Assalamualaikum,
Pernah tidak di dalam hidup ini kita berfikir bagaimana rasa
cinta boleh hilang? Sedangkan sebelum itu, kemaruk bagai nak gila mencintai
sesuatu atau seseorang. Siap boleh berkata dengan bongkaknya bahawa kita tak
mampu lagi hidup tanpa sesuatu atau seseorang tersebut. Lupa bahawa hanya ALLAH
mampu membolak balik hati-hati hambaNYA.
Semenjak berumur 10 tahun lagi aku sudah meminati sukan bola sepak. Bukan untuk bermain, tetapi hanya menonton. Tentu sekali pasukan Arsenal. Tidak ada alasan yang kukuh kenapa memilih Arsenal, hanya kerana ketika itu semua orang meminati Manchester United, jadi aku rasa cool kalau memilih Arsenal, lain dari kebiasaan (kononnya).
Walaupun minat dari umur 10 tahun, tetapi hanya ketika 13
tahun baru mula mengambil tahu mengenai bola sepak terutamanya Arsenal. Dan
ketika 16 tahun baru menonton hampir kesemua perlawanan melibatkan Arsenal,
liga, FA Cup, Piala Liga, Champions League, etc. Euro 2000 adalah permulaan
menonton bola sepak secara serius. Memandangkan ketika menyambung diploma di
Politeknik Merlimau yang hanya 30 minit dari rumah, jadi aku akan pulang ke
rumah setiap minggu. Jadi perlawanan liga Arsenal masih lagi diikuti tanpa
jemu. Aku jadi sangat fanatik. Sudahlah tengok live, delayed, repeated pun
layan lagi.
Tetapi sejak tahun 2009, bila sambung ijazah di UPSI, aku
sudah tidak mampu lagi untuk balik rumah setiap minggu. Dan kerana buta IT, aku
tak tahu macam mana nak tengok bola live streaming. Memburukkan lagi keadaan, capaian wifi kolej kediaman sangatlah tidak mampu untuk ditarik oleh laptop kesayangan aku ini. Selalunya nak online fb pun semput. As time goes by, aku jadi
hilang minat sedikit demi sedikit. Masa cuti semester pula adalah ketika musim
panas di Eropah dan ketika itu pun saingan liga bpl sudah berakhir. Jadi bila
balik yang kadang-kadang pun, jadi tak minat nak tengok lagi. Lebih teruk lagi,
arwah abang, geng bola aku pergi buat selama-lamanya pada tahun 2010. World Cup
ketika itu seperti sudah tiada makna. Aku jadi tak tahu nak sokong pasukan yang
mana. Sampai satu tahap, aku sedar yang aku sudah tidak minat lagi bola sepak.
Tetapi setelah tamat belajar di UPSI. Aku kembali berada di
rumah full time. Arsene Wenger pula membeli Mesut Ozil. Tak sangka passion yang
dulu-dulu datang kembali. I’m back!!! Terasa debarannya seperti dulu-dulu huhu.
Minggu-minggu tanpa game Arsenal terasa bosan. Sudah kembali menonton game
berkali-kali.
Isu ini sangat mudah. Sangat gedik pun mungkin juga. Tetapi
buat aku terfikir, bagaimana rasa cinta boleh hilang terhadap sesuatu atau
seseorang yang kita sangat sayangi? Ke mana rasa itu pergi? Dan adakah kita
akan menjadi sangat beruntung apabila rasa cinta itu datang kembali, atau lebih
senang apabila rasa cinta itu terus pergi tanpa kembali?
Persoalan yang sