muhammad bin Idris Al-Syafie. Beliau dilahirkan pada tahun 105 Hijrah di sebuah bandar bernama Ghizah di Palestin.

Al-Syafie seorang miskin yang kaya dengan semangat dan bercita-cita tinggi dalam menuntut ilmu. Beliau banyak mengembara untuk menimba ilmu.

Imam Syafie dianggap seorang yang dapat memadukan antara hadis dengan fikiran serta membentuk undang-undang fiqh.

Pada permulaannya beliau cenderung dalam bidang sastera dan syair, tetapi mengubah haluan dengan mempelajari ilmu fiqh dan hadis hingga ke kemuncak paling tinggi dalam bidang itu.
Imam Syafie menghafaz al-Quran dengan mudah sejak kecil lagi. Pada waktu itu juga beliau sudah mula menulis hadis.

Beliau sangat tekun mempelajari kaedah dan nahu Bahasa Arab. Untuk tujuan itu, beliau pernah mengembara ke kampung dan tinggal bersama puak Hazyl selama 10 tahun. Kabilah Hazyl paling baik bahasa Arabnya.

Imam Syafie juga banyak menghafaz syair dan qasidah daripada puak Hazyl.

Imam Syafie turut banyak meninggalkan pesanan dan pedoman kepada umat manusia. Nasihatnya bukan sahaja berguna dan relevan pada zaman itu, malah zaman berzaman hingga hari ini.

Empat perkara untuk sihat
1.       Makan daging
2.       Memakai haruman
3.       Kerap mandi
4.       Berpakaian yang diperbuat daripada kapas

Empat perkara melemahkan badan
1.       Terlalu banyak melakukan hubungan kelamin
2.       Selalu cemas
3.       Banyak minum air ketika makan
4.       Banyak makan bahan yang masam

Empat perkara menajamkan mata
1.       Duduk menghadap kiblat
2.       Bercelak sebelum tidur
3.       Memandang yang hijau
4.       Berpakaian bersih

Empat perkara merosakkan mata
1.       Memandang najis
2.       Melihat orang dibunuh
3.       Melihat kemaluan
4.       Membelakangi kiblat

Empat perkara menajamkan fikiran
1.       Tidak banyak berbual kosong
2.       Rajin bersugi
3.       Bercakap dengan orang salih
4.       Bergaul dengan ulama

Empat cara tidur
1.       Tidur Nabi
Terlentang sambil berfikir mengenai kejadian langit dan bumi
2.       Tidur ulama dan ahli ibadah
Mengiring ke kanan memudahkan terjaga untuk solat malam
3.       Tidur raja yang haloba
Mengiring ke kiri untuk mencernakan makanan yang banyak dimakan
4.       Tidur syaitan
Menelungkup seperti tidurnya ahli neraka

Sumber: Berita Harian
Much love,
NJ :)

Paras rupa bukan penentu kewibawaan

Assalamualaikum,


Kisah Julaibib yang hidup pada zaman Nabi Muhammad SAW membawa pelbagai pengajaran berguna untuk umat Islam. Pengalaman dan pengorbanannya dalam sama-sama membantu menegakkan agama ALLAH sentiasa terpahat dalam jiwa umat Islam yang cintakan agamanya.

Diriwayatkan Julaibib seorang Ansar yang kurang menarik dan pendek tubuhnya. Keadaan itu menyebabkannya sukar mendapat jodoh. Tambahan pula keluarganya tidak begitu dikenali.

Rasulullah SAW menyedari masalah yang dihadapi oleh Julaibib. Oleh itu, Baginda berusaha menemukan jodohnya.

Pada suatu hari, Baginda berkata kepada seorang sahabat, “Wahai sahabat, aku meminang anak gadismu.”
Orang itu menjawab, “Dengan senang hati, saya menerima pinangan itu wahai Rasulullah.”

Ternyata, orang itu salah sangka. Dia menyangka Rasulullah sendiri mahu mengahwini anaknya. Sebab itulah dengan mudah dan tanpa difikirkan lagi dia terus menerima pinangan Rasulullah.

Baginda berkata, “Tetapi pinangan ini bukanlah untukku.”

“Jadi untuk siapa?” soalnya dengan rasa terkejut.

“Untuk Julaibib,” jawab Rasulullah ringkas.

“Kalau begitu, biarlah aku berbincang dengan isteriku terlebih dulu,” ujar orang itu pula sebelum pulang ke rumahnya dengan tergesa-gesa.

Di sepanjang perjalanan, dia memikirkan mengenai perbualannya dengan Rasulullah kerana pinangan itu sungguh berat untuk diterima. Ia berikutan Julaibib memang dikenali sebagai seorang lelaki yang hodoh dan ramai yang tidak sanggup bermenantukannya.

Dia juga berat menolak pinangan Rasulullah kerana walaupun sebagai orang tengah, jelas bukan sebarangan orang yang mengemukakan peminangan itu. Sekiranya ditolak, pasti dia dikatakan sebagai seorang memilih dan itu tidak harus dilakukan oleh seorang yang mengaku dirinya Islam dan beriman kepada ALLAH.

Apabila tiba dirumah, dia terus berkata kepada isterinya, “Rasulullah meminang anak gadismu.”

“Benarkah begitu? Saya sungguh berbesar hati menerimanya,” jawab isterinya dengan gembira.

“Tetapi pinangan ini bukanlah untuk Baginda,” jelas orang itu. Dia sedar isterinya juga tersalah anggap seperti dirinya sebelum itu.

“Kalau begitu untuk siapa?” soal isterinya.

