Syurga itu matlamat!

Syurga itu matlamat!

Monday, October 6, 2014

Sup kaki lembu korban

Assalamualaikum,

Selamat hari raya aidiladha semua! Mohon maaf zahir batin segala salah silap dan keterlanjuran. Raya haji kali ni selera makan ketupat memang tinggi walaupun kali ni mak tak masak lodeh sebab kepenatan masak ketupat, rendang daging, daging masak kicap, sambal goreng dan ayam masak merah sorang-sorang. Akak aku yang sulung masih berpantang selepas melahirkan anaknya yang ketiga, adik aku dengan keadaan selepas kemalangan empat bulan lepas-berkerusi roda, dan aku hanya dengan alasan menjaga baby (memang dasar pemalas). Tak puas-puas rasanya makan ketupat kali ni walaupun kering tanpa kuah lodeh. Ikutkan aku tak suka makan ketupat tanpa kuah lodeh.

Alhamdulillah anak buahku kini sudah tiga orang. Akak sulung selamat melahirkan baby lelaki 25 September lepas. Syukur3!!! Rizqi Muhammad Bin Mahathir lahir kedunia dengan berat 3.6kg dan sihat walafiat. Semua orang excited sebab sudah lima tahun berlalu tanpa kelahiran baru dan kali ni dapat anak buah/ cucu lelaki pulak! Sebelum ini adalah kedua-dua kakak Muhammad hihi.

Aku masih dalam mood kecewa selepas Arsenal kalah dengan Chelsea malam tadi. Lebih mengecewakan bekas captain Arsenal dapat MOTM. Fine! Teringat zaman-zaman Fabregas assist Henry dolu-dolu... 

Alhamdulillah hari ini hari kedua tasyriq. Hari diharamkan berpuasa dan ibadah korban masih boleh dilakukan. Kebiasaannya apabila tiba hari raya haji, aku teringatkan satu kenangan yang berlaku masa hari raya haji tahun 2006. Simple je perkara yang berlaku, tetapi entahlah sangat mendalam peristiwa tersebut pada aku. Cerita ini seperti cerita-cerita biasa yang berlaku pada keluarga lain ketika hari raya haji.

Tahun tu rezeki kami murah dengan kurniaan kalau aku tak silap sampai empat kaki lembu korban. Mak pulak bersemangat nak masak kaki lembu tahun tu. Rasanya kali pertama mak masak kaki lembu korban sepanjang-panjang umur kami dewasa ni hihihi. Aku pun bersemangat gak nak tengok macam mana nak uruskan kaki lembu ni. 

Langkah pertama, mak pergi kat tepi-tepi surau, balai raya dan stor penyimpanan set kanopi jkk taman kami yang sebelah menyebelah tu untuk zink-zink terpakai yang dah diperlukan lagi. Gigih mak menjinjing zink tu bawak masuk rumah hihi. Rupa-rupanya zink tu untuk bakar/ salai kaki lembu korban tadi supaya mudah untuk siat kulitnya nanti. Lama betul proses ni, berejam-jam jugalah. Asapnya jangan cakaplah, sampai jiran tegur asap bakor apelah ni hahaha. Akulah yang setia menolong mak terbalik-balikkan kaki tu supaya pembakarannya sekata.

Lepas da siat kulit, mak pun mulalah memotong-motong kaki tadi dengan parang panjang sebab tulang lembu sangat keras. Mak memang hebat sebab buat sorang-sorang je. Aku tolong tengok je. Bila da siap, mulalah proses masak kaki lembu tadi. Sedap gila lah sup kaki lembu korban yang mak masak masa tu! Ingat lagi adik aku dengan arwah abang aku, Amir, malam-malam masih dok ratah sup kaki lembu korban tu berdua. Tapi yang peliknya, aku makan sekali je walaupun sedap. entahlah tak rasa nak makan berkali-kali. Sekarang ini baru rasa menyesal -_-

Biasa je cerita ni. Tapi entahlah aku selalu rindu nak rasa balik. Rindu suasana rumah lama aku masa tu, rindu kehidupan cuti sem belajar kat poli, rindu nak sambut raya haji dengan arwah Amir...

