Syurga itu matlamat!

Syurga itu matlamat!
Showing posts with label Muhasabah diri. Show all posts
Showing posts with label Muhasabah diri. Show all posts

Friday, September 12, 2014

Aku dah tua

Assalamualaikum,

Syawal 1435 tahun ini kami sekeluarga tidak pulang beraya ke kampung dan rumah pakcik makcik kerana keadaan adik yang berkerusi roda patah kaki dan tangan kiri kesan kemalangan yang dialami dua bulan sebelumnya. Kebanyakan rumah kampung bertangga dan ini menyukarkan bagi mereka yang berkerusi roda, lagi pun biasanya seharian diperlukan untuk menyempurnakan kesemua rumah yang ingin diziarahi dan adik perlu ke tandas. Pendek kata memang susahlah. Jadi kami mengambil keputusan untuk duduk sahaja di rumah, menunggu tetamu datang beraya sahaja.

Alhamdulillah setelah melalui beberapa sesi fisioterapi keadaan adik semakin baik walaupun masih berkerusi roda. Alhamdulillah juga salah seorang mak saudara berpeluang mengerjakan haji tahun ini dan mengadakan kenduri doa selamat baru-baru ini sebelum terbang ke Madinah 7 September ini. Dengan keadaan adik yang semakin baik ini, maka mak dengan mudah membuat keputusan untuk pergi ke kenduri tersebut, sekaligus singgah ke kampung dan rumah mak saudara aku yang lain juga. Kebetulan kebanyakan daripada pakcik makcik aku tinggal sekampung.

It only takes a year. A year to make an absolute difference. Syawal 1435 ini melihatkan kebanyakan makcik dan pakcik semakin uzur dan cengkung, tidak seperti tahun sudah. Serta-merta rasa sebak datang. Welcome to grown up world Anim! Walaupun kami tidaklah begitu rapat, tetapi melihat keadaan semasa mereka mengundang rasa sedih dalam diri. Ya ALLAH, sembuhkanlah pakcik dan makcik aku, kembalikan kesihatan badan mereka dan jadikan kami semua hambaMu yang sentiasa bersyukur dan beringat. AMIN…


Melihatkan keadaan mereka yang semakin berusia menyedarkan aku bahawa aku juga semakin tua!

Much love,
NJ :)

Wednesday, September 3, 2014

Sepetang disekolahkan

Assalamualaikum,

Baru-baru ini aku ada menghabiskan masa yang berkualiti dengan sahabat lama. Sahabat yang sama-sama jalan kaki ke sekolah agama sampailah darjah khas. Dia sudah berkahwin, mempunyai seorang cahaya mata dan sudah tidak lagi bermastautin di Muar. Tetapi kini berada di Muar, rumah bondanya kerana suaminya berkursus di luar daerah. Jadi aku ambil peluang ini untuk kami menghabiskan sepetang bersama.

Aku kagum dengan sifat syukur, sabar dan redha dia. Rasanya tak pernah dengar dia merungut tentang kesusahan hidup. Berada dalam keluarga besar 9 beradik dan hanya ayah yang bekerja, aku hanya mengagak bahawa kehidupan yang mereka lalui tidaklah mewah.

Typical me for questioning why I still unemployed and unattached. Lebih-lebih lagi apabila soalan mengenai perkara-perkara tersebut dinyatakan pada aku. Sungutan tersebut biasanya meleret dengan pelbagai justifikasi dan tuduhan. Astaghfirullah…

Dah puas merungut kan? Bila mulut tak kisah mengomel tanpa berfikir panjang, maka telinga biasanya yang menahan rasa perit. Panas jugalah telinga apabila disekolahkan oleh sahabat aku itu akan ‘peace of mind’ yang kerap jugalah diulang-ulang perkataan tersebut petang itu. Dia mengingatkan aku bahawa sebelum mempersoal kenapa ALLAH masih belum memberi apa yang kita mahu, tanya dulu diri sendiri:
·     
  • Solat dah settle? Kalau dah, adakah dilakukan pada awal waktu?
  • Zikir dah settle? Sekurang-kurangnya istighfar 100 kali waktu pagi dan 100 kali waktu petang

·         And the list goes on…

Kalau aku boleh ringkaskan silibus petang tersebut (hehe sori Nabila, gurau), aku rasa aku boleh gunakan analogi yang digunakan Ustazah Yasmin dalam rancangan Always A Traveler dengan Mizz Nina. Macam ini, kalau kita perlu bermalam selama lebih kurang seminggu di suatu tempat, kita tentu tidak begitu mengambil peduli akan warna cadar katil atau rakan sebilik yang ditentukan tersebut tidur berdengkur. Hal ini adalah kerana kita tentu berfikir bahawa perkara ini hanya sementara dan tidak lama lagi kita akan meninggalkan tempat ini. Tetapi jika ianya untuk selama-lamanya, baru perkara ini boleh menjadi masalah kepada kita.

Got the picture? Ya ALLAH, bukan aku tak tahu dan tak sedar yang hidup di dunia ini hanya sementara dan akhirat kekal selama-lamanya, tetapi aku masih belum mampu mendidik diri untuk redha dan bersyukur. Baca buku macam-macam, kongsi ibrah daripada hasil pembacaan dan segala macam tragedi yang terjadi di blog, media sosial bukan main lagi, tetapi diri sendiri belum mampu dididik dengan baik. Maafkan aku ya ALLAH…


I guess this article makes it come down to one simple question, am I hypocrite? 

