Syurga itu matlamat!

Syurga itu matlamat!

Thursday, March 27, 2014

Angka 27

Assalamualaikum,

ALHAMDULILLAH, semalam genap aku 27 tahun masihi. Aku sepatutnya bersyukur masih lagi hidup dalam dunia ini, masih diizinkan untuk bertaubat dan tolong sedar diri Anim! Setiap tahun aku menunggu tarikh ini dan bila 26 Mac berakhir, biasanya aku akan sedih.

ALHAMDULILLAH tahun ini mak menghadiahkan aku sandal cantik warna turquoise, adik pula bagi beg dan akak memberi perfume feveret aku. Semua hadiah tu aku dapat sebelum tarikh semalam pun, tapi awal-awal lagi mereka sudah bagi amaran bahawa ia adalah hadiah hari lahir, supaya aku tak minta yang lain.

Kali ini aku nak kongsi hadiah yang aku mahu untuk hari lahir tahun ini. Mungkin agak memualkan bagi sesetengah orang, tapi ini yang aku inginkan.

Aku nak jumpa Jai Courtney.

Much love,
NJ :)

Sunday, March 23, 2014

Sketsa jiran tetangga 4

Tahun pemergian Jiman merupakan tahun ke 27 keluarga Jiman bermastautin di kejiranan itu. 27 tahun bukan satu tempoh yang singkat. Pelbagai peristiwa bersilih ganti menjadi tetamu kepada kehidupan mereka sebagai jiran tetangga. Generasi kedua di kejiranan tersebut juga telah ramai yang sudah beranak pinak.

Keluarga Jiman seharusnya bersyukur dengan segala bantuan yang diberikan oleh jiran tetangganya dalam menguruskan hal-hal berkaitan pengurusan kematian Jiman. Segala urusan tuntutan khairat kematian, pengurusan jenazah dan sehinggalah urusan kenduri tahlil arwah Jiman malam pertama kematiannya juga diuruskan oleh mereka. Pendek kata, sepanjang hari tersebut tiada perkara perlu dirungsingkan oleh keluarga Jiman kerana sudah diatur semuanya.

ALHAMDULILLAH, syukur atas ukhuwah ini.

Much love,
NJ :)

Friday, March 21, 2014

Ibrah daripada The Book of Eli

Assalamualaikum,

Okay entry kali ini sebenarnya mengenai satu tamparan laju-laju untuk aku. Satu kesedaran yang aku harapkan membawa kepada perubahan sikap yang lebih baik, bukan sekadar kesedaran yang hanya tinggal sekadar itu sahaja. Seperti sebelum-sebelum ini...hurm.

Baru malam tadi aku dapat menonton sepenuhnya filem The Book of Eli di saluran Fox Movies. Terima kasih kepada Astro PVR yang membolehkan aku tonton pada bila-bila masa yang aku suka tanpa perlu berebut remote dengan mak dan adik. Okay enough of that.

Aku bukan pengulas filem yang baik, juga pengulas buku yang baik. Aku hanya tahu mencadang filem atau buku untuk ditonton dan dibaca sahaja. Jika ada kesempatan untuk kamu menontonnya, hakimilah sendiri. Sedikit sebanyak beginilah ceritanya, sepertinya dunia mengalami satu peperangan yang maha dahsyat sehingga dunia seperti menjadi padang jarak padang tekukur. Peperangan itu juga membawa kepada pembakaran besar-besaran Bible yang terdapat di muka bumi ini. Jadi, Eli antara yang terselamat dalam peperangan tersebut dan antara yang boleh membaca. Kisahnya ialah selepas perang tersebut, tamadun manusia selepas itu kembali kepada zaman gelap iaitu buta huruf dan ada yang makan daging manusia untuk terus hidup, lebih teruk, mereka tidak beragama.

