Syurga itu matlamat!

Syurga itu matlamat!

Wednesday, August 17, 2011

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan

Assalamualaikum,

ALHAMDULILLAH, segala puji-pujian selamanya hanya layak ke atas ALLAH SWT, Tuhan sekalian alam semesta. Syukur, kita dipertemukan semula dengan Ramadhan yang mulia ini. Semoga Ramadhan 1432 Hijrah kali ini bukanlah Ramadhan kita yang terakhir dan kita dapat memanfaatkan sepenuhnya kelebihan-kelebihan yang dijanjikan ALLAH sepanjang bulan Ramadhan ini. AMIN...

Entry kali ini, kredit sepenuhnya kepada majalah Solusi isu nombor 34. Aku hanya menaip kembali hadith-hadith dan ayat Al-Quran yang terdapat di dalam isu kali ini yang bertepatan dengan tajuk entry kali ini. InsyaALLAH tidak rugi jika melaburkan RM11 untuk keluaran Solusi kali ini kerana intipati yang disediakan amat berguna dan tidak bosan meneliti muka surat demi muka surat. Semoga kita semua sama-sama memperoleh manfaatnya...


Hukum berpuasa di bulan Ramadhan
Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Berpuasalah kalian jika telah melihat hilal (anak bulan) dan sudahilah puasa kalian jika telah melihat hilal lagi. Jika tidak Nampak akannya, maka genapkanlah hitungan Syaaban menjadi 30 hari.” (Riwayat Al-Bukhari)

Niat puasa
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak berniat puasa sebelum terbit fajar, maka tidak ada puasa baginya.” (Riwayat Abu Daud)

Sahur
Anas meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bersahurlah, kerana pada sahur itu ada keberkatan.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Syaitan dibelenggu
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila bulan Ramadhan tiba, pintu-pintu syurga dibuka, sedangkan pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan pn dibelenggu.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Segerakan berbuka
Daripada Sahl bin Sa’ad, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selama mana mereka mahu menyegerakan berbuka.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Memberi makan berbuka orang yang berpuasa
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti yang diperoleh orang yang berpuasa itu tanpa mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa tersebut.” (Riwayat Al-Tirmizi dan Ahmad)

Jangan sekadar beroleh lapar dan dahaga
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Berapa ramai orang yang berpuasa hanya mendapat rasa haus dan lapar.” (Riwayat Ibn Majah)

Tadarus
Nabi SAW menceritakan bahawa Jibrail AS membacakan kepadanya al-Quran setiap tahun sekali pada bulan Ramadhan, dan pada tahun kewafatan Baginda sebanyak dua kali. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Iktikaf
Ibn Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Rasulullah SAW beriktikaf pada sepuluh hari terakhir Ramadhan.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Syafaat di Akhirat
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Puasa dan Al-Quran akan memberi syafaat kepada hamba pada hari kiamat kelak. Puasa akan berkata: “Wahai Rabb, aku telah menahannya daripada makan dan syahwat, maka perkenankanlah aku untuk memberi syafaat kepadanya. Al-Quran pula berkata: “Aku telah mencegahnya daripada tidur pada malam hari, maka perkenankanlah aku untuk memberi syafaat kepadanya.” Kemudian Baginda bersabda lagi: “Maka kedua-duanya diperkenankan memberi syafaat.” (Diriwayatkan oleh Ahmad dan Hakim)

Lirik Lagu Sinar Ramadhan – Hijjaz

Sinar ramadhan menyeri lagi
Bulan rahmat bulan yang dinanti
Banyakkanlah amal dan bakti
Ramadhan dirahmati Illahi

Bersyukur di ramadhan yang mulia
Kerna masih dipanjangkan usia
Mungkin nikmat dunia tak seberapa
Tak sama nikmat iman dan islam
Tak semua orang dapat merasa
Iman dan islam paling berharga

Bukan mudah untuk mengawal nafsu
Ujian mendatang syaitan memburu
Bermujahadah melawan nafsu
Agar diterima amalanmu
Ini hanya ujian di dunia

Tak sama dengan di akhirat nanti
Bukan sekadar lapar dahaga
Tapi siksa pedih yang menanti
Bersabar dengan ujian dunia
Akan menanti balasan disyurga

Much love,
NJ :) 

No comments:

Post a Comment