Kenangan tak perlu selalunya gempak untuk dirindui kembali saat itu. Kegempakan sesuatu peristiwa mungkin hanya perlu dalam novel dan filem, supaya boleh dijual.

Much love,
NJ :)

Friday, September 12, 2014

Aku dah tua

Assalamualaikum,

Syawal 1435 tahun ini kami sekeluarga tidak pulang beraya ke kampung dan rumah pakcik makcik kerana keadaan adik yang berkerusi roda patah kaki dan tangan kiri kesan kemalangan yang dialami dua bulan sebelumnya. Kebanyakan rumah kampung bertangga dan ini menyukarkan bagi mereka yang berkerusi roda, lagi pun biasanya seharian diperlukan untuk menyempurnakan kesemua rumah yang ingin diziarahi dan adik perlu ke tandas. Pendek kata memang susahlah. Jadi kami mengambil keputusan untuk duduk sahaja di rumah, menunggu tetamu datang beraya sahaja.

Alhamdulillah setelah melalui beberapa sesi fisioterapi keadaan adik semakin baik walaupun masih berkerusi roda. Alhamdulillah juga salah seorang mak saudara berpeluang mengerjakan haji tahun ini dan mengadakan kenduri doa selamat baru-baru ini sebelum terbang ke Madinah 7 September ini. Dengan keadaan adik yang semakin baik ini, maka mak dengan mudah membuat keputusan untuk pergi ke kenduri tersebut, sekaligus singgah ke kampung dan rumah mak saudara aku yang lain juga. Kebetulan kebanyakan daripada pakcik makcik aku tinggal sekampung.

It only takes a year. A year to make an absolute difference. Syawal 1435 ini melihatkan kebanyakan makcik dan pakcik semakin uzur dan cengkung, tidak seperti tahun sudah. Serta-merta rasa sebak datang. Welcome to grown up world Anim! Walaupun kami tidaklah begitu rapat, tetapi melihat keadaan semasa mereka mengundang rasa sedih dalam diri. Ya ALLAH, sembuhkanlah pakcik dan makcik aku, kembalikan kesihatan badan mereka dan jadikan kami semua hambaMu yang sentiasa bersyukur dan beringat. AMIN…


Melihatkan keadaan mereka yang semakin berusia menyedarkan aku bahawa aku juga semakin tua!

Much love,
NJ :)

Wednesday, September 3, 2014

Sepetang disekolahkan

Assalamualaikum,

Baru-baru ini aku ada menghabiskan masa yang berkualiti dengan sahabat lama. Sahabat yang sama-sama jalan kaki ke sekolah agama sampailah darjah khas. Dia sudah berkahwin, mempunyai seorang cahaya mata dan sudah tidak lagi bermastautin di Muar. Tetapi kini berada di Muar, rumah bondanya kerana suaminya berkursus di luar daerah. Jadi aku ambil peluang ini untuk kami menghabiskan sepetang bersama.

Aku kagum dengan sifat syukur, sabar dan redha dia. Rasanya tak pernah dengar dia merungut tentang kesusahan hidup. Berada dalam keluarga besar 9 beradik dan hanya ayah yang bekerja, aku hanya mengagak bahawa kehidupan yang mereka lalui tidaklah mewah.

Typical me for questioning why I still unemployed and unattached. Lebih-lebih lagi apabila soalan mengenai perkara-perkara tersebut dinyatakan pada aku. Sungutan tersebut biasanya meleret dengan pelbagai justifikasi dan tuduhan. Astaghfirullah…

Dah puas merungut kan? Bila mulut tak kisah mengomel tanpa berfikir panjang, maka telinga biasanya yang menahan rasa perit. Panas jugalah telinga apabila disekolahkan oleh sahabat aku itu akan ‘peace of mind’ yang kerap jugalah diulang-ulang perkataan tersebut petang itu. Dia mengingatkan aku bahawa sebelum mempersoal kenapa ALLAH masih belum memberi apa yang kita mahu, tanya dulu diri sendiri:
·     
  • Solat dah settle? Kalau dah, adakah dilakukan pada awal waktu?
  • Zikir dah settle? Sekurang-kurangnya istighfar 100 kali waktu pagi dan 100 kali waktu petang