Walaupun Bible dibakar secara besar-besaran, tetapi satu naskhah masih terselamat dan dalam simpanan Eli yang menjumpainya di bawah timbunan batu-bata. Tapi salinan tersebut dalam bentuk tulisan Braille. Jadi misi Eli adalah menuju ke Barat untuk menyelamatkan Bible yang masih terselamat tersebut kerana katanya dia mendengar suara menyuruhnya berbuat demikian. Selain Eli, ada satu lagi watak, Carnegie yang juga mangsa perang boleh membaca yang terselamat. Carnegie boleh dianggap orang penting pada satu kawasan ini kerana ada akses terhadap air bersih dan boleh membaca. Carnegie tahu akan kewujudan kawasan air mata air sebelum perang bermula dan orang lain yang tahu sudah pun meninggal dunia kerana perang. Carnegie memerlukan Bible untuk menguasai lebih dari satu bandar. Jadi, ada konflik antara Carnegie dan Eli selepas Carnegie tahu Eli ada Bible terakhir yang masih terselamat.

Dipendekkan cerita, walaupun Carnegie dapat Bible tersebut, tetapi tiada guna kerana dalam bentuk tulisan Braille. Eli pula berjaya ke Barat dan rupanya di sana ada manusia yang mula mencetak dan menyimpan kembali buku-buku yang selamat untuk membina semula tamadun. Perjalanan Eli ke Barat tersebut sebenarnya memakan 30 tahun kerana hanya berjalan kaki selama ini. Dalam perjalanan, Eli tanpa gagal membacanya setiap hari (Eli seorang yang buta dan tahu membaca Braille). Oleh itu dia sudah hafal keseluruhan isi Bible tersebut, dan mengarahkan penulisan semula isi-isinya.

Jadi apa tamparan laju-laju yang aku rasa tu? Aku terfikir betapa banyaknya naskhah Al-Quran yang ada dalam dunia sekarang ini tetapi ada umat Islam (termasuk aku) yang tidak pernah menghargai setiap isi ilmu ALLAH di dalamnya. Al-Quran hanya tinggal kitab yang ada dalam salah satu dulang hantaran perkahwinan dan hanya dihargai oleh pelajar-pelajar jurusan agama, ustaz, ustazah dan para hafiz dan hafizah. Maaf aku tak pukul rata, bukan semua yang berada dalam bidang bukan agama jahil Al-Quran.

Aku begitu kagum dengan naskhah novel-novel bahasa Inggeris dan buku-buku motivasi orang luar, tetapi Al-Quran sebagai sumber kekuatan diri terbaik tidak pernah aku selak terjemahannya. Jauh sekali belajar tafsir sebab turun satu-satu ayat... Apakah kesedaran ini hanya kekal sekadar itu atau ada perubahan sikap yang lebih baik daripada sebelumnya?



Much love,
NJ :)

Thursday, March 20, 2014

Sketsa jiran tetangga 3

Sudah menjadi suratan Ilahi, Jiman dipanggil penciptanya ALLAH ROBBUL JALIL pada tengah malam yang hening. Seluruh ahli keluarga Jiman bagai sudah menjangka detik ini akan tiba dalam masa terdekat ini kerana ketua keluarga mereka sudah berada dalam keadaan tenat sejak empat hari lepas kerana kanser.

Sungguhpun begitu, air mata ini tetap tidak mampu untuk ditampung oleh mereka daripada terus mengalir. Kehilangan ahli keluarga terdekat adalah satu azab. Kematian membawa erti bahawa tiada lagi pertemuan di dunia ini. Oleh itu hanya rindu yang mengiringi.

Jiman menghembuskan nafasnya yang terakhir di hospital, di sisi isteri tercinta dunia dan akhirat dan anak-anak lelaki mereka seramai dua orang. Adriana bersama-sama kakak dan adiknya berada di rumah sudah mula membuat dan mengemas apa yang patut di rumah. Kehadiran tetamu untuk memberi penghormatan terakhir kepada arwah Jiman dan menziarahi ahli keluarganya sudah dijangka oleh Adriana dan adik-beradik perempuannya. Ya, menangis menangis juga, tetapi rumah juga perlu disiapkan untuk menerima kunjungan tetamu dan 'kepulangan' terakhir abah sebelum ke liang lahad.

