Syurga itu matlamat!

Syurga itu matlamat!
Showing posts with label Cerita kawan-kawan. Show all posts
Showing posts with label Cerita kawan-kawan. Show all posts

Wednesday, September 3, 2014

Sepetang disekolahkan

Assalamualaikum,

Baru-baru ini aku ada menghabiskan masa yang berkualiti dengan sahabat lama. Sahabat yang sama-sama jalan kaki ke sekolah agama sampailah darjah khas. Dia sudah berkahwin, mempunyai seorang cahaya mata dan sudah tidak lagi bermastautin di Muar. Tetapi kini berada di Muar, rumah bondanya kerana suaminya berkursus di luar daerah. Jadi aku ambil peluang ini untuk kami menghabiskan sepetang bersama.

Aku kagum dengan sifat syukur, sabar dan redha dia. Rasanya tak pernah dengar dia merungut tentang kesusahan hidup. Berada dalam keluarga besar 9 beradik dan hanya ayah yang bekerja, aku hanya mengagak bahawa kehidupan yang mereka lalui tidaklah mewah.

Typical me for questioning why I still unemployed and unattached. Lebih-lebih lagi apabila soalan mengenai perkara-perkara tersebut dinyatakan pada aku. Sungutan tersebut biasanya meleret dengan pelbagai justifikasi dan tuduhan. Astaghfirullah…

Dah puas merungut kan? Bila mulut tak kisah mengomel tanpa berfikir panjang, maka telinga biasanya yang menahan rasa perit. Panas jugalah telinga apabila disekolahkan oleh sahabat aku itu akan ‘peace of mind’ yang kerap jugalah diulang-ulang perkataan tersebut petang itu. Dia mengingatkan aku bahawa sebelum mempersoal kenapa ALLAH masih belum memberi apa yang kita mahu, tanya dulu diri sendiri:
·     
  • Solat dah settle? Kalau dah, adakah dilakukan pada awal waktu?
  • Zikir dah settle? Sekurang-kurangnya istighfar 100 kali waktu pagi dan 100 kali waktu petang

·         And the list goes on…

Kalau aku boleh ringkaskan silibus petang tersebut (hehe sori Nabila, gurau), aku rasa aku boleh gunakan analogi yang digunakan Ustazah Yasmin dalam rancangan Always A Traveler dengan Mizz Nina. Macam ini, kalau kita perlu bermalam selama lebih kurang seminggu di suatu tempat, kita tentu tidak begitu mengambil peduli akan warna cadar katil atau rakan sebilik yang ditentukan tersebut tidur berdengkur. Hal ini adalah kerana kita tentu berfikir bahawa perkara ini hanya sementara dan tidak lama lagi kita akan meninggalkan tempat ini. Tetapi jika ianya untuk selama-lamanya, baru perkara ini boleh menjadi masalah kepada kita.

Got the picture? Ya ALLAH, bukan aku tak tahu dan tak sedar yang hidup di dunia ini hanya sementara dan akhirat kekal selama-lamanya, tetapi aku masih belum mampu mendidik diri untuk redha dan bersyukur. Baca buku macam-macam, kongsi ibrah daripada hasil pembacaan dan segala macam tragedi yang terjadi di blog, media sosial bukan main lagi, tetapi diri sendiri belum mampu dididik dengan baik. Maafkan aku ya ALLAH…


I guess this article makes it come down to one simple question, am I hypocrite? 

Much love,
NJ :)

Saturday, February 1, 2014

Kematian yang menemukan semula…

Assalamualaikum,

Sejak akhir-akhir ni line internet brukband maxis ni sangat-sangat la slow. Geram dibuatnya. Memanglah tak banyak gigabite nya, 3gb je, tapi agak-agaklah, sebelum ni pun memang tahan diri dari tengok video dan download sebab tak nak slow di belakang hari. Tapi ni melampau sungguh, tak tengok dan download pun line sangat slow. Ayooo, belum mampu lagi nak langgan line internet yang lebih besar dan tentunya lebih mahal la, ke aku yang tak pandai survey line internet lain yang boleh dapat kapasiti lebih besar dengan harga yang lebih kurang sama???

Macam-macam dalam kepala ni perancangan untuk update blog, tapi kekangan masa menafikan semuanya. Sampai jadi lupa isu apa dan yang lebih penting, mood untuk isu tu da tak ada.

