Syurga itu matlamat!

Syurga itu matlamat!

Saturday, April 23, 2011

Terima kasih emak!


Assalamualaikum,
Di sini, aku ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada emak yang selama ini menjadi kalau boleh pinjam istilah Bahasa Inggeris, guardian angel, kepada aku dan adik-beradik yang lain. Terima kasih mak, tidak seberapa penghargaan ini jika ingin dibandingkan dengan pengorbanan mak selama ini :’( (sedihlah pulak rasa…)

Jika hendak diselak semula susur galur hubungan kami, boleh dikatakan aku amat rapat dengan emak sebelum adik bongsu aku lahir. Beza umur aku dengan adik 5 tahun. Jadi memang aku manja dengan emak dan abah. Manja dengan abah kerana emak bekerja, jadi pekerjaan abah sebagai Tukang Masak di hospital yang fleksibel menyebabkan aku banyak meluangkan masa dengan abah. Ingat lagi dulu, kehulu kehilir dengan abah. Hampir setiap pagi pekena Roti Tempayan yang besar, putih dan gebu itu di warung mamak, sebab dulu Sekolah Kebangsaan sebelah petang dan sebelum aku mula Sekolah Agama semasa darjah dua Sekolah Kebangsaan.

Hendak dijadikan cerita, selepas kelahiran adik bongsu aku, hubungan dengan emak terasa makin jauh, apa lagi nak bermanja-manja macam dulu. Emak lebih banyak fokus kepada adik, memang fitrahlah kan anak bongsu mendapat perhatian lebih daripada emak. Aku sudah lebih kepada abah. Lagipun kami seiras, aku memang anak abah J

ALLAH MAHA BERKUASA, ahli keluarga yang aku paling rapat, arwah abah dengan arwah abang aku, amir, pergi dulu menemuiNYA. Memang terasa perit, tetapi aku kena redha. Masa mula-mula mereka pergi dulu, aku memang lost. Bukan tidak hargai ahli keluarga lain yang masih ada, cuma aku berkongsi hampir semua cerita dengan arwah abang, dialah tempat aku mengadu, bertanya itu ini dan kaunselor terbaik aku.  Antara hikmah pemergian mereka ialah aku kembali rapat dengan emak. Entah macam mana aku kembali bercerita dengan mak macam-macam cerita. Kalau dulu memang aku akui, emaklah orang terakhir aku fikirkan untuk berkongsi cerita.

Emak, walau apa pun kisahnya, anim tetap sayang emak sangat-sangat. Jasa bakti mak pada anim, akak, amir, ejam, daya, rauqah, marsya dan terutama pada abah dulu memang besar dan tidak terbalas. Abah pun dulu selalu puji mak bila bercerita dengan anim. Abah cakap mak memang terbaik, sabar dengan sakit abah, selang 2 minggu redha tidur kat hospital 4 hari 4 malam untuk rawatan kimoterapi abah… Emak isteri yang beruntung kerana mendapat redha suami sebelum dia pergi buat selama-lamanya… Emak jugalah yang bersama di sisi abah dan amir di saat-saat akhir mereka pergi. Jujur aku katakan, aku juga mahu saat-saat akhir aku di sisi emak, aku mahu mak yang mengajar aku menyebut nama ALLAH ketika sakaratul maut aku…

Emak, maafkanlah dosa-dosa anim pada mak selama ini. Redhalah makan, minum dan perbuatan anim pada mak selama ini. Anim nak jumpa mak lagi di akhirat nanti. Semoga kita sekelurga layak menghuni syurga ALLAH. AMIN…

Duhai Bonda - Nowseeheart

Bagai kerdipan lilin yang berkilau, bercahaya
Menggantikan mentari terangi malam nan gelita
Membakar diri pun membeikan cahaya
Membiar diri musnah terlebur
Korban segalanya penuh rela

Biar dimamah arus usia

Tidak pernah kenal derita
Bagai sungai kasih yang mengalir
Tiada penghentiannya, tak bertebing