Walau pun tengah malam, jiran-jiran tetangga ada yang sudi datang menghulurkan pertolongan dan memberi kata sabar dan nasihat. Adik Adriana, Diana namanya menangis terus-terusan. Diana yang bongsu, tentu tidak sama penerimaannya mengenai kematian abah yang disayanginya, berbanding adik-beradik lain yang lebih tua. Sedang adik-beradik perempuan Adriana mengemas dan menyusun semula kedudukan barang-barang di dalam rumah mereka bersama-sama jiran tetangga yang sudi menolong tersebut, tiba-tiba salah seorang anak jiran yang lebih dewasa daripada Diana, Angah panggilannya, menawarkan nasihat yang mengejutkan. Katanya dengan suara yang lantang melarang Diana terus menangis, serius sekali bunyinya. Sekali tengok persis ahli bijak pandai memberi nasihat kepada si jahil.

Mudahnya berkata-kata sedemikian rupa. Ya, meratap merintih akan kematian adalah dilarang dalam Islam, tetapi Islam juga tidak melarang untuk bersedih dan menangis seadanya. Tidak semua manusia mampu menahan air mata daripada terus mengalir apabila ahli keluarga terdekatnya meninggal dunia. Apakah wajar menempelak sedemikian rupa, sepertinya Angah itu pernah kematian ayah atau ibunya?

Apakah sama antara mata yang memandang, dengan bahu yang memikul???

Much love,
NJ :)

Sunday, March 16, 2014

Sketsa jiran tetangga 2

Keluarga Adriana mendapat jemputan ke majlis perkahwinan jirannya. Ya, majlis perkahwinan generasi kedua penduduk taman perumahan mereka, generasi Adriana. Macam biasa, kegiatan merewang mengambil tempat.

Perkara wajib iaitu nikah mengambil tempat pada sebelah malam, sebelum kenduri walimah pada keesokan harinya. Macam biasa, mengikut adat setempat yang baik dan mengundang pahala insyaALLAH, bacaan doa selamat dan tahlil akan diadakan sebelum ijab dan kabul, dan sudah tentunya jamuan makan untuk para tetamu.

Usai makan, mak Adriana berbual-bual dengan jiran-jiran tetangganya. Adriana lebih selesa tidak mencampuri perbualan mereka. Bukan tidak ada generasi kedua seperti Adriana yang turut sama berbual, tetapi Adriana seperti kera sumbang, tidak begitu menggemari bercampur gaul dengan mereka. Dulu masa kecil-kecil bukan main lagi bermain bersama seperti tidak mahu pulang ke rumah, tetapi apabila usia meningkat remaja, Adriana sudah berubah.

Apabila jam sudah melewati jam sebelas malam, Adriana sudah tidak keruan kerana dia mahu segera pulang ke rumah. Oleh itu, mak Adriana diajak pulang. Mak Adriana setuju dan mereka bersalaman dengan makcik-makcik dan kawan-kawan sepermainan ketika kecil dahulu. Secara seloroh, makcik Selamah bertanyakan akan bila agaknya dia hendak makan nasi minyak Adriana. Adriana tersenyum dan membalas kembali dengan memohon doa darinya. Tidak semena-mena makcik Luna yang duduknya agak jauh dari mereka yang berbual pendek tadi mencelah, katanya jangan risau, Adriana pasti akan menjemput makcik Selamah untuk rewang. Tanpa rasa bersalah sekali kenyataan tersebut dilontarkan. Motif???

Kenyataan tersebut tidak mampu dihadam oleh Adriana dan jelas terpancar perubahan pada wajahnya. Terasa terhina sekali. Apakah kerana Adriana tidak begitu bercampur dan jarang sekali turun padang semasa aktiviti rewang diadakan? Makcik Selamah menambah pula, katanya Adriana akan menggunakan perkhidmatan katering kerana Adriana orang kaya. Adriana mengaminkan sahaja kata-kata itu. Ya mana tahu akan mustajab.