·         And the list goes on…

Kalau aku boleh ringkaskan silibus petang tersebut (hehe sori Nabila, gurau), aku rasa aku boleh gunakan analogi yang digunakan Ustazah Yasmin dalam rancangan Always A Traveler dengan Mizz Nina. Macam ini, kalau kita perlu bermalam selama lebih kurang seminggu di suatu tempat, kita tentu tidak begitu mengambil peduli akan warna cadar katil atau rakan sebilik yang ditentukan tersebut tidur berdengkur. Hal ini adalah kerana kita tentu berfikir bahawa perkara ini hanya sementara dan tidak lama lagi kita akan meninggalkan tempat ini. Tetapi jika ianya untuk selama-lamanya, baru perkara ini boleh menjadi masalah kepada kita.

Got the picture? Ya ALLAH, bukan aku tak tahu dan tak sedar yang hidup di dunia ini hanya sementara dan akhirat kekal selama-lamanya, tetapi aku masih belum mampu mendidik diri untuk redha dan bersyukur. Baca buku macam-macam, kongsi ibrah daripada hasil pembacaan dan segala macam tragedi yang terjadi di blog, media sosial bukan main lagi, tetapi diri sendiri belum mampu dididik dengan baik. Maafkan aku ya ALLAH…


I guess this article makes it come down to one simple question, am I hypocrite? 

Much love,
NJ :)

Tuesday, August 19, 2014

Syawal hampir meninggalkan pergi...

Assalamualaikum,

Sudah masuk minggu terakhir sebelum syawal berakhir. Maka berulanglah kembali perasaan itu. Rasa sayu yang sukar hendak digambarkan melalui kata-kata. Syawal selalu memberi perasaan yang indah sejak dari kecil lagi. Cuma yang menggeramkan adalah stesen-stesen radio yang bukan main tak sabor lagi nak mainkan lagu raya masa Ramadhan, kemudian apabila Syawal masih berbaki nih, sudah tidak lagi kedengaran lagu-lagu raya. Memang tak patut. 

Walaupun Syawal tidak selalunya memberikan kenangan terindah, tetapi tetap ada satu perasaan indah semasa Syawal, yang tidak muncul pada bulan-bulan yang lain. Ya ALLAH, aku pohon semoga masih ada syawal-syawal mendatang untuk aku. AMIN...


Much love,
NJ :)

Monday, August 18, 2014

Where rainbows end

Assalamualaikum,


Alhamdulillah, baru sahaja habis membaca buku di atas nih. Sebenarnya percubaan ketiga membaca buku tulisan Cecelia Ahern. Percubaan pertama, The Book of Tomorrow dan percubaan kedua, There's No Place Like Here menemui kegagalan. Ya ALLAH, sungguhlah membosankan membaca buku-buku percubaan pertama dan kedua itu. Percubaan pertama mampulah juga melepasi dua ke tiga bab, tetapi buku percubaan kedua tu hanya mampu melepasi satu bab sahaja. Sampailah satu tahap rasanya putus asa sudah dengan tulisan Cecelia Ahern. Syukurlah ketiga-tiga buku ini aku beli dengan harga yang murah iaitu ketika di Big Bad Wolf dan buku seperti dalam gambar di atas adalah buku second hand dengan harga hanya RM8, tetapi masih dalam keadaan sangat baik.

Oleh kerana sudah terlajak membeli sampai tiga buah sekaligus (kerana murah dan ramai cakap buku Cecelia Ahern ni best), maka aku cubalah juga membaca buku ketiga ini. Fuh, seriously memang tak sangka! Buku ketiga ini memang membuatkan aku tak nak berhenti menyelak muka surat demi muka surat. Novel ini agak unik kerana semuanya diceritakan melalui emel, surat, mesej pendek, nota. Tetapi kebanyakkannya adalah melalui emel. Watak utama Rosie Dunne dan Alex Steward. Kerana Arsenal baru signed new player, bila watak Alex disebut, aku mesti terbayangkan Alexis Sanchez (it really helps though, since he's so handsome hahahaha).