Duhai ibunda kaulah anugerah istimewa

Berkorban jiwa raga redahi hidup nan mencabar
Berusaha dan sabar dalam mengharungi derita
Hidupmu penuh ranjau meniti kepayahan yang tiada kesudahan

Tidak sekali mengharapkan dibalasi permata

Cukup engkau rasa bahagia
Lihat anak-anakmu berjaya
Kau penawar hati duka
Walau hatimu terluka
Engkau ibu engkaulah bapa
Pabila ayah tiada

Hanya Tuhan saja yang dapat membalas jasamu

Kerana Tuhan saja yang tahu penderitaanmu
Wahai bonda
Much love,
NJ :)

Sunday, April 10, 2011

Doa yang tidak dimakbulkan...

Assalamualaikum,

1 hingga 3 April yang lepas aku mengikuti perkhemahan Pandu Puteri Siswi II di Kalumpang Resort. Macam biasalah, aku memang lemah habis soal camping-camping ini. Jadi dengan hati yang terpaksa rela, tempuhi jualah sebagai memenuhi jam kredit kokurikulum ini...

Hendak dijadikan cerita di sini, ada 2 aktiviti yang sangatlah mencabar kekuatan fizikal dan mental diri ini yang walaupun berbadan besar tetapi mempunyai hati yang kecil (bak kata arwah abah), iaitu aktiviti Jungle tracking dan River tracking.

Sangat diakui di sini bahawa rakan-rakan Pandu Puteri memang membantu habis ketika aktiviti-aktiviti tersebut dijalankan terutamanya Ekin Hashim dan Mimie Aziz. Yang kelakarnya diorang berdua kurus kecil sahaja orangnya, dan aku akan berada di tengah-tengah antara mereka berdua. Hahahahahahahahahahahaha!

Rasa-rasanya hampir 10 kali juga aku hampir terjatuh dan banyak kali juga aku memang terjatuh ketika aktiviti river tracking. Kami perlu melawan arus sungai dengan kebanyakan batu sungai licin dan jika tidak berwaspada, kita mungkin terpijak kawasan yang dalam. Jangan ditanya berapa puluh kali aku berhasrat hendak patah balik dan berapa kali aku bertanya dengan Pak Dee, yang membawa kami untuk aktiviti tersebut mengenai jauh lagi ke tidak perjalanan hahahahahaha! Yang tak tahan tu, ikut arahan yang sepatutnya, kami perlu ikut sungai juga untuk jalan pulang, tetapi Pak Dee pilih untuk ikut jalan darat. Jauh di sudut hati, aku rasa pertanyaan berulang kali aku adalah salah satu faktornya huhuhuhu.


Beberapa siri hendak terjatuh itu adalah antara saat yang paling mencemaskan. Asyik terfikir di dalam kepala, kalau terjatuh lepas itu kepala terhentak atas batu... Nau'zubillah minta dijauhkan... Mungkin juga ALLAH ingin memberikan hikmahNYA di situ, secara tiba-tiba aku teringat dahulu ada seorang ustaz pernah mengatakan bahawa, doa-doa kita yang selama ini tidak dimakbulkan oleh ALLAH, perginya di sinilah. Di kejadian-kejadian yang kita diselamatkan daripada hampir berlaku kecelakaan kepada kita. Salah satu contohnya ialah apabila pisau jatuh dari atas meja dan hampir menikam kaki kita.

Itulah aku selalu mempersoal kenapa doa ini tidak dimakbulkan, doa itu tidak ditunaikan, sedangkan ALLAH lebih tahu daripada kita. Aku di sini tidak berniat hendak berkhutbah kerana aku juga tidak semulia mana, cuma ingin berkongsi cerita. Moga-moga kita semua beroleh manfaatnya, INSYA ALLAH...