Much love,
NJ :)

Monday, August 18, 2014

Where rainbows end

Assalamualaikum,


Alhamdulillah, baru sahaja habis membaca buku di atas nih. Sebenarnya percubaan ketiga membaca buku tulisan Cecelia Ahern. Percubaan pertama, The Book of Tomorrow dan percubaan kedua, There's No Place Like Here menemui kegagalan. Ya ALLAH, sungguhlah membosankan membaca buku-buku percubaan pertama dan kedua itu. Percubaan pertama mampulah juga melepasi dua ke tiga bab, tetapi buku percubaan kedua tu hanya mampu melepasi satu bab sahaja. Sampailah satu tahap rasanya putus asa sudah dengan tulisan Cecelia Ahern. Syukurlah ketiga-tiga buku ini aku beli dengan harga yang murah iaitu ketika di Big Bad Wolf dan buku seperti dalam gambar di atas adalah buku second hand dengan harga hanya RM8, tetapi masih dalam keadaan sangat baik.

Oleh kerana sudah terlajak membeli sampai tiga buah sekaligus (kerana murah dan ramai cakap buku Cecelia Ahern ni best), maka aku cubalah juga membaca buku ketiga ini. Fuh, seriously memang tak sangka! Buku ketiga ini memang membuatkan aku tak nak berhenti menyelak muka surat demi muka surat. Novel ini agak unik kerana semuanya diceritakan melalui emel, surat, mesej pendek, nota. Tetapi kebanyakkannya adalah melalui emel. Watak utama Rosie Dunne dan Alex Steward. Kerana Arsenal baru signed new player, bila watak Alex disebut, aku mesti terbayangkan Alexis Sanchez (it really helps though, since he's so handsome hahahaha).

Okay macam biasa, aku tak berapa gemar dan pandai ulas balik jalan cerita buku atau filem. Secara ringkasnya Rosie dan Alex berkawan baik sejak berumur lima tahun. Macam-macam jadi dan akhirnya bersatu juga mereka pada usia 50 tahun. (Hahaha so much for a book review). Untuk sebuah jalan cerita dalam novel memanglah seorang pembaca akan mengandaikan betapa cute nya mereka berdua, tetapi cuba alihkan perjalanan hidup mereka ke alam realiti, tentu sudah tidak comel lagi.

Okay apa yang aku sedang merepek ini. Begini, mereka masing-masing sudah menyedari saling mencintai antara satu sama lain pada usia yang sangat sesuai untuk mendirikan rumah tangga, 20 an. Tetapi kerana mereka terikat dengan ikatan 'sahabat baik' dan tiada antara mereka yang mengalah untuk mengakuinya lebih awal (walaupun Alex ada membuat pengakuan melalui surat ketika mereka berusia 30 tahun, tetapi suami Rosie menjumpainya terlebih dahulu, ketika ini perkahwinan Rosie dan Greg agak berantakan), jadi penyatuan mereka berlaku agak lewat, iaitu pada usia 50 tahun.

Sebagai seorang Muslim, kita beriman kepada qada dan qadar ALLAH. Begitulah yang ingin disampaikan oleh penulis (yang bukan beragama Islam dan tidaklah beliau menyatakan sebegitu). Novel ini membuatkan aku terfikir, sanggupkah aku bersabar sebegitu lama untuk bersama dengan cinta sejati dan melalui pelbagai onak duri semasa dalam tempoh ke arah itu? Novel ini tidaklah semata-mata berkisarkan mengenai cinta antara mereka, tetapi terdapat juga isu Rosie Dunne yang bergelut untuk mencapai cita-citanya menyambung pelajaran dalam bidang pengurusan hotel dan menguruskan hotel (walaupun pada akhirnya beliau hanya mampu menguruskan B&B-bed and breakfast, di rumah tinggalan ibu bapanya yang besar).

Aku yakin dan mesti yakin ALLAH lebih mengetahui bilakah masa yang sesuai untuk semua perkara. 


Much love,
NJ :)


Thursday, April 3, 2014

Jangan berhenti berlari

Assalamualaikum,

Buku ini adalah salah satu buku feveret aku. Besar pengaruhnya pada usaha aku untuk menyiapkan tesis tahun akhir aku. Aku baca buku ini ketika cuti semester 7. Ya, hasilnya tidaklah sehebat mana, sekurang-kurangnya aku menjadi lebih berhati-hati dalam membuat sebarang rujukan. Terkesan dengan usaha penulis buku ini yang bersungguh-sungguh menyiapkan tesis Sarjana dan PhD dan mencapai keputusan peperiksaan dengan cemerlang. Bukannya mudah kerana sudah berkeluarga dan mempunyai tanggungjawab-tanggungjawab yang lain. 

Isi-isi di dalam buku ini sangat mengesankan. Penggunaan bahasa dan olahan ayat pada pendapat aku tidaklah begitu tinggi, tetapi mampu menyentuh semangat juang yang tinggi kepada pembaca!

Dalam banyak-banyak kualiti yang ada pada diri penulis, ada satu kualiti yang aku cemburukan. Kualiti tersebut adalah boleh buat banyak kerja dalam satu masa. Ya ALLAH, bantulah aku juga mampu memanfaatkan masa yang Kau kurniakan ini dengan banyak perkara berfaedah mampu aku sempurnakan. AMIN...

Aku biasanya akan meninggalkan tabiat membaca buku-buku yang tidak berkaitan dengan tugasan hakiki aku pada satu-satu masa. Contohnya ketika belajar dulu, sepanjang semester aku hanya tertumpu kepada buku-buku pelajaran dan tugasan yang perlu disiapkan, begitu juga ketika latihan mengajar dan guru ganti sebelum ini, hanya diulit dengan buku-buku sekolah dan persediaan untuk mengajar. Aku seperti tiada ruang bernafas untuk berehat sekiranya mengambil masa untuk membaca buku-buku yang lain. Masa senggang hanya untuk berehat, rehat dan rehat. Itu sahaja!