Sabtu lepas, 25 Januari 2014, sahabat aku yang sama-sama berjalan kaki pergi sekolah agama Johor kehilangan ayahnya, lepas koma lebih kurang 2 hari kerana jatuh tangga ketika sedang bekerja. Aku kenal ayah dia, kami tinggal setaman sebelum ini. Sebenarnya lepas sahabat aku ni kahwin syawal 2012, aku terus terputus hubungan dengannya. Bukan salah aku, dia yang tukar nombor tanpa memberitahu aku. Katanya there was an accident that she had to change her phone number and lost mine. April tahun lepas ada juga aku terserempak dengan adik dia kat klinik kesihatan, masa tu adik dia tunggu hari nak bersalin. Aku minta nombor dia yang baru, katanya tak disimpan pula… adiknya ada memberitahu yang sahabat aku tu sudah berbadan dua lebih kurang 3 bulan kandungan.

Jadi lepas dapat tahu kematian ayahnya daripada kawan sekolah dulu yang juga dapat tahu daripada kawan sekolah aku yang lain, yang ada pertalian saudara dengan sahabat aku ni, aku mengambil keputusan untuk pergi berziarah pada keesokan harinya.

Ketika ini aku menjadi guru ganti di sekolah aku menjalani latihan mengajar dulu. Jadi aku rancang lepas balik sekolah hendak terus ke rumah dia. Excited ni, dari pagi tak sabar nak balik sekolah. Maklum, lebih setahun tidak mendengar khabar.

Dia seakan tidak percaya aku di hadapannya. Berkali-kali mengulang ayat yang sama, tak percaya aku berada di hadapannya. Dia masih tidak berubah, dari segi fizikal dan tabiat menggigit kuku, walaupun sudah menjadi ummi kepada muslimah comel berkulit putih yang dikenalkan kepada aku. Serta merta aku seperti mahu ingin menangis, menyedari hakikat, betapa aku rindu dia dan paling ketara, aku rindu kenangan lalu ketika bersekolah di SEDAR, Muar dan ketika bersekolah agama Johor di Sungai Abong, Muar.

Sejujurnya, aku ingin sama-sama mengingat kembali kenangan bersekolah sama-sama dulu, tapi mungkin tidak relevan isu itu ketika pertemuan ini. How time flies… dia sudah menjadi ummi… seakan sukar ingin menjamah hakikat itu kerana mental aku masih tidak matang seperti umur. Salah satu buktinya, aku mengungkit kepadanya bahawa selepas ini, jika terputus hubungan lagi, aku akan terus berhenti mencarinya! 

Dan dia masih lagi juga seperti dulu, mengalah dengan aku dan terus senyum sambil menggangguk faham.
Salah satu kerisauan dia adalah aku sudah berkahwin dan tidak menjemputnya. Tahu pun! Senyapkan diri lagi siapa suruh. Dia beruntung aku belum lagi berkahwin (boleh??? Hahaha) Aku rindu kenangan jalan kaki pergi sekolah agama dengan dia. Kami akan bercerita macam-macam perkara. Lepas sekolah aku menyambung diploma di Melaka dan dia di Pahang. Biasanya bila sama-sama ada di Muar, kami akan keluar makan malam kat warung depan taman kami. Biasanya pekena mee bandung Muar makcik Misah. 

Aku kagum dengan dia dalam banyak perkara, terutamanya dari segi redha dan bersyukur. Adik beradik dia ramai, 9 orang kesemuanya. Bukanlah dari keluarga yang berada dan anak sulung, tak pernah aku dengar dia merungut. Malah sering bersyukur, selalu buat aku malu kerana aku selalu merungut tak ada itu dan ini. Kematian ayahnya membawa satu rahmat, kami kembali berjumpa.


Katanya dia ingat lagi sms terakhir aku kepadanya sebelum dia tukar nombor baru, ‘How’s life after married?’ Masa tu tak ada kredit untuk membalas, katanya. Setelah setahun lebih sms itu dihantar, dia masih ingin membayar hutang pertanyaan itu, ‘No life without married’.

Much love,
NJ :)

Thursday, November 7, 2013

Justifikasi untuk diri sendiri atau...? timbang tara lah sendiri

Assalamualaikum,

Tidak perlu untuk menyiapkan tesis sarjana untuk menyedari bahawa kita akan cenderung untuk memahami orang lain sekiranya kita sudah mengalaminya sendiri peristiwa tersebut sebelum ini. Dan kebanyakan manusia akan lebih riak untuk berkata-kata sekiranya dia terlalu merasa yakin yang dia mampu melakukan perkara tersebut.