Much love,
NJ :)

Saturday, April 9, 2011

Saya minta maaf... truly i am :'(

Assalamualaikum,

Kalau ada yang bertanya kelemahan utama aku selain 'tidak mampu melepaskan pergi', aku sangat susah ingin memohon maaf kepada orang lain yang telah aku sakiti hatinya, lebih-lebih lagi orang yang aku rapat. Termasuklah mak dan abah sendiri... :'(

Bukan bermaksud apa-apa entry kali ini selain hendak meminta maaf kepada seseorang ini atas kelakuan aku yang melampaui batas. Ya ALLAH, aku memang bersalah, itu aku akui, tetapi untuk berdepan meminta maaf, Ya RABB susahnya... Sahabat, maafkanlah aku, ya aku tahu kau memang sakit hati dengan aku sekarang. Maafkanlah kesalahan aku dan kepengecutan aku untuk berdepan. Ketahuilah, semakin rapat hubungan bersahabat, semakin payah untuk aku berdepan. Entahlah...

Blue & Elton John - Sorry seems to be the hardest word

Entah kamu ingin lagi membaca blog aku lagi atau tidak, itu aku tidak pasti. Tetapi andai kamu terbaca entry ini, aku mohon ALLAH bukankan hatimu untuk memahami maaf ini aku tujukan kepadamu. Aku juga berharap kau maafkan aku atas keterlanjuran mulut aku dalam berjanji. AMIN...

In-team - Bicara Kata

Sesungguhnya aku sangat malu, setiap entry aku di dalam blog ini kononnya persis seorang ustazah, tetapi perangai aku di luar, ASTAGHFIRULLAH...

Much love,
NJ :)

Thursday, April 7, 2011

Perjuangan...bagi mukmin di sini harga dan nilainya...


Dia daun yang berwarna hijau
             
            Aku di sini bukan berhajat untuk berceramah. Bukan pula untuk menegakkan benang yang basah. Tetapi untuk menceritakan kepada kamu, ya, kamu yang sudi meluangkan masa membaca cerita pendek ini mengenai sehelai daun yang berwarna hijau. Ketahuilah bahawa aku amat terharu akan perhatian yang kamu letakkan dalam membaca kisah yang dicoretkan di sini. Sebenarnya aku masih berkira-kira di mana ingin aku mulakan kisah ini. Serasa-rasa di dalam hati ini yang kamu akan bosan membacanya. Sudah tentu aku akan mengambil kisah, tetapi apa daya aku, kamu berhak untuk berhenti daripada terus membaca kisah daun yang entah ya atau tidak berwarna hijau ini. Aku tidak berniat memanjangkan bebelan, baiklah aku teruskan dengan tugas hakiki aku di sini.

            Kisah bermula apabila daun yang berwarna hijau ini mula berguguran dari ranting yang selama ini dipaut kemas sebagai tempat teduhan. Seperti kamu yang membaca cerita pendek ini, aku percaya kamu juga akan, sedang atau sudah pun melalui proses keluar meninggalkan rumah yang selama ini menjadi syurga bersama insan-insan yang disayangi untuk belajar mengenal erti hidup dengan erti kata yang sebenarnya. Sesungguhnya amat payah untuk daun yang berwarna hijau ini meninggalkan ranting yang dipautnya selama ini kerana sekali terputus pautan itu, maka selamanya dia perlu hidup berkelana di bawa angin sepoi-sepoi bahasa atau angin ribut atau angin puting beliung. Tetapi inilah kehidupan, mahu tidak mahu, kita perlu keluar berjuang meskipun bukan untuk orang lain, bukan juga untuk negara, memadailah untuk diri sendiri sebagai hambaNya yang Esa. Di dalam hidup ini terlalu banyak jawapan yang perlu dicari agar hidup terasa lebih beerti. Bukankah jauh perjalanan luas pemandangan.