Hanya ketika cuti semester dan ketika tidak bekerja seperti sekarang inilah baru aku membongkar kembali rak mencari buku-buku yang masih belum dibaca. Macam mana hendak menjadi mukmin yang hebat sekiranya tidak mampu merancang masa dengan sebaiknya... Dalam kepala ini hanya memikirkan bila masa yang sesuai untuk tidur...

Seorang pelajar pernah bertanya pada saya, "Ustaz, saya tengok dalam profil ustaz, banyak betul kerja dan tugas ustaz. Bagaimana ustaz urusakan semuanya? Khususnya nak pastikan kualiti semua kerja terjamin."

Semua tugasan itu boleh diurus jika kita mempunyai perancangan yang baik dan motivasi yang tinggi. Apa yang penting, rasakan kerja kita buat itu sedikit dan masih ramai di luar sana yang jauh lebih berat dan panjang senarai kerjanya, dan boleh pula cemerlang. Dengan melihat seseorang yang lebih berjaya, kita akan terhindar daripada sebarang perasaan ujub dan tertipu oleh syaitan.

Hal ini juga dituntut oleh Islam, sebagaimana Nabi melaksanakan pelbagai tanggungjawab dalam satu masa. Anda juga mesti berkemampuan untuk itu. Anda tentu boleh!
(Jangan berhenti berlari, muka surat 21-22)

Much love,
NJ :)

Wednesday, April 2, 2014

Cerita cinta AA

Assalamualaikum,
Aku ada satu sindrom iaitu baca beberapa buah buku dalam satu masa kerana otak terasa terlalu tepu dengan buku yang dibaca, kemudian untuk meneutralkan semula sel-sel otak, mulakan dengan membaca buku yang lain. Tetapi yang melampaunya bukannya dua buah buku, tetapi 5 buah buku dalam satu masa! (Cecelia Ahern; The book of tomorrow, Napoleon Hill; Think and grow rich, Maszlee Malik; Hamas Pejuang Kota Suci Baitulmuqaddis, Geografi Menengah Rendah dan GPTD; Cerita Cinta Ahmad Ammar).

Okay biarlah aku buat satu pengakuan, sebenarnya perkara ini terjadi kerana otak ini tidak dilatih dari kecil untuk menerima bahan-bahan ilmiah, intelektual dengan baik. Akibatnya, apabila sampai satu tahap, otak aku terasa tidak mampu menghadam ilmu-ilmu yang masuk, dan perlu kepada ilmu yang lebih ringan semula untuk mempersiapkan otak ini menerima ilmu-ilmu yang lebih berat pula. Sangat menyedihkan :'(

Pada umur 27 tahun atau lebih tepat 28 tahun hijrah, aku sepatutnya rasa sedih kerana tidak mampu lagi menyiapkan otak untuk berfikir lebih kritis dan kreatif. Bayangkan untuk menghabiskan baca buku pasal Hamas pun payah, macam mana nak pergi berjihad ke Palestin! Puihhhhh

Mungkin juga kerana itu ALLAH tidak melorongkan aku untuk menyambung pelajaran dalam bidang Sejarah yang memerlukan pembacaan lebih banyak dan teliti. Sejarah perlu untuk mengkaji segala sumber dapatan bagi satu-satu pernyataan. Aku juga sepatutnya lebih rasa malu lagi kerana bidang keusahawanan dan perniagaan yang diambil juga bukanlah dikuasai dengan baik juga. Mungkin bidang makan dan mengkritik makanan adalah bidang aku yang sebenarnya, puihhhhhh!

Cemburu dengan Ammar. Ammar hamba ALLAH yang mampu excel dalam akademik sains dan sastera. Kemudian meneruskan pengajian dalam sains sosial, Sejarah pengkhususan Daulah Turki Uthmaniyyah. Memiliki peribadi muslim yang sejati, tidak penat berdakwah dan tidak takut berjihad. Semoga beliau tenang dan bahagia di alam barzah. AMIN...

Aku pun nak berdakwah dan jihad jugak...

Tika aku menyatakan mahu berehat seketika
kerana penat dek terlalu banyak kerja dakwah
yang perlu dibuat seperti Rohingya, Kemboja,
PKPIM/ ABIM/ WADAH dan lain-lain,
Ammar membalas dengan spontan membuatkan 
aku terkedu...

'Abah, dunia ini untuk berjuang dan untuk penat,
kita rehatlah bila mati nanti di syurga.'

Ya ALLAH, benar sekali katamu anakku. 
Kau telah mendahului abahmu
untuk berehat di syurga!
(Haji Ahmad Azam)



Much love,
NJ :)

Friday, March 21, 2014

Ibrah daripada The Book of Eli

Assalamualaikum,

Okay entry kali ini sebenarnya mengenai satu tamparan laju-laju untuk aku. Satu kesedaran yang aku harapkan membawa kepada perubahan sikap yang lebih baik, bukan sekadar kesedaran yang hanya tinggal sekadar itu sahaja. Seperti sebelum-sebelum ini...hurm.

Baru malam tadi aku dapat menonton sepenuhnya filem The Book of Eli di saluran Fox Movies. Terima kasih kepada Astro PVR yang membolehkan aku tonton pada bila-bila masa yang aku suka tanpa perlu berebut remote dengan mak dan adik. Okay enough of that.