Bukanlah perkara baru apabila semakin dewasa, kita semakin sedar bahawa tidak semua perancangan dan impian yang dipasang ketika kecil dan bersekolah dahulu mampu untuk kita laksanakan. Perjalanan hidup setiap manusia tidak sama. Tidak semua melalui hidup penuh manis, tanpa merasa kehilangan. Penanda aras aku tidaklah tinggi. Pada hemat aku, untuk terus hidup pada umur 24 tahun bersama ibu ayah yang masih sihat, adik-beradik yang sama-sama mengejar mimpi, beras di rumah belum pernah habis tanpa diganti dan mempunyai kawan-kawan yang baik, adalah hidup yang manis.

Aku mempunyai kenalan rapat yang sudah berpisah dengan suaminya pada usia 25 tahun, belum mempunyai cahaya mata. Aku juga mempunyai sahabat yang selalu mengatakan dirinya belum berjaya kerana masih bekerja sebagai kuli walaupun mempunyai diploma. Mungkin orang lain mudah mengatakan bahawa lebih baik bercerai sekarang daripada belum mempunyai cahaya mata atau ketika umur lebih lanjut, dan orang lain pula mengatakan, okay lah tu ada kerja, daripada duduk mengangkang saje mengharap belas mak bapak.

Tahukah mereka, jauh di benak perasaan sahabat-sahabat aku itu, apakah sebenarnya luka yang mereka rasa??? Mungkin akan sembuh, mungkin juga luka tersebut terus membebani mereka sehingga mati. Sebenarnya apa yang hendak aku sampaikan?

Okay, ditakdirkan salah seorang geng rumah sewa ketika diploma dulu melangsungkan perkahwinan. Dan dua sahabat yang aku ceritakan awal tadi tidak muncul. Ya, mereka juga sama-sama baik ketika di Poli dulu. Kedengaran tidak sepatutnya mereka tidak memunculkan diri ketika majlis kahwin geng ini tadi.

Sebenarnya mungkin juga artikel ini adalah justifikasi untuk aku apabila aku tidak muncul di mana-mana majlis kahwin kawan aku untuk masa akan datang!

unwell - matchbox 20

Much love,
NJ :)

Sunday, November 3, 2013

where do broken hearts go...

Assalamualaikum,

Seorang abah adalah ketua keluarga. Seseorang yang kita temui bila duit tidak ada. Bila hujan lebat berserta kilat dan guruh yang berdentum juga kita pergi mencari abah untuk berlindung di bawah ketiak dia. Terasa selamat. Ditakdirkan ALLAH abah pergi buat selama-lamanya. Apa jua sebabnya, kanser, kemalangan, tua, sakit jantung, abah tetap pergi bila ALLAH sudah memanggil hambaNYA kembali...

Emak. Terlalu mulia tempatmu disisi ALLAH. Tiada pernah jemu menguruskan isi rumah walaupun bekerja. Tidak pernah berkira dengan masa yang dia ada untuk berehat demi anak-anak dan suami. Sampai masa emak juga akan pergi menemui Cinta yang sebenar-benarnya...

Dia geng pertama kita. Membesar bersama-sama. Mengharap tua juga bersama-sama. Bila hati perit diuji, baju dia tempat air mata dan hingus ini dikesat. Kakak, abang, adik, along, angah, uda, achik, acu, ucu, panggillah apa sahaja. Darah yang mengalir darah yang sama. Harapan untuk beruban bersama tidak mungkin akan terjadi kerana kita hanya hamba, punya tarikh tamat tempoh. Siapa mampu menahan andai ALLAH menjemput mereka lebih awal?

Sepasang suami isteri yang disatukan dengan akad yang mulia bermula dengan cinta yang diyakini untuk terus berkongsi hidup membina keluarga. Pelbagai janji dibuat. Segala perancangan diatur agar impian kekal menjadi nyata hingga keakhirnya. Siapa sangka badai melanda. Ikatan suci terlerai. Semua jalan diteroka. Semua jalan mati. Tiada jalan lain selain talak...

Ikatan ukhuwah yang dibina ketika usia tanpa dosa sangat indah. Semakin menginjak usia, semakin hati berubah. Tanpa selamat tinggal, tanpa kata-kata, kita mula menjadi kembali asing...

Hati mula terusik apabila teringatkan dia. Jiwa terasa bergetar bila dia ada. Angan-angan mula dibina. Terasa perlu berusaha. Walau tanpa bersemuka, hasrat hati dinyata. Tiada balasan. Tiada jawapan.