“Julaibib,” jawab orang itu.

“Kalau untuk Julaibib, demi ALLAH, aku tidak akan menerimanya,” tegas isterinya.

Jawapan tegas daripada isterinya menyebabkan orang itu malu bertemu semula Rasulullah untuk menyatakan penolakan itu.

Tiba-tiba anaknya muncul lalu bertanya, “Adakah ayah dan ibu akan menolak hajat baik Rasulullah?”

Rupa-rupanya anak gadis itu mendengar perbualan ayah dan ibunya.

Sebagai seorang beriman, dia percaya bahawa apa yang dilakukan oelh Rasulullah itu ada kebaikan.

Katanya, “Beritahulah Baginda, saya menerima peminangan itu. InsyaALLAH Baginda tidak akan melakukan sesuatu yang sia-sia.”

Selepas mendengar keputusan anaknya, orang itu lantas bertemu Rasulullah semula. Katanya kepada Baginda, “Aku menerima pinangan itu.”

Tidak lama selepas itu, Julaibib dan gadis itu dinikahkan.

Baginda mendoakan gadis itu, “Ya ALLAH, berikanlah keberkatan kepada gadis ini. Dan janganlah Engkau biarkan hidupnya dalam kesusahan.”

Wanita itu redha dengan takdir ditetapkan ALLAH yang menentukan jodohnya dengan Julaibib. Ketika ibu bapanya merasakan anaknya tidak layak menikahi Julaibib, wanita itu dengan ikhlas dan rela hati menikahi lelaki yang dipandang rendah oleh keluarganya.

Namun usia perkahwinan mereka tidak lama kerana Julaibib gugur sebagai syahid dalam peperangan bersama Rasulullah. Baginda sendiri turut mengebumikannya. Isterinya menjadi seorang janda terhormat.

Diriwayatkan selepas pertempuran itu, Rasulullah memeriksa orang yang gugur dan sahabat memberitahu Baginda nama mereka.

Mereka terlupa kepada Julaibib hingga namanya tidak disebutkan. Hal ini kerana beliau bukan orang terkenal.
Sebaliknya Rasulullah ingat Julaibib dan tidak melupakannya. Namanya tetap diingat oleh Baginda. Rasulullah sama sekali tidak lupa kepadanya lalu bersabda, “Tetapi aku berasakan kehilangan Julaibib!”

Akhirnya Baginda menemukan jenazahnya dalam keadaan tertutup pasir. Lalu Rasulullah membersihkan pasir daripada wajahnya seraya bersabda sambil menitiskan air mata, “Ternyata engkau membunuh tujuh musuh, kemudian engkau sendiri terbunuh. Engkau termasuk golonganku dan aku termasuk golonganmu, Engkau termasuk golonganku dan aku termasuk golonganmu, Engkau termasuk golonganku dan aku termasuk golonganmu.”

Begitulah pengorbanan Julaibib yang besar pada mata Rasulullah. Jelasnya paras rupa dan kedudukan bukanlah penentu kepada kewibawaan dan keagungan seseorang. Ia hanya faktor luaran yang dipinjamkan sementara oleh ALLAH kepada manusia.

Insan sejati ialah mereka yang benar-benar ikhlas dan melakukan sesuatu perkara semata-mata kerana ALLAH dan ingin mendapat keredhaanNYA.

Sumber: Berita Harian

Much love,
NJ :)

Friday, December 3, 2010

Banyakkan Selawat ke atas Nabi SAW pada hari Jumaat

Assalamualaikum,

ALHAMDULILLAH, kita masih mampu menghirup udara pagi penghulu segala hari, hari Jumaat penuh berbahagia ini. Kali ini aku ingin berkongsi kelebihan berselawat ke atas Nabi SAW pada hari Jumaat. Sebelum ini aku pernah terbaca status hamba-hamba ALLAH di facebook tentang perkara ini, jadi terasa ingin di kongsi di sini. Semoga kita sama-sama memperoleh manfaatnya, AMIN...


Riwayat Ad-Dailami: Sabda Nabi Muhammad s.a.w. :
"Barangsiapa berselawat kepadaku pada hari Jumaat dua ratus selawat, maka diampuni baginya dosa dua ratus tahun. "

Riwayat An-Nasai dan Ibnu Hibban; Sabda Nabi Muhammad s.a.w. :
"Sesungguhnya seutama-utama manusia (orang terdekat) dengan aku pada hari kiamat adalah mereka yang lebih banyak berselawat kepadaku"

Allah mengampunkan dosa-dosa mereka yang berselawat. Rasulullah s.a.w. ada bersabda menyatakan: Siapa berselawat ke atasku pada hari Jumaat lapan puluh kali, diampunkan baginya dosa-dosa selama lapan puluh tahun.

Mendapat perlindungan dan pembelaan daripada Nabi SAW adalah dengan izin ALLAH SWT jua


Barangsiapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, dia akan memperoleh syafaatku pada hari kiamat.

Syafaat Nabi di akhirat ada 5 jenis:

  • Syafaat Nabi untuk membebaskan umat manusia daripada kedahsyatan Padang Mahsyar
  • Syafaat Nabi untuk memasukkan satu kaum ke dalam syurga tanpa hisab dan perhitungan
  • Syafaat kepada kaum setelah dihisab dan diputuskan untuk menerima hukumannya yang setimpal, agar dicabut hukuman itu
  • Syafaat mengeluarkan mereka yang berdosa dari azab neraka
  • Syafaat untuk menaikkan ke tingkat yang lebih tinggi di syurga