Much love,
NJ :)


Saturday, March 15, 2014

Sketsa jiran tetangga 1

Seperti biasa, jika keluarga Jiman mengadakan kenduri tahlil sama ada dibuat di rumah atau dihantar ke surau, kegiatan rewang bersama jiran tetangga yang berdekatan akan mengambil tempat. Namanya pun kenduri, maka aktiviti masak memasak adalah dalam kuantiti yang banyak dan memerlukan periuk belanga yang besar. Perkara tersebut bukanlah satu masalah kerana surau di taman perumahan Jiman membenarkan penyewaan segala alatan memasak dan periuk belanga dengan bayaran yang sangat minimum.

Biasanya jiran Jiman, Leman namanya, mengetuai upacara masak memasak kerana kepakaran beliau yang tidak lagi dapat disangkal. Setelah meneliti kuali kepunyaan Jiman tidak mampu menampung kapasiti makanan yang hendak dimasak, maka Leman mengarahkan salah seorang anak Jiman iaitu Adriana untuk menyewa salah satu kuali milik surau di taman perumahan mereka. Dengan yakinnya Adriana mendapatkan kunci stor daripada bapanya Jiman yang juga AJK surau untuk mendapatkan kuali yang dimaksudkan. Yang pasti ‘kuali’ yang disebut oleh Leman dan ‘kuali’ juga yang didengar oleh Adriana, tetapi entah kenapa imej ‘periuk’ yang singgah di minda Adriana.

Maka, ‘periuk’ yang bersaiz besar jugalah yang dibawa pulang oleh Adriana untuk diberikan kepada Leman. Tanpa disangka, Leman menyangkal perbuatan Adriana dengan satu suara nyaringan yang hampir sekali didengari seluruh penduduk taman perumahan mereka. Maka helaian dan taburan ketawa pakcik dan makcik ahli rewang kenduri tahlil tersebut dalam tempoh masa yang lama mengiringi nyaringan suara si Leman. Ya, Adriana sangat malu. Terasa bodohnya diri dan terus terfikir, entah berapa lama perkara ini akan kekal di memori jiran tetangganya itu. Adriana kembali semula ke stor surau dan menggantikan periuk tersebut kepada kuali yang dimaksudkan.

Setelah kembali bersama kuali tersebut, ternyata topik perbualan masih lagi berkisarkan perbuatan memalukan diri sendiri oleh Adriana. Sungguh menyebalkan. Kemudian, Leman sendiri mendedahkan anak daranya, si Ida juga pernah disuruh mengambil daun kari, tetapi daun lain yang diambilnya. Adriana yang mendengar menahan gelak dan sempat lagi menempelak di dalam hatinya, adakah Ida bau seperti masakan rendang pada daun kari. Hahaha kenalpasti daun kari pun failed! Kemudian, ASTAGHFIRULLAH… Adriana tidak suka diketawakan kerana kesilapan yang dilakukan, tetapi dia sendiri melakukan perkara yang sama…

Usai Leman bercerita akan perihal anaknya itu, seluruh isi ahli rewang menyambutnya dengan hilai ketawa yang tidak kurang hebatnya. Apa yang mengejutkan, Leman menjadi sentap kerana anak daranya diketawakan sedemikian rupa dan mula menempelak mereka dengan mengatakan, ‘Amboi sakan ketawakan anak orang ye…! ‘


Hai la pakcik Leman, kau memalukan Adriana dengan satu teguran penuh high pitch tidak mengapa pula. Adriana pun berlalu daripada dapur rumahnya dengan keluhan berat dan makian yang terasa hendak dihamburkan tapi ditahan-tahan. 

Much love,
NJ :)

Tuesday, March 11, 2014

Perihal guru ganti 2

Assalamualaikum,

Hari ini hari ketiga persekolahan bagi minggu ini di sekolah-sekolah di Johor, Kedah, Terengganu dan Kelantan. Bermakna hari ketiga jugalah aku melalui hari tidak bekerja sejak 9 Januari lepas. Terasa janggal pula sedangkan aku sebenarnya suka dengan 'kelapangan' waktu seperti ini. Ya, yang pasti aku merindui komitmen sebagai guru :'(