Berhempas pulas mencuba. Tanpa jemu berusaha. Yakin akan kemampuan diri. Tanpa diduga, keputusan yang terhasil adalah satu kegagalan. Gagal untuk mencapai matlamat dan sasaran.

Hadapilah kenyataan. Hidup tidak seindah mimpi. Pergilah mencari Ilahi. Dia tidak pernah menyepi.

Inteam- Jatuh bangun

Much love,
NJ :)

Tuesday, October 15, 2013

Tidak perlu jauh hati

Assalamualaikum,

Satu ketika, kehidupan bersahabat sangat indah. Penuh gelak ketawa, walaupun bukanlah setiap masa. Berkongsi segalanya. Soal hati dan material. Penuh impian indah agar terus kekal rapat sehinggalah ke hari tua. Indahnya bersahabat ketika bersekolah.

Hakikatnya tidak selalu begitu. Macam dalam kebanyakan filem. Ada watak begitu komited dalam bersahabat. Mungkin tidak sepenuhnya, tetapi aku selalu meletakkan diri aku sebagai Samwise Gamgee dalam filem The Lord of The Rings. Apabila Frodo Baggins mengambil keputusan untuk terus menetap berjauhan bersama pak ciknya, Gandalf dan yang lain, tidak lagi di Shire, Sam adalah insan yang paling sedih.

I guess you can't change the fact that people change. As we get older, you lose people around you. Rasanya tidak perlulah aku berjauh hati apabila kawan-kawan semakin menjauh diri. Mereka lebih berjaya dalam akademik dan kerjaya, mereka mendirikan rumah tangga dan mempunyai keluarga sendiri, mereka memilih untuk menjauhkan diri.

Tidak mengapa...

Much love,
NJ :)

Sunday, January 22, 2012

Sudah sampai seru mereka


Assalamualaikum,

Baru-baru ini aku mendapat jemputan ke hari pertunangan rakan sebilik rumah sewa ketika mengambil diploma di Politeknik Merlimau dahulu, Sumaiyah. Beberapa jam sebelum itu aku mendapat perkhabaran bahawa bekas rakan sebilik aku ketika semester 2 di kamsis Blok V4 Politeknik Merlimau, Noor Hidayu, sekaligus merangkap rakan yang paling selalu aku berkepit bersama ketika diploma dahulu juga ingin bertunang dengan pilihan hati dalam masa terdekat.

Tidak dapat dinafikan aku gembira dengan perkhabaran tersebut. ALHAMDULILLAH, mereka selangkah lagi sebelum menyempurnakan separuh agama ALLAH yang suci ini.

Menginjak usia ke angka 25 memang begini situasinya. Semakin ramai rakan-rakan di sekeliling kita mendirikan rumah tangga atau selangkah ke arah itu. Tipulah aku mengatakan aku tidak terganggu dengan fakta tersebut. Tetapi bak kata Dr Tuah, mungkin jambatan jodoh aku panjang, perjalanan aku ke hujung jambatan masih jauh.

Sejujurnya, aku tidak tahu akan ke mana hala entry kali ini. Apa yang pasti, aku terasa ingin menulis mengenai perkara ini. Bak kata penulis buku kanak-kanak popular, Beatrix Potter, you never know where the first few words will take you…

Hurmmm… ok, aku ketandusan idea…

Mungkin tulisan kali ini tidak membawa aku kemana-mana.

Much love,
NJ :) 

Sunday, November 6, 2011

Cerita ketika Aidiladha


Assalamualaikum,

Terasa lama sudah tidak menyinggah dan menambah tulisan baru dalam blog ini. Terkadang idea datang, tetapi apabila idea yang datang tidak dizahirkan dalam tulisan, maka ia hanya seperti angin yang berlalu.

Aidiladha kembali lagi. 


Kesempatan cuti Hari Raya Haji ini diambil untuk berjumpa dengan sahabat baik sejak dari sekolah rendah lagi. Ain, bakal dinikahkan dengan pilihan hatinya, Daus. ALHAMDULILLAH, sudah pastinya ini adalah berita yang menggembirakan. Pertemuan ini adalah kerana ingin memberitahu bahawa jemputan tidak dapat dipenuhi lantaran terdapat kelas ganti koko pada hari pernikahan tersebut dari pagi ke tengahari. Sejujurnya, tidak mampu untuk berkejaran menaiki bas untuk balik ke Muar selepas kelas, kemudian ke walimatul urus beliau sebelah malamnya dan kemudian pagi esoknya kembali semula ke Tg Malim.