            Jangan ditanya berapa kali daun yang berwarna hijau ini berputus asa, berpatah arah menghadapi kembara hidup yang sementara ini. Semakin jauh kembara daun yang berwarna hijau ini di bawa angin, semakin letih jiwa daun yang berwarna hijau ini memikirkan akan kelakuan daun-daun yang lain. Sebelum berputus kasih dengan ranting dahulu, dia di ajar oleh daun-daun yang pernah sempat bertandang sekejap ketika angin bertiup menghentikan kembara daun-daun tersebut di atas rantingnya. Kata mereka, sentiasalah berbuat baik dengan daun-daun yang lain, nescaya daun-daun yang lain akan berbuat perkara yang sama dengan kita. Ketahuilah kini daun yang berwarna hijau ini bahawa kata-kata tersebut adalah untuk memberikan kekuatan kepadanya untuk keluar mengembara. Seperti kita juga, aku dan kamu yang membaca cerita pendek ini, ketika kita ingin memulakan kembara keluar dari rumah, emak dan abah kita akan memberikan nasihat yang sama agar kita tidak terasa tertekan. Bukan niat mereka untuk tidak berterus terang, tetapi itulah tugas mereka, memberikan ketenangan dan memberikan kita jawapan yang kita hendak dengar. Anak-anak zaman sekarang, jika jawapan yang diberi bukan seperti yang dimahukan, mereka akan memberontak. Berbalik kepada daun yang berwarna hijau tadi, dia berasa kecewa akan sikap daun-daun yang tidak bersikap seperti saranan daun-daun yang sudah kering. Seperti kata-kata manusia, enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Ah enau, memang tidak boleh dijadikan sahabat!

            Ada ketikanya, daun yang berwarna hijau ini mengembara dengan daun-daun yang lain. Mereka dari pelbagai latarbelakang. Ada daun yang lebar, kecil dan ada juga yang membentuk corak yang cukup menawan di mata daun yang berwarna hijau ini. Kagum sungguh daun yang berwarna hijau ini akan ciptaan Allah. Kepelbagaian bentuk dan warna adalah tanda kekuasaan dan kebesaranNya. Sudah disematkan di dalam hati daun yang berwarna hijau ini bahawa janganlah dihina akan ciptaan makhluk yang lain kerana ia adalah cerminan hati kita yang tidak bersih kerana betah sekali menghina ciptaan Allah. Na’uzubillah…

            Suka sekali aku ceritakan di sini pertemuan yang tidak disangka-sangka oleh daun yang berwarna hijau ini dengan sehelai daun yang sudah berumur ini. Dicatat bahawa mereka berjumpa dan menjalinkan ukhuwah ketika sama-sama tersadai di atas Nissan X-Trail milik seorang aktivis alam sekitar yang ingin meninjau kesan kemusnahan hutan yang kaya dengan kayu balak untuk dijadikan kawasan pelancongan dan hub hiburan malam yang kononnya mampu menjana pendapatan negara. Warna daun tua itu pun sudah tidak lagi hijau, tetapi kecoklatan dan amat rapuh fizikalnya. Namun begitu, sesuai dengan umurnya, ilmu dan pengalaman daun tua ini tiada tolok bandingnya. Kembara selama beberapa minggu bersama daun tua ini banyak mengajar daun yang berwarna hijau ini mengenai erti hidup pada memberi. Daun tua ini membuka mata daun yang berwarna hijau ini akan kesusahan yang dialami oleh daun-daun di seberang laut sana yang bergelut, bergolak dengan kerakusan manusia menindas manusia lain untuk berkuasa di tanah yang hanya ditumpang sebelum ini. Akibatnya, pokok-pokok juga menjadi mangsa balingan bom tangan atau pelepasan gas radioaktif yang membahayakan makhluk hidup di muka bumi Allah ini. Diam-diam daun yang berwarna hijau ini menyimpan niat yang suci lagi murni untuk sama-sama berbakti di bumi salah satu perhentian Nabi junjungan mulia kita sebelum diangkat ke langit ketika peristiwa Israk dan Mikraj. Apa kamu meragui kemampuan daun yang berwarna hijau ini? Ketahuilah bahawa suatu ketika nanti pokok-pokok akan membantu kaum muslimin menentang musuh laknatullah itu, seperti yang diceritakan Nabi Muhammad S.A.W di dalam hadis riwayat Al Bukhari,

"Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah saw. bersabda, "Tidaklah akan berlaku kiamat, sehingga kaum Muslimin memerangi kaum Yahudi sehingga kaum Yahudi itu bersembunyi di sebalik batu dan pohon kayu, lalu batu dan pohon kayu itu berkata, (Hai orang Islam, inilah orang Yahudi ada dibelakang saya. Kemarilah, dan bunuhlah ia!", kecuali pohon gharqad (semacam pohon yang berduri), kerana sesungguhnya pohon itu adalah dari pohon Yahudi (oleh sebab itulah ia melindunginya)"

            Kalaupun daun yang berwarna hijau ini tidak mampu berjihad seperti yang dihasratkan di dalam hatinya, cukuplah daun yang hijau ini berjihad menentang hawa nafsu sendiri melawan dakyah-dakyah luar yang ingin merosakkan iman dan amalan dia yang percaya akan Tiada Tuhan Yang Berhak Disembah Melainkan Allah dan Nabi Muhammad Adalah Pesuruh Allah. 

            Sesungguhnya, telah diberitakan sebelum ini bahawa tiap-tiap yang hidup itu akan merasai kematian. Tiada yang kekal di dunia ini kecuali Allah yang tiada awal dan akhirnya. Ujian pemergian daun tua yang banyak membuka mata hati daun yang berwarna hijau ini setelah hancur dipijak sekumpulan gajah yang berjalan perlahan. Perit rasa hati daun yang berwarna hijau, serasa-rasa bagai dunia sudah gelap tetapi walau kesunyian macam mana pun kita, jika punya iman, kita tetap tidak sendiri. Dan imanlah yang menenangkan hati daun yang berwarna hijau itu untuk menerima qada’ dan qadar Ilahi.

            Kembara daun yang berwarna hijau di bawa angin masih diteruskan. Belum diketahui di mana dan bagaimana akhirnya kembara ini. Adakah daun yang berwarna hijau ini sempat berumur seperti daun tua tersebut atau ketika hijau remaja, daun yang berwarna hijau ini akan dijemput menemui Khaliqnya. 

            Akhir kalam, jutaan terima kasih aku tujukan kepada kamu kerana sudi membaca hingga ke akhir cerita. Apa yang bakal terjadi kepada daun yang berwarna hijau ini adalah rahsia Pencipta melalui pilihan yang diberikanNya. Moga-moga jalan yang dipilih adalah jalan ke jannatul Firdaus, sebaik-baik tempat kembali. Amin ya Rab…

Perjuangan - Saff-One

Perjuangan itu gerun dan mengerikan
Hebat dan dasyat menggerunkan hati
Bagi mukmin di sini harga dan nilainya 2x

Perjuangan itu bagai sampan di laut
Di atas lapang tiada perlindungan
Di bawah air melambung dan menggunung
Menongkah gelombang yang datang melanda

Kiri kanan depan dan belakang
Angin yang menderu tidak tahu bila datang
Hujan badai yang datang menyerang
Bak singa yang lapar yang garang

Kadang-kadang terdampar di batu karang
Penumpang menerima nasib berlainan
Ada yang jatuh ada yang tenggelam
Yang pandai berenang berpaut ke sampan

Ada yang berjaya berenang ke tepian
Sekali lagi dia melayar sampan
Walau pelayaran mungkin tidak berjaya
Namun harapnya hanya pada yang Esa

p/s: Cerpen ini dihasilkan bagi memenuhi tugasan perkhemahan Pandu Puteri Siswi II, selepas mengutip 7 jenis tumbuhan di hutan Kalumpang Resort.

Much love,
NJ :)