Aku bukan pengulas filem yang baik, juga pengulas buku yang baik. Aku hanya tahu mencadang filem atau buku untuk ditonton dan dibaca sahaja. Jika ada kesempatan untuk kamu menontonnya, hakimilah sendiri. Sedikit sebanyak beginilah ceritanya, sepertinya dunia mengalami satu peperangan yang maha dahsyat sehingga dunia seperti menjadi padang jarak padang tekukur. Peperangan itu juga membawa kepada pembakaran besar-besaran Bible yang terdapat di muka bumi ini. Jadi, Eli antara yang terselamat dalam peperangan tersebut dan antara yang boleh membaca. Kisahnya ialah selepas perang tersebut, tamadun manusia selepas itu kembali kepada zaman gelap iaitu buta huruf dan ada yang makan daging manusia untuk terus hidup, lebih teruk, mereka tidak beragama.

Walaupun Bible dibakar secara besar-besaran, tetapi satu naskhah masih terselamat dan dalam simpanan Eli yang menjumpainya di bawah timbunan batu-bata. Tapi salinan tersebut dalam bentuk tulisan Braille. Jadi misi Eli adalah menuju ke Barat untuk menyelamatkan Bible yang masih terselamat tersebut kerana katanya dia mendengar suara menyuruhnya berbuat demikian. Selain Eli, ada satu lagi watak, Carnegie yang juga mangsa perang boleh membaca yang terselamat. Carnegie boleh dianggap orang penting pada satu kawasan ini kerana ada akses terhadap air bersih dan boleh membaca. Carnegie tahu akan kewujudan kawasan air mata air sebelum perang bermula dan orang lain yang tahu sudah pun meninggal dunia kerana perang. Carnegie memerlukan Bible untuk menguasai lebih dari satu bandar. Jadi, ada konflik antara Carnegie dan Eli selepas Carnegie tahu Eli ada Bible terakhir yang masih terselamat.

Dipendekkan cerita, walaupun Carnegie dapat Bible tersebut, tetapi tiada guna kerana dalam bentuk tulisan Braille. Eli pula berjaya ke Barat dan rupanya di sana ada manusia yang mula mencetak dan menyimpan kembali buku-buku yang selamat untuk membina semula tamadun. Perjalanan Eli ke Barat tersebut sebenarnya memakan 30 tahun kerana hanya berjalan kaki selama ini. Dalam perjalanan, Eli tanpa gagal membacanya setiap hari (Eli seorang yang buta dan tahu membaca Braille). Oleh itu dia sudah hafal keseluruhan isi Bible tersebut, dan mengarahkan penulisan semula isi-isinya.

Jadi apa tamparan laju-laju yang aku rasa tu? Aku terfikir betapa banyaknya naskhah Al-Quran yang ada dalam dunia sekarang ini tetapi ada umat Islam (termasuk aku) yang tidak pernah menghargai setiap isi ilmu ALLAH di dalamnya. Al-Quran hanya tinggal kitab yang ada dalam salah satu dulang hantaran perkahwinan dan hanya dihargai oleh pelajar-pelajar jurusan agama, ustaz, ustazah dan para hafiz dan hafizah. Maaf aku tak pukul rata, bukan semua yang berada dalam bidang bukan agama jahil Al-Quran.

Aku begitu kagum dengan naskhah novel-novel bahasa Inggeris dan buku-buku motivasi orang luar, tetapi Al-Quran sebagai sumber kekuatan diri terbaik tidak pernah aku selak terjemahannya. Jauh sekali belajar tafsir sebab turun satu-satu ayat... Apakah kesedaran ini hanya kekal sekadar itu atau ada perubahan sikap yang lebih baik daripada sebelumnya?



Much love,
NJ :)

Sunday, February 9, 2014

Merawat diri

Assalamualaikum,

Hari ini ada mood nak update blog. Dan seperti kebetulan, mood datang ketika hati rasa sedih Arsenal kalah kepada Liverpool malam tadi. 5-1 bukan jumlah yang sikit. Ya, memang poyo, tapi sebagai peminat Arsenal, rasa perit akan kekalahan tak dapat nak dielak. Apa lagi dengan kedudukan semasa sebagai peneraju liga dan sudah kempunan 10 musim tanpa juara liga... Please the gunners, make up for what happened last nights, go win the rest of the games. Doesn't matter, Man U, Liverpool again or even Bayern Munich, we can beat them!!! Impossible is nothing.

Okay, seperti yang pernah aku ceritakan sebelum ini akan masalah tekanan mental, kebimbangan (anxiety) dan kemurungan yang aku hadapi ketika ini, aku tidak hanya berdiam diri. Aku sedar aku bermasalah, aku perlu akan rawatan. Sudah aku usulkan masalah ini kepada sahabat baik aku, Afifah dan Fiza, juga yang penting kepada emak, mereka semua menasihati jika aku yakin yang aku bermasalah, maka aku perlu untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya.

ALLAH tidak datangkan masalah tanpa jalan penyelesaian. Aku bersyukur, sahabat lama ketika sekolah rendah dulu, Eba, seorang kaunselor berdaftar. Walaupun dengan perasaan malu yang menebal, aku gagahi jua menceritakan masalah aku kepada Eba melalui FB. Dan ketika cuti raya cina haritu, kami berjumpa berdepan untuk sesi yang pertama. Eba ada menyuruh aku menjawab soal selidik DASS, katanya prosedur biasa. Ternyata keputusan ujian menunjukkan emosi dan mental aku bermasalah...

Banyak perkara yang kami bincangkan. Eba juga ada mencadangkan beberapa cara untuk aku atasi kelemahan aku. Kata eba, aku ada beberapa kelemahan ketara, antaranya tekanan kerja, sikap panas baran, sikap non-asertif. Panas baran aku bukan baru, dari kecil aku sudah sedar akan masalah ini. Baru-baru ini sikap panas baran aku sudah kritikal. Kerana terlalu marah akan adik dan emak, hanya kerana lambat lepas aku pesan berkali-kali jangan terlalu lama di pasar raya, aku tak mampu mengawal darah yang mendidih, cuma syukurnya hanya mulut aku yang bising, tidaklah sampai naik tangan atau kaki. Tapi aku kesal kerana bising kat emak juga :'( aku sepatutnya menghormati emak... Akibatnya, sepanjang petang dan malam, aku menanggung sakit kepala yang amat dan jantung berdegup terlalu laju. Keadaan yang amat tidak menyenangkan...