Terkilan sebenarnya. Terlihat juga riak terkilan pada wajah Ain. Tetapi apakan daya. Pertemuan tadi semestinya tidak sama seperti munculnya diri ini pada hari jemputan tersebut, tetapi itu sahaja terdaya mampu. Pertemuan kami terakhir sebagai sesama bujang sebelum Ain ke fasa baru dalam hidup sebagai isteri orang. Maaf Ain, ini bukan dalam perancangan. Bak kata Ustaz Akhil Hayy, kita merancang, ALLAH juga merancang, tetapi perancangan ALLAH lebih baik. Tiba-tiba sebak pula terasa dalam dada. Sahabat baik sedari sekolah rendah, sama-sama mengharungi zaman remaja sehingga kini sudah dewasa bakal bergelar isteri! Selepas ini, semuanya akan berubah.

Dari sini, doa dikirim semoga Ain dan Daus bahagia mengharungi alam rumah tangga, dikurniakan anak soleh solehah, dan kekal bahagia hingga ke syurga. AMIN…


Much love,
NJ :) 

Monday, June 27, 2011

Walimatul urus…

Selamat Pengantin Baru - Hijjaz


Assalamualaikum,

Setiap kali menjelangnya musim cuti sekolah, kad jemputan walimatul urus memang biasanya agak kerap diterima. ALHAMDULILLAH itu tandanya kita masih diingati oleh sanak saudara dan rakan taulan. Itu juga bermakna banyak lagi ‘masjid’ yang akan dibina dan insyaALLAH bertambahlah umat Nabi Muhammad di muka bumi ini. Sesungguhnya Rasulullah bergembira dengan ramainya umat Beliau di akhirat nanti. Siapa tahu, bakal ulama terulung atau pahlawan hebat yang tidak gentar berjihad di jalan ALLAH akan dilahirkan. AMIN… (bersemangat semacam pulak ye hehehe)

Begitu juga cuti sekolah pertengahan tahun yang lalu. Tetapi ada satu kad walimah yang istimewa aku terima kali ini. Sekarang ini kad jemputan kahwin tidak lagi hanya atas nama mak atau abah. Nampaknya aku sudah sampai fasa seterusnya dalam hidup, fasa untuk berkahwin hehehe. Kad jemputan ini aku terima daripada sahabat baik yang dikenali ketika sama-sama berjuang mendapatkan diploma di Politeknik Merlimau dahulu. Tahniah kakakku, Norafizah Mukhtar yang sudah pun selamat diijabkabulkan dengan pilihan hati, Fariz, 11 Jun yang lalu.


 Dalam kelas Diploma Pemasaran Politeknik Merlimau sesi Jun 2005 hingga Januari 2008 dahulu setakat ini sudah 3 orang sudah selamat diijabkabulkan dan kami sudah mendapat seorang anak buah daripada Azza

Seronok sebenarnya menghadiri majlis kenduri kahwin kawan ni. Eh macam bertentangan je kan dengan entry sebelum ni huhuhu. Seronok apabila menghadiri majlis kenduri kahwin kawan yang baik, rapat dan tidak tengok kita ketika berbual dengan pandangan yang semacam…

Cuma agak terkilan tidak berkesempatan berjumpa dengan Ayu Husin, Cik Yat dan Poci. Rindu kamu semua, lama sudah tidak berjumpa kan. Walau apa pun, dapat bertemu dengan Kak Med, Maya dan sudah tentunya si pengantin, Kak Fiza pun sudah mampu menghilangkan rindu untuk berbual, bergelak tawa macam masa dulu-dulu…

Giliran siapa pula lepas ni ye…? Masing-masing nampaknya sudah berteman. Cepat-cepatlah booking Tok Kadhi hehehe. Sempurnakan separuh agama tu...


Much love,
NJ :)

Sunday, May 29, 2011

(tak tau nak letak tajuk pe)

Assalamualaikum,

Baru-baru ini aku ada menghadiri majlis kenduri kahwin kawan lama semasa menengah rendah dulu. Sejujurnya, aku memang terasa lemah untuk menghadiri apa-apa majlis yang melibatkan pengumpulan kawan-kawan lama secara beramai-ramai melibatkan rakan-rakan sekolah yang tidak berapa hendak rapat sangat. Tetapi aku pergi juga kerana sahabat baik aku yang dua orang itu hendak sangat pergi dan kebetulan hari itu jugalah kami dapat berkumpul bertiga. ALLAH sahaja yang tahu betapa susahnya kami bertiga untuk berkumpul bersama…

Biasanya aku akan mengalami peperangan emosi dengan diri sendiri selepas menghadiri gathering macam ni. Faham-faham sahajalah bila dah berkumpul ramai-ramai macam ni, bermula dengan hai-hai, bersalam-salaman dan kemudian, “Kau macam mana sekarang? Buat apa sekarang?” Dan pada aku, this is the part where you run away!