Okay macam biasa, aku tak berapa gemar dan pandai ulas balik jalan cerita buku atau filem. Secara ringkasnya Rosie dan Alex berkawan baik sejak berumur lima tahun. Macam-macam jadi dan akhirnya bersatu juga mereka pada usia 50 tahun. (Hahaha so much for a book review). Untuk sebuah jalan cerita dalam novel memanglah seorang pembaca akan mengandaikan betapa cute nya mereka berdua, tetapi cuba alihkan perjalanan hidup mereka ke alam realiti, tentu sudah tidak comel lagi.

Okay apa yang aku sedang merepek ini. Begini, mereka masing-masing sudah menyedari saling mencintai antara satu sama lain pada usia yang sangat sesuai untuk mendirikan rumah tangga, 20 an. Tetapi kerana mereka terikat dengan ikatan 'sahabat baik' dan tiada antara mereka yang mengalah untuk mengakuinya lebih awal (walaupun Alex ada membuat pengakuan melalui surat ketika mereka berusia 30 tahun, tetapi suami Rosie menjumpainya terlebih dahulu, ketika ini perkahwinan Rosie dan Greg agak berantakan), jadi penyatuan mereka berlaku agak lewat, iaitu pada usia 50 tahun.

Sebagai seorang Muslim, kita beriman kepada qada dan qadar ALLAH. Begitulah yang ingin disampaikan oleh penulis (yang bukan beragama Islam dan tidaklah beliau menyatakan sebegitu). Novel ini membuatkan aku terfikir, sanggupkah aku bersabar sebegitu lama untuk bersama dengan cinta sejati dan melalui pelbagai onak duri semasa dalam tempoh ke arah itu? Novel ini tidaklah semata-mata berkisarkan mengenai cinta antara mereka, tetapi terdapat juga isu Rosie Dunne yang bergelut untuk mencapai cita-citanya menyambung pelajaran dalam bidang pengurusan hotel dan menguruskan hotel (walaupun pada akhirnya beliau hanya mampu menguruskan B&B-bed and breakfast, di rumah tinggalan ibu bapanya yang besar).

Aku yakin dan mesti yakin ALLAH lebih mengetahui bilakah masa yang sesuai untuk semua perkara. 


Much love,
NJ :)


Friday, April 11, 2014

I miss my fat father

Assalamualaikum,


Lawatan pertama aku ke Big Bad Wolf adalah pada tahun 2012. Tangkapan pada lawatan tersebut tidaklah begitu banyak kerana ‘ikan-ikan’ yang diidamkan hampir tiada. Kebanyakan tangkapan pada hari tersebut pun sehingga kini belum lagi disentuh (typical me). Tapi ada satu ‘ikan’ yang aku mula baca dari mula beli sehingga kini, masih belum habis-habis lagi. Chicken soup for the soul; Grieving and recovery.

Entah sudah berapa kali percubaan untuk menghabiskan, tetapi masih gagal. Aku pun tidak menyangka yang emosi aku akan begitu terganggu apabila membacanya. Aku hampir murung dan menangis hampir kesemua cerita di dalam buku tersebut. Sebab itu aku sering berhenti daripada terus membacanya. Kemudian setelah beberapa bulan, aku cuba membaca balik, perkara yang sama terjadi. Subjek mengenai kehilangan orang yang kita sayangi selalu menyiat-nyiat hati aku. Apatah lagi kebanyakan cerita adalah mengenai kehilangan orang yang mereka sayangi akibat sakit yang kronik. Kemudian betapa susah payahnya mereka untuk bangkit semula menjalani hidup yang masih berbaki tanpa orang yang disayangi.