Aku juga sudah terlanjur memarahi pelajar 2 Mutiara dengan panggilan kepada mereka yang agak keras. Aku sangat-sangat kesal dengan apa yang sudah terjadi. Mujur tadi aku ada terserempak dengan sebahagian mereka di sekolah dan mereka kelihatan seperti sudah lupa akan perkara itu. Ya ALLAH...

Sikap non-asertif pula adalah apabila aku tidak mampu menyatakan perasaan sebenar aku kepada orang lain. Apabila orang lain meminta tolong kepada aku, aku sedar aku tak mampu untuk membantu, tetapi kerana tidak sampai hati mengatakan tidak atau tiada kekuatan untuk mengatakan tidak, aku terus mengatakan ya. Kemudian hidup dalam tertekan untuk menyempurnakan permintaan tersebut. Terlalu kerap aku begitu. Pernah sekali, aku bergaduh dengan budak rumah kerana terlanjur berjanji ingin sebilik dengan dia untuk menyewa bilik kerana permohonan untuk asrama tidak diluluskan. Hakikatnya aku ingin sebilik dengan orang lain. Sebenarnya, aku boleh saja mengatakan aku ingin sebilik dengan yang lain, tentu dia faham. Semuanya kerana kelemahan aku..... Alhamdulillah, mujur permohonan rayuan asrama kami diterima, maka isu sebilik tidak lagi menjadi masalah lagi.

Jika kepada sesiapa yang membaca entry ini ada masalah yang sama, ada beberapa cadangan penambahbaikan (cewah hahaha). Setelah aku google, ternyata kaedah Rasulullah paling terbaik untuk masalah panas baran. Hari ini permulaan minggu baru persekolahan di Johor dan juga Kedah, Kelantan, Terengganu. Aku mencuba dan ALHAMDULILLAH keadaan aku lebih baik. Apabila aku berasa marah, aku diam. Jika berdiri, aku duduk. Aku cuba ingat, Rasulullah cakap orang yang kuat adalah orang yang boleh kawal marah. Aku terus senyum dan fikirkan pelajar yang bising bukanlah satu masalah yang besar. ALHAMDULILLAH, YA ALLAH mudahkanlah urusan aku. AMIN...

Eba juga ada bagi cadangan, tulis dan tampal nota-nota seperti 'JANGAN MARAH', MESTI ASERTIF!, BAWA BERTENANG di cermin atau beg duit. Tempat-tempat yang akan kita selalu tengok supaya kita sentiasa ingat.

Bukan mudah tapi tidak mustahil untuk aku kembali menjalani hidup dengan kesihatan emosi dan mental yang baik. Perlu bermula dari sekarang!!! Hidup perlu lebih positif. Apalah sangat masalah aku ini berbanding mereka-mereka di Palestin, Syria, Mesir, Selatan Thailand dan Rohingya yang hari-hari hidup dalam negara berhujankan peluru.

Jom kembali positif kerana ALLAH!

Much love,
NJ :)




Tuesday, December 10, 2013

Bagaimana rasa cinta boleh hilang???

Assalamualaikum,

Pernah tidak di dalam hidup ini kita berfikir bagaimana rasa cinta boleh hilang? Sedangkan sebelum itu, kemaruk bagai nak gila mencintai sesuatu atau seseorang. Siap boleh berkata dengan bongkaknya bahawa kita tak mampu lagi hidup tanpa sesuatu atau seseorang tersebut. Lupa bahawa hanya ALLAH mampu membolak balik hati-hati hambaNYA.

Semenjak berumur 10 tahun lagi aku sudah meminati sukan bola sepak. Bukan untuk bermain, tetapi hanya menonton. Tentu sekali pasukan Arsenal. Tidak ada alasan yang kukuh kenapa memilih Arsenal, hanya kerana ketika itu semua orang meminati Manchester United, jadi aku rasa cool kalau memilih Arsenal, lain dari kebiasaan (kononnya).

Walaupun minat dari umur 10 tahun, tetapi hanya ketika 13 tahun baru mula mengambil tahu mengenai bola sepak terutamanya Arsenal. Dan ketika 16 tahun baru menonton hampir kesemua perlawanan melibatkan Arsenal, liga, FA Cup, Piala Liga, Champions League, etc. Euro 2000 adalah permulaan menonton bola sepak secara serius. Memandangkan ketika menyambung diploma di Politeknik Merlimau yang hanya 30 minit dari rumah, jadi aku akan pulang ke rumah setiap minggu. Jadi perlawanan liga Arsenal masih lagi diikuti tanpa jemu. Aku jadi sangat fanatik. Sudahlah tengok live, delayed, repeated pun layan lagi.

Tetapi sejak tahun 2009, bila sambung ijazah di UPSI, aku sudah tidak mampu lagi untuk balik rumah setiap minggu. Dan kerana buta IT, aku tak tahu macam mana nak tengok bola live streaming. Memburukkan lagi keadaan, capaian wifi kolej kediaman sangatlah tidak mampu untuk ditarik oleh laptop kesayangan aku ini. Selalunya nak online fb pun semput. As time goes by, aku jadi hilang minat sedikit demi sedikit. Masa cuti semester pula adalah ketika musim panas di Eropah dan ketika itu pun saingan liga bpl sudah berakhir. Jadi bila balik yang kadang-kadang pun, jadi tak minat nak tengok lagi. Lebih teruk lagi, arwah abang, geng bola aku pergi buat selama-lamanya pada tahun 2010. World Cup ketika itu seperti sudah tiada makna. Aku jadi tak tahu nak sokong pasukan yang mana. Sampai satu tahap, aku sedar yang aku sudah tidak minat lagi bola sepak.