Betul cakap Ustaz Asri, sebahagian para sarjana ada cakap, bersyukur itu kadang-kala makamnya lebih tinggi daripada bersabar. Sabar memanglah kita boleh bersabar, tapi untuk bersyukur bukan mudah. Sebab itulah aku malas hendak melibatkan diri dengan majlis-majlis macam kat atas tadi. Aku malas sangat hendak berperang dengan emosi sendiri kemudian bersusah payah hendak pujuk diri sendiri supaya menerima qada’ dan qadar diri sendiri dengan penuh rasa syukur…

Sejujurnya, aku bukanlah pelajar yang dipandang di sekolah bermula daripada tadika sehinggalah kini, apatah lagi menjadi pelajar harapan sekolah. Mereka semua memang result with flying colours dari dulu, jadi masa kini mereka juga sangat menarik untuk diceritakan. Cerita-cerita tersebut bukan sahaja daripada segi akademik dan kerjaya, tetapi juga hal peribadi, hak milik dan fizikal masing-masing.

Jadi kawan-kawan, maafkanlah kawanmu yang ‘kerdil’ ini sekiranya keliatan aku untuk muncul di mana-mana majlis kamu semua termasuklah reunion yang dianjurkan. Ketahuilah aku sangat memahami kesusah payahan kamu semua merancang itu semua dan mengharapkan kerjasama aku, tetapi aku juga mengasihani diri sendiri yang perlu ‘dirawat’ lebih kurang 2-3 hari sebelum pulih seperti biasa…

3 perkataan untuk aku - Gembeng, gedik, cengeng!!!

Alahai susahnya nak bersyukur

Pak Yuih : Boleh tuju lagu?

Taukeh : Tak payah!!!

(aku pun tak tau nak share lagu apa untuk aku yang ngek ni)

Much love,
NJ :)

Sunday, April 10, 2011

Doa yang tidak dimakbulkan...

Assalamualaikum,

1 hingga 3 April yang lepas aku mengikuti perkhemahan Pandu Puteri Siswi II di Kalumpang Resort. Macam biasalah, aku memang lemah habis soal camping-camping ini. Jadi dengan hati yang terpaksa rela, tempuhi jualah sebagai memenuhi jam kredit kokurikulum ini...

Hendak dijadikan cerita di sini, ada 2 aktiviti yang sangatlah mencabar kekuatan fizikal dan mental diri ini yang walaupun berbadan besar tetapi mempunyai hati yang kecil (bak kata arwah abah), iaitu aktiviti Jungle tracking dan River tracking.

Sangat diakui di sini bahawa rakan-rakan Pandu Puteri memang membantu habis ketika aktiviti-aktiviti tersebut dijalankan terutamanya Ekin Hashim dan Mimie Aziz. Yang kelakarnya diorang berdua kurus kecil sahaja orangnya, dan aku akan berada di tengah-tengah antara mereka berdua. Hahahahahahahahahahahaha!

Rasa-rasanya hampir 10 kali juga aku hampir terjatuh dan banyak kali juga aku memang terjatuh ketika aktiviti river tracking. Kami perlu melawan arus sungai dengan kebanyakan batu sungai licin dan jika tidak berwaspada, kita mungkin terpijak kawasan yang dalam. Jangan ditanya berapa puluh kali aku berhasrat hendak patah balik dan berapa kali aku bertanya dengan Pak Dee, yang membawa kami untuk aktiviti tersebut mengenai jauh lagi ke tidak perjalanan hahahahahaha! Yang tak tahan tu, ikut arahan yang sepatutnya, kami perlu ikut sungai juga untuk jalan pulang, tetapi Pak Dee pilih untuk ikut jalan darat. Jauh di sudut hati, aku rasa pertanyaan berulang kali aku adalah salah satu faktornya huhuhuhu.


Beberapa siri hendak terjatuh itu adalah antara saat yang paling mencemaskan. Asyik terfikir di dalam kepala, kalau terjatuh lepas itu kepala terhentak atas batu... Nau'zubillah minta dijauhkan... Mungkin juga ALLAH ingin memberikan hikmahNYA di situ, secara tiba-tiba aku teringat dahulu ada seorang ustaz pernah mengatakan bahawa, doa-doa kita yang selama ini tidak dimakbulkan oleh ALLAH, perginya di sinilah. Di kejadian-kejadian yang kita diselamatkan daripada hampir berlaku kecelakaan kepada kita. Salah satu contohnya ialah apabila pisau jatuh dari atas meja dan hampir menikam kaki kita.