Sekarang, aku mencuba untuk menghabiskan membaca buku ini buat kesekian kalinya. Episod sama berulang, aku masih menangis setelah selesai satu cerita. Bezanya emosi aku kini semakin terkawal. Mungkin ini percubaan yang terakhir, kerana aku seperti mampu meneruskan pembacaan tanpa merasa murung. Setakat inilah.

One thing for sure, while reading this book, it makes me misses my fat father even more!

You can delay grief with activities or chemicals, but you cannot deny it forever unless you choose not to heal it. -Rob Loughran page 255-

I have come to believe that grief has many faces. There is no one right way to behave in the face of it. No correct approach. There is no one set of circumstances that warrants it as an appropriate response. It just is. I have come to understand that the whole gamut of human emotion is legit when it comes to coping with loss. Even how we define our loss is personal and valid, different as it may be for each of us. I’m not sure where I stand in this hierarchy of grief. I may not be on the top rung, but I’m not on the bottom either. All I know is that I belong on the ladder. -Carolyn Roy-Bornstein page 204-

Much love,
NJ :)

Monday, April 7, 2014

Sketsa Ramadan 1

Adriana sudah tidak mampu meneruskan puasa pada hari tersebut. Hausnya terasa memeritkan tekak. Separuh hari di sekolah kebangsaan tadi sangat menduga hati. Cuasa panas membulatkan lagi tekad Adriana untuk membatalkan puasanya pada hari tersebut. Lebih kurang sejam lagi Adriana perlu ke sekolah agama pula. Mengharungi perjalanan ke sekolah dengan berjalan kaki bukan mudah ketika Ramadan, ditambah lagi dengan terik mentari bagi Adriana. 

Diana, adik Adriana dengan selambanya makan minum sesuka hati. Haih sekarang Diana makan aiskrim Malaysia pula. Ketika bulan puasa ini Diana menjadi sangat pemurah, dengan rela berkongsi aiskrim tersebut dengan Adriana. Selalunya tidak begitu. Bukan kerana Diana mahu menghancurkan ibadat puasa Adriana, tetapi kerana sifat seorang adik kecil yang kasihan melihat kakaknya sangat haus. Sungguh sifat pemurah Diana mematahkan sayap mujahadah Adriana.

Akhirnya aiskrim tadi dipotong kepada dua bahagian dengan pisau. Namun Adriana belum mampu membatalkan puasanya tanpa pengetahuan emak dan abahnya. Ya walaupun tidak mampu mempertahankan ibadat puasa dengan baik, tetapi membelakangkan emak dan abah akan niatnya untuk membatalkan puasa bukan sifat Adriana. Tidak sesekali Adriana akan minum air secara sembunyi sama ada di peti ais atau di paip air, kemudian berpura-pura masih berpuasa. Emak dan abah mesti tahu bilangan sebenarnya hari Adriana berpuasa, itu prinsipnya yang masih utuh.

Aiskrim yang sudah dibahagi dua tersebut dibawa ke hadapan abah. "Abah, Adriana nak batalkan puasa. Penatlah hari ini... Adriana minum ea aiskrim ni???"

Dengan selamba abahnya menjawab, "Baik kau minum sahajalah aiskrim tu, tak payah tanya abah." Abah Adriana membalas selepas melihatkan tindakan Adriana meletakkan muncung aiskrim tersebut terlalu dekat dengan mulutnya. Seperti tiada kuasa lagi untuk menghalang kerana Adriana pasti akan meminumnya walaupun dihalang.

Leburlah puasa Adriana pada hari itu. Sedangkan tinggal lebih kurang 5 jam sahaja lagi sebelum waktu berbuka. Adriana pun ke sekolah agama dengan rasa penuh bertenaga. Tetapi, rasa bertenaga tersebut dikawal baik oleh Adriana supaya tidak kelihatan seperti tidak berpuasa.

Tahun tersebut adalah tahun 1418 hijrah, yang juga tahun keempat Adriana berpuasa. Adriana hanya mampu menyempurnakan 27 hari sahaja. 

Much love,
NJ :)