Tetapi setelah tamat belajar di UPSI. Aku kembali berada di rumah full time. Arsene Wenger pula membeli Mesut Ozil. Tak sangka passion yang dulu-dulu datang kembali. I’m back!!! Terasa debarannya seperti dulu-dulu huhu. Minggu-minggu tanpa game Arsenal terasa bosan. Sudah kembali menonton game berkali-kali.

Isu ini sangat mudah. Sangat gedik pun mungkin juga. Tetapi buat aku terfikir, bagaimana rasa cinta boleh hilang terhadap sesuatu atau seseorang yang kita sangat sayangi? Ke mana rasa itu pergi? Dan adakah kita akan menjadi sangat beruntung apabila rasa cinta itu datang kembali, atau lebih senang apabila rasa cinta itu terus pergi tanpa kembali?

Persoalan yang sama boleh dilontarkan kepada pasangan suami isteri yang mengambil keputusan untuk bercerai. Aku belum berkahwin. Aku tak layak nak komen lebih-lebih. Aku cuma berfikir bahawa aku perlu lebih terbuka kepada pasangan yang mengambil keputusan untuk bercerai. Tak perlu lagi menjadi skeptikal. Mungkin mereka juga bingung memikirkan bagaimana mereka sudah tidak lagi sefahaman dan rasa cinta sudah tidak ada lagi. Tanyalah mana-mana pasangan suami isteri, mana mungkin mereka berkahwin untuk akhirnya memilih jalan talak. Jangan salah faham, tidaklah aku menyokong penceraian secara total. Tetapi mengapa ALLAH mencipta talak, sudah tentu ada hikmah di sebalik semua ini. Bagi pasangan yang memilih untuk bercerai, mungkin boleh mengimbas kembali bagaimana rasa cinta dulu boleh wujud sehingga keputusan untuk bernikah boleh dibuat.


Atau juga, pernah tak kita sedari bahawa kita masih tidak dapat mengenal pasti dari mana datangnya rasa cinta itu, jadi ketika rasa cinta itu hilang, tak perlulah dicari juga. Ini ketentuan ALLAH, mungkin rezeki takat itu sahaja.  

Much love,
NJ :)

Friday, November 29, 2013

'Ajibtu

Assalamualaikum,

'Ajibtu - In Team

RANGKAP PERTAMA: 
PATUTKAH KITA MASIH LALAI SEDANGKAN HARI BERLALU,
 KITA BERMAIN SEDANGKAN MAUT/MATI ITU BUKAN MAINAN, 
AKU PELIK/HAIRAN TERHADAP MEREKA YANG MASIH LEKA INI, 
AKU HAIRAN, 
SEDANGKAN TIADA APA YANG PATUT AKU HAIRANKAN. 

RANGKAP KEDUA: 
ADAKAH PATUT SEORANG ITU TERUS LEKA DAN BERMAIN(SERONOK), 
SEDANGKAN DIRINYA AKAN MATI DAN RUMAHNYA AKAN RUNTUH, 
KITA MELIHAT APA YANG KITA LAKUKAN(AMALAN) SELALUNYA, 
TEWAS KEPADA SETIAP KESERONOKAN.

RANGKAP KETIGA: 
KITA MELIHAT MALAM DAN SIANG MENYIBUKKAN KITA, 
DAN AKU TAK TAHU YANG MANAKAH PATUT AKU PILIH(TERLEBIH AFDHAL UNTUK BERIBADAT), 
DAN SETIAP PERKARA ITU ADA TEMPOH YANG PERLU DITUNAIKAN(DIISI DENGAN TANGGUNGJAWAB), 
DAN KEPADA SEMUANYA ITU ADA KESAN(CATITAN) YANG DITULIS.

Selama ini dengar lagu ni sedap je dengan lenggok irama dan suara In Team. Tak sedar maksud lirik yang sangat mendalam. Sebalik indahnya lirik, terselit keseraman yang menghantui aku. Ya ALLAH, tahap mana kesediaan aku menemui MU ALLAH...?

Kredit untuk saudara Shaffiq Zainal, salah seorang komentar video ini, beliau yang memberi terjemahan lagu ini. Thanks bro, JKK :)

Much love,
NJ :)

Monday, November 11, 2013

pom pang...pom pang...pom pang...

Assalamualaikum,

ALLAH, perit rasanya hari ini... Bagai jatuh ditimpa tangga... And now struggling to finish my work that need to be done by tomorrow morning... Air mata ini bagai mahu tumpah semahu-mahunya... Hari ini pula dimulakan dengan berita kekalahan Arsenal kepada Man U di Old Trafford. Tak apa, Old Trafford tak selamanya kebal, kemenangan akan datang tentunya lebih manis, kan gooners and goonerettes???

Terasa bagai dibaling bantal ke muka, kerana beriya memberi nasihat dalam blog ini. Kena kat diri sendiri, hamekawwww!!!

Dugaan... beratnya terasa di kepala, dada dan hati ini...

ALLAH, tolong aku!

Much love,
NJ :)

Sunday, October 27, 2013

Adakah sememangnya semua perbuatan kita kerana ALLAH?