Itulah aku selalu mempersoal kenapa doa ini tidak dimakbulkan, doa itu tidak ditunaikan, sedangkan ALLAH lebih tahu daripada kita. Aku di sini tidak berniat hendak berkhutbah kerana aku juga tidak semulia mana, cuma ingin berkongsi cerita. Moga-moga kita semua beroleh manfaatnya, INSYA ALLAH...

Much love,
NJ :)

Saturday, April 9, 2011

Saya minta maaf... truly i am :'(

Assalamualaikum,

Kalau ada yang bertanya kelemahan utama aku selain 'tidak mampu melepaskan pergi', aku sangat susah ingin memohon maaf kepada orang lain yang telah aku sakiti hatinya, lebih-lebih lagi orang yang aku rapat. Termasuklah mak dan abah sendiri... :'(

Bukan bermaksud apa-apa entry kali ini selain hendak meminta maaf kepada seseorang ini atas kelakuan aku yang melampaui batas. Ya ALLAH, aku memang bersalah, itu aku akui, tetapi untuk berdepan meminta maaf, Ya RABB susahnya... Sahabat, maafkanlah aku, ya aku tahu kau memang sakit hati dengan aku sekarang. Maafkanlah kesalahan aku dan kepengecutan aku untuk berdepan. Ketahuilah, semakin rapat hubungan bersahabat, semakin payah untuk aku berdepan. Entahlah...

Blue & Elton John - Sorry seems to be the hardest word

Entah kamu ingin lagi membaca blog aku lagi atau tidak, itu aku tidak pasti. Tetapi andai kamu terbaca entry ini, aku mohon ALLAH bukankan hatimu untuk memahami maaf ini aku tujukan kepadamu. Aku juga berharap kau maafkan aku atas keterlanjuran mulut aku dalam berjanji. AMIN...

In-team - Bicara Kata

Sesungguhnya aku sangat malu, setiap entry aku di dalam blog ini kononnya persis seorang ustazah, tetapi perangai aku di luar, ASTAGHFIRULLAH...

Much love,
NJ :)

Sunday, February 27, 2011

'Ibrah perjalanan ke Pulau Pangkor

Assalamualaikum,

ALHAMDULILLAH, perancangan hampir setahun lalu untuk bercuti dengan housemate termakbul 5 Februari yang lalu. Perancangan asal ialah ke Genting Highland, tapi kerana beberapa alasan, lokasi ditukar (syukur sangat-sangat hahaha). Idea original untuk ke Pulau Pangkor datang daripada Dilah Aziz dalam kelas Pandu Puteri!

Kami pergi 7 orang dengan kos seorang RM150 untuk penginapan (2 hari 1 malam), makanan, aktiviti sepanjang di Pangkor dan tambang pergi balik. Oleh kerana perjalanan pulang dari Lumut-Ipoh kami menaiki bas yang 'sangat selesa dan murah', ditambah lagi boleh pulak bas tersebut tidak turunkan penumpang di Stesen Bas Medan Gopeng, Perak sebaliknya di Shell Ipoh, kami perlu korbankan duit kami untuk menaiki dua teksi (sebab 7 orang) yang setiap satu tambangnya RM12 untuk ke Stesen Bas Medan Gopeng, oleh itu budget kami lari. Jadi untuk makan malam hari tersebut kami perlu menambah lagi seorang RM4.

Despite what happened, kami tetap gembira dan sangat berpuas hati dengan trip ni. Dugaanlah yang mewarna sempurnakan perjalanan ini bila dikenang kembali (walaupun masa kejadian makian berbakul hahaha). Perjalanan pulang dari Lumut-Ipoh dengan bas P**** ***d**** memang menduga iman, ditambah lagi dengan caj harga makanan malam kami sebelum itu yang mencecah RM60 untuk hanya 2 set tomyam seafood, 2 set kailan ikan masin, 2 set telur dadar, 7 pinggan nasi dan 5 cawan air laici dan yang paling menyebabkan kami diserang penyakit jantung ialah satu jug air teh o ais RM10!


 Alas perut sebelum sampai Pulau Pangkor
 Inilah basnya, terbaik aok!

Jeti feri untuk ke Pulau Pangkor
 Satu-satunya penginapan yang ada kolam renang di Teluk Nipah. Terbaik!