Aku mula rasa janggal tidak lagi membuat persiapan untuk mengajar pada esok hari. Aku rindu hendak bersiap selepas solat Subuh setiap pagi. Aku teringat akan setiap kali goosebumps yang aku alami sebelum memasuki pagar sekolah. Terbayang-bayang wajah anak murid yang akan ditemui setiap pagi sepanjang perjalanan aku dari pagar sekolah, sehinggalah sebelum mereka beratur untuk morning roll-call. Rindu akan rasa excited nak masuk kelas Sejarah, rasa teruja nak buat aktiviti dalam kelas Sejarah dengan penuh harapan agar ilmu sampai dan di berkati ALLAH dan pelajar yang tidak minat Sejarah akan mula meminatinya... Above all, aku rindu nak tengok reaksi seronok mereka belajar Sejarah, yang aku harapkan benar-benar datang dari hati sanubari mereka. AMIN... Ya ALLAH, rindu benar aku dengan mereka...

Ya ALLAH, maafkan aku kerana banyak merungut sebelum ini. Sekarang apabila sudah kehilangan semua ini, terasa benar kerinduan terhadapnya :'(

Ya ALLAH, sampaikanlah hajat aku dan rakan-rakan untuk menjadi pendidik. AMIN...

Much love,
NJ :)

Sunday, March 2, 2014

Perihal guru ganti

Assalamualaikum,

ALHAMDULILLAH rezeki datang dalam bentuk pekerjaan sebagai guru ganti KGSK di sekolah tempat menjalani latihan mengajar sebelum ini. Guru pembimbing masa tu, Cikgu Maria mencadangkan nama aku kepada GPK 1, Cikgu Rosli untuk menggantikan Puan Kong yang cuti bersalin. Salah satu sebab kukuh aku menerima tawaran ni sebab jadual Puan Kong melibatkan subjek Sejarah :) my everlasting passion. Okay yang tu adalah pro, kontra nye adalah aku kena juga mengajar subjek PJK. Sangat mencabar untuk aku yang obesiti dan tidak bersukan sejak zaman sekolah!

Tapi, jangan cepat mengalah walaupun putus asa berkali-kali sebenarnya huhu. Dunia ini adalah bilik darjah kita sehinggalah mati. Aku belajar untuk lebih peka dan lebih banyak mendengar. Kadang-kala pembelajaran datang ketika kita berbual dengan cikgu PJ yang lain. Take note dalam kepala cepat-cepat! Seperkara lagi, aku bersyukur UPSI mewajibkan subjek Olahraga dulu, walaupun tak delah ingat sangat pun, but it will do! Tapi memang tak dapat nak nafikan rasa malu yang amat bila mengajar pelajar mengenai makanan seimbang, berat badan ideal…

The thing is, this substitute teacher will end this coming weekend. Ya, memang tak sabar dan sangat gembira, tapi satu sudut lain, terasa juga hiba di dalam hati. Pekerjaan sebagai cikgu adalah pekerjaan sunnah. Rasulullah seorang cikgu. Mengajar umat ilmu tauhid, mengenal ALLAH dan bagaimana untuk menzahirkan diri menjadi mukmin yang sejati. Banyak perkara aku belajar melalui pengalaman mengajar ini. Antaranya aku baru sedar akan rahmat ALLAH di sebalik ucapan salam pelajar kepada kita sebagai cikgu. Mula-mula praktikal dulu rasa excited dapat ucapan salam daripada pelajar, terasa benor jadi cikgunyer hahaha. Lama-lama rasa biasa. Tapi hari tu ada borak dengan member kat FB, katanya dia rindu nak diucap salam berkali-kali daripada pelajar (kami belum posting lagi) kerana ucapan salam adalah doa. Tambahnya lagi, mungkin sebab tu terasa kosong ketika ini. Tersentuh hati, baru sedar betapa besarnya rahmat ALLAH dengan kurniaan pelajar-pelajar ini.