Assalamualaikum,

Aku terkesan dengan salah satu ceramah yang disampaikan Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani dalam kuliah mingguan beliau di Masjid negeri Selangor pada setiap hari Khamis yang juga boleh diikuti di youtube. Boleh cuba taip 'Kuliah POP'.

Salah satu daripada ratusan kuliah kat Youtube tu ada Ustaz sampaikan satu cerita. Satu situasi.

Ada orang hendak datang ke rumah kita. Kita sudah dimaklumkan akan perkara tersebut. Kita pun bersedia dengan meletakkan kuih dalam balang untuk dihidangkan. Aleh-aleh tetamu tersebut tidak jadi datang. Kita pun mengeluh, hai buat penat je isi kuih awal-awal dalam balang...

Ustaz cuba untuk persoalkan, kita buat perkara tersebut kerana ALLAH atau kerana manusia? Jika kerana manusia, biasanya memang kita akan kecewa, kerana sifatnya manusia memang lemah. Tapi jika kerana ALLAH, tentu kita akan lebih tenang kerana adanya sifat 'redha'. Kita tahu tiada sia-sia perbuatan yang baik, walaupun hanya dengan berniat sahaja untuk melakukan perkara baik tersebut.

ALLAH, berat terasa dalam dada apabila hak kita dinafikan oleh manusia. Mungkin aku perlu bertanya kembali, adakah memang benar itu hak aku?

Redha Anim... redha itu lebih baik... ALLAH, tolong aku!!!

Much love,
NJ :)




Thursday, September 1, 2011

Syawal kembali


Assalamualaikum,

Syawal kembali menjelang setelah umat Islam selesai berpuasa selama 29 hari tahun 1432 Hijrah ini. Hari kemenangan bagi umat Islam setelah berjuang berperang melawan hawa nafsu. Sesungguhnya Nabi SAW pernah menyatakan jihad terbesar adalah bermujahadah, jihad menentang hawa nafsu. Ramadhan yang berlalu akan sentiasa dirindui. Ketenangan mengharungi bulan Ramadhan sukar ditemui pada masa-masa yang lain.

Syawal kali ini adalah syawal yang kedua kami lalui tanpa kehadiran arwah abah dan abang. Mungkin tidak sesukar tahun sudah kerana alah bias tegal biasa. Bak kata Dr Fadzilah Kamsah bahawa ada perkara yang boleh disembuhkan dengan masa. Tetapi sebenarnya tidak semudah itu kerana apabila bertemu dengan masa-masa yang bermakna dan penting, seperti hari pernikahan kita atau hari pertama bekerja atau mungkin gaji pertama kita terima, masa-masa ini boleh menjadi sangat sukar dilalui tanpa mereka yang kita sayangi di sisi walaupun sudah bertahun mereka pergi menemui Ilahi…




Ramadhan dan syawal memang mudah mengundang kepiluan mengenangkan mereka yang sudah pergi… selagi nyawa dikandung badan, kerinduan tetap setia menemani diri. Sesungguhnya aku bersyukur dengan nikmat mimpi yang diberi ALLAH. Mimpi adalah satu-satunya ruang yang memberi kesempatan untuk aku bertemu arwah abah dan abang semasa aku masih hidup ini. Biasanya aku menggunakan sepenuhnya kesempatan yang ada dengan bersalam dan memeluk mereka sambil menyatakan betapa aku sangat merindui mereka. Biasanya mereka hanya tersenyum dan apabila tersedar, aku berasa amat puas.

Kematian tidak dapat dihalang. Ia adalah lumrah hidup. Kita semua akan menempuhinya. Itu pasti. Cuma masanya adalah rahsia ALLAH. Kadang-kala yang sihat yang pergi dahulu berbanding yang sakit terlantar. Dulu, aku selalu membayangkan alangkah bagusnya jika kita mengetahui bila kita mati. Sudah pasti kita akan menyiapkan diri dengan amalan-amalan yang akan membantu kita di akhirat nanti. Tetapi kini, aku bersyukur ALLAH merahsiakan tarikh kematian kita. Kerana apa? Bayangkan jika 4 tahun lagi kita akan meninggal dunia dan sekarang kita dapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di university yang memerlukan masa empat tahun untuk mendapatkan segulung ijazah. Adakah kita akan masih mendaftarkan diri untuk menyambung pelajaran menuntut ilmu atau duduk di rumah sahaja membuat amal ibadah?

Kemungkinan besar kita tidak akan mendaftarkan diri kerana memikirkan membuang masa sahaja kerana kita akan mati selepas tamat belajar. Buang masa dan duit sahaja kan? Tetapi tidakkah kita sedar bahawa menuntut ilmu itu adalah kewajipan? Dan kita mungkin kehilangan peluang untuk membaiki diri dengan menuntut ilmu dan mengutip hikmah daripada kawan-kawan yang baik dan pensyarah-pensyarah yang bijaksana. Di university juga menawaran peluang bengkel-bengkel dan kursus-kursus tajwid, ilmu fardhu ain dan ceramah-ceramah daripada ulama-ulama terkemuka Negara. Siapa tahu kesempatan-kesempatan ini menjadikan kita insan yang lebih baik, lebih bersyukur dan lebih redha akan ketentuan Ilahi. Kita juga mungkin akan merindui kematian, kerana kerana kematian adalah syarat menemui Cinta…

Berbanding keadaan yang sebaliknya, kita mungkin akan mempersoal kenapa kita dijemput pada usia sekian-sekian sedangkan sahabat kita yang lain sempat menemui hari tua dan berteman cucu…?

Sesungguhnya aku juga manusia biasa, masih bermujahadah menghadapi hidup dan ketentuan diri ini. Nasihat ini terutamanya adalah untuk diri sendiri jua…

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin!