 Hajat di hati nak jumpa Nemo yang sebenar...

Aktiviti Island Hoping dan Snorkling- RM15 seorang
Air warna hijau, sangat cantik!
Nampak tak batu tu bentuk ikan paus, dengan mulutnya dan pokok di atas macam air yang terpancut dari atas badannya, SUBHANALLAH. 

Yang ini pula bentuk kepala buaya dengan mulut seperti sedang makan sesuatu. What a landscap!
Yang ini pula bentuk seperti penyu
 Kilang Sate Sotong, Ikan  

Replika Tembok Besar China
Kubu Belanda
Batu Bersurat
Sesuatu untuk diri sendiri :)
Sebelum berhenti, nak puji surau dan bilik air di Jeti Pulau Pangkor. Memang cantik dan bersih, selesa! Malangnya terlupa nak ambil gambar. Kesimpulannya, kami seronok dan berpuas hati, syukurlah...

Much love, 
NJ :)  

Wednesday, November 3, 2010

Jejak Kasih + Tuhan Manusia


Assalamualaikum,
Setelah hampir sekian lama mengharap dan lebih setahun merancang, akhirnya pertemuan semula dengan sahabat lama, Nurul Afifah menjadi kenyataan, setelah hampir 11 tahun tidak ketemu. Pertemuan ini membawa kepada kegembiraan yang lain juga, apabila aku dapat kembali semula ke Midvalley seterusnya ke MPH! Seronok berganda kerana tempat di mana aku berasal, kebanyakkannya ialah kedai buku yang menumpu kepada bahan bacaan komersial.

Aku sempat membeli 3 buah buku (ALHAMDULILLAH). Walaupun sebenarnya aku ingin memborong lebih daripada itu, faham-faham sajalah kenapa… ;)

Berbalik kepada jejak kasih, ternyata Afifah tidak banyak berubah daripada segi sikap, tetapi fizikal, ya. Afifah sekarang jauh lebih tinggi, sebenarnya dari dulu lagi dia memang tinggi hehehe. Muka dia juga lain sedikit, maklumlah umur pun sudah berapa sekarang berbanding kali terakhir berjumpa dulu, ketika darjah 6!

Seronok rasanya dapat berkumpul semula walaupun hanya bertiga, aku, Afifah dan Nadia. Kalau hendak diikutkan, geng kami masa darjah 6 dulu 7 orang semuanya. Baki 4 orang lagi ialah Ain, Puteri, Hidayah dan Syafiqa. Jarak, umur dan tahap kepandaian memisahkan kami semua. Secara konsistennya yang masih selalu bersama ialah aku, Ain dan Nadia kerana ALLAH mentakdirkan kami tinggal berdekatan antara satu sama lain. 


Okay, kali ini aku ingin berkongsi buku terbaru yang aku baca tulisan Faisal Tehrani. Aku sudah jatuh cinta dengan buku tulisan Faisal Tehrani sejak Tunggu Teduh Dulu. Gaya bahasa dan tema cerita yang ditonjolkan memenuhi cita rasa aku selain tulisan Dzul Karnain Ithnain yang terkenal dengan novel komponen sastera tingkatan 2, Tragedi 4 Disember. Buku terbaru yang dimaksudkan ialah Tuhan Manusia. Sejujurnya aku tak pandai membuat sipnosis. Jadi aku salin semula sipnosis di belakang buku ini.

Novel ‘Tuhan Manusia’ menyelami kehalusan jiwa dan akal seorang adik yang cuba memahami kemurtadan abangnya. Maka terbentanglah panorama pemikiran manusia yang mencabar hakikat ketuhanan.

Novel ini sangat mengharukan. Aku menangis semasa membaca novel ini. Sejujurnya, novel ini agak berat bagi aku yang sangat kurang ilmu agama dan hal ehwal semasa. Kepada sesiapa pun, aku cadangkan untuk membaca novel ini, semoga sama-sama memperoleh manfaatnya ;)

Akhir sekali, aku nak kongsi 2 potong ayat suci Al-Quran sebagai renungan bersama, yang juga menjadi renungan di dalam novel ini.

Berapalah banyak kota yang Kami telah membinasakannya, yang penduduknya dalam keadaan zalim, maka (tembok-tembok) kota itu roboh menutupi atap-atapnya dan (berapa banyak pula) sumur yang telah ditinggalkan dan istana yang tinggi. Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada. -Al-Hajj ayat 45 & 46-

Much love,
NJ :)