Menjadi cikgu memang cita-cita aku dari sekolah lagi. Bila sudah merasa pengalaman mengajar ketika praktikal, jatuh cinta lagi dengan kerjaya ini. Dan sekarang setelah melalui pengalaman guru ganti KGSK, aku semakin jatuh cinta. Tak dapat nafikan tekanan kerja seorang cikgu, tapi kepuasan yang dirasai berbaloi-baloi. Puas tengok pelajar suka masuk dalam kelas kita. Itu satu permulaan yang baik, bila kita gembira nak belajar, insyALLAH ilmu mudah masuk dalam kepala. Tapi aku kena sedar, mungkin ada yang tidak suka akan kita sebagai cikgunya, tidak mengapa. Sentiasa ikhlaskan diri. Mengajar kerana ALLAH. Aku perlu lebih berusaha untuk ikhlas. Ikhlas, ikhlas, ikhlas!!!

Cikgu akan rindu korang… pengalaman manis tidak ternilai harganya. Walaupun aku mengajar, aku juga belajar daripada pelajar. Terima kasih ALLAH, ALHAMDULILLAH kerana memudahkan urusan aku di sekolah. Syukur tidak terlalu sukar menyesuaikan diri kerana pernah praktikal di sekolah ini dulu. Kebanyakan guru juga sudah dikenali. Staf-staf bukan guru juga sangat membantu.

Aku mendedahkan kepada pelajar akan minat aku pada bola, Arsenal. Mulanya mereka agak skeptical, tidak mengapa aku faham. Cikgu perempuan, gemuk, hodoh minat bola dan Arsenal??? macam poyo je kan. But then, my knowledge about the world of football seems to fit. Jadi sekarang kami selalu je kongsi-kongsi cerita. Seronok rasanya, kali terakhir berkongsi fakta bola begini masa arwah abang aku ada dan masa diploma ada geng bola sorang, perempuan juga.

Untuk kelas subjek Sejarah, 2 Baiduri, 2 Delima, 2 Mutiara, 2 Nilam dan 2 Berlian, SMK Bukit Pasir, Muar Johor, terima kasih atas kerjasama dengan Cikgu selama ini. Cikgu seronok mengajar kamu, harapnya kamu juga begitu. Semoga kita semua sentiasa dalam rahmat ALLAH dunia dan akhirat. I will miss all of you…

Untuk kelas 2 Baiduri/ RK, terharu sangat pasal pelajar perempuan datang depan lepas kelas yang terakhir untuk bersalam dan peluk! termasuklah pelajar perempuan Cina! Seyes sangat tak sangka. Terkadang aku mengaku macam aku tak dapat bagi perhatian kat semua pelajar, tapi diorang masih bagi penghormatan macam tu :') Ya ALLAH kurniakanlah kejayaan dunia akhirat kepada mereka dan jagalah akhlak mereka sehingga ke akhir hayat. AMIN... Ada 8 pelajar lelaki yang tolong Cikgu pindah barang sebab tukar blok, Rashid (Jimmy Fallon), Aiman (Gooner), Ahmad (Cute&Sweet Boy), Safiy (Safee Sali), Badrul (Tiger Woods), Indera (Indera Putera Mahyuddin), Syafiq (Dalam hati ada taman) dan Aliff (Gareth Bale). Dalam kurungan tu panggilan Cikgu untuk korang (hahaha suka hati je kan). Terima kasih banyak-banyak kerana menolong tanpa merungut dan buat kerja dengan penuh dedikasi. Serius, pengalaman sebelum ini selalu jumpa pelajar yang sering merungut, tapi mereka bukan macam tu pun. Kagum pun ada.

Kelas 2 Delima juga begitu, selepas kelas PdP terakhir, kesemua pelajar perempuan termasuk pelajar Cina beratur nak bersalam. Hurmmm terharu tau :') Lepas ni memang akan rindu korang la! Pelajar perempuan dan lelaki kelas 2 Delima memang terbaik.

Ya ALLAH, mudahkan dan cepatkanlah urusan posting aku dan sahabat-sahabat ISMP yang lain. AMIN… sesungguhnya kami sangat mencintai kerjaya ini dan akan berusaha bersungguh-sungguh dalam menyempurnakan tugasan yang diberikan, insyaALLAH.

Much love,
NJ :)