Tiada Duka yang Abadi -Opick-
Tiada duka yang abadi didunia
Tiada sepi merantaimu selamanya
Malam a€˜kan berakhir, hari a€˜kan berganti
Takdir hidup a€˜kan dijalani
Tangis dan tawa nyanyian yang mengiring
Hati yang rindukan cinta dijalan-Mu
Namun ku percaya hati meyakini
Semua akan indah pada akhirnya
Andai bisa ku mengulang
Waktu hilang dan terbuang
Andai bisa perbaiki segala yang terjadi
Tapi waktu tak berhenti
Tapi detik tak kembali
Harap ampunkan hamba-Mu ini
Waktu berputar rebulan dan matahari
Bunga yang mekar akan layu akan mati
Malam a€˜kan berakhir, hari a€˜kan berganti
Takdir hidup a€˜kan dijalani
Andai bisa ku mengulang
Waktu hilang dan terbuang
Andai bisa perbaiki segala yang terjadi
Tapi waktu tak berhenti
Tapi detik tak kembali
Harap ampunkan hamba-Mu ini
Andai bisa ku mengulang
Waktu hilang dan terbuang
Andai bisa perbaiki segala yang terjadi
Tapi waktu tak berhenti
Tapi detik tak kembali
Harap ampunkan hamba-Mu ini
Harap ampunkan hamba-Mu ini

Much love,
NJ :)


Saturday, July 16, 2011

Dilupakan dan dihina…


Assalamualaikum,

Sesetengah daripada kita seringkali dipandang hina dan dilupakan oleh masyarakat sekelilingnya. Walaupun kadang kala sedaya upaya sudah diusahakan untuk mengambil hati, membantu dan memahami, diri masih lagi dipandang hanya sebelah mata. Kalau hendak diikutkan tanpa mereka pun kita masih boleh bahagia hidup di bumi ALLAH ini, tetapi kita masih lagi pening memikirkan di mana silapnya. Bukannya minta disanjung apatah lagi disujud, cuma minta diterima dan dihormati seperti selayaknya seorang hamba ALLAH.


Terfikir juga, mengapa kita menyibukkan diri memikirkan orang yang sedikit pun tidak memandang kita. Kita cukup susah hati apabila kehadiran diri tidak diterima dalam kelompok mereka. Tidak susah untuk memahami mengapa orang lain tidak menyukai kita walau tidak pernah sekali pun berjumpa dengan mereka sebelum ini. Kerana apa? Kerana kita juga pernah membenci orang lain tanpa satu alasan yang masuk akal. Atau mungkin, hanya aku sahaja yang begitu…

Memang sedih apabila kehadiran kita tidak disenangi. Ada sahaja kesilapan kita di mata mereka, padahal perkara yang sama dilakukan oleh orang lain, tidak pula dimarahi. Tidak sedikit pun riak di wajah mereka menunjukkan rasa bersalah, kesal apabila memalukan kita di hadapan orang ramai. 

Sikap double-standard ini bukan suatu yang baru atau berlaku di Malaysia sahaja. Malah salah seorang penyerang bola sepak terbaik dunia, Thierry Henry juga pernah dipandang sebelah mata ketika bermain di Juventus, salah satu kelab terkenal di Serie A, Itali. Tidak pasti pula adakah sudah berada di Serie A atau masih lagi di Serie B kerana skandal rasuah merancang perlawanan beberapa musim yang lalu. Pelik juga bila difikirkan apabila isu perkauman dikatakan menjadi penyebab, sedangkan mengapa rakan senegara Henry, David Trezeguet disanjung di Juventus? Fakta ini hanya bermain di kepala ini, jika sesiapa mungkin ada penjelasan yang lebih tepat bolehlah berkongsi ye hehehe kepala ini bukan banyak sangat pun fakta mengenai bola sepak dunia ni

David Trezeguet
Thierry Henry

Boleh menjadi banyak sebab mengapa seseorang itudisisihkan. Mungkin juga kerana paras rupa, tahap IQ dan mungkin juga kerana taraf hidup. Sebenarnya apa sahaja alasan boleh dibangkitkan jika orang sudah tidak suka. Cuma, kalau memang sudah tidak suka, janganlah orang itu dihina dan dimalukan di hadapan orang ramai. Kita yang memandan insiden itu pun kadang kala dapat merasakan malu yang ditanggung, apatah lagi jika kita yang dimalukan di hadapan orang ramai tersebut… Hati mereka merasa puas agaknya bila dapat malukan orang yang dibenci tersebut di hadapan orang ramai, terasa betapa berkuasa diri dia agaknya…

Ketika kita masih hidup ini sudah terang-terang dihina dan dilupakan, apatah lagi apabila sudah mati kelak. Terfikir juga jika jenazah kita nanti dihinakan kerana dosa-dosa kita selama hidup di dunia, NAU’ZUBILLAH, bagaimana perasaan ahli keluarga kita menghadapi situasi tersebut, menanggung malu terhadap orang sekeliling… mungkin keadaan ini yang patut lebih kita risaukan, nasihat untuk diri sendiri. 

Apalah sangat orang memilih untuk membenci kita sekarang ini tanpa sebab yang munasabah daripada ALLAH memandang hina kepada kita lantaran kedegilan kita menurut syariatNYA selama hidup di dunia ini…

Dan barangsiapa yang berpaling  daripada peringatanKU, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit. Kami akan himpun dia pada hari Kiamat dalam keadaan buta. Dia berkata: “Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, pada hal dahulu aku celik? ALLAH berfirman : “Demikianlah dahulu telah datang kepadamu ayat-ayat Kami, dan kamu mengabaikannya, jadi begitu (pula) pada hari ini kamu diabaikan.” (Surah Taha ayat 124-126)
Much love,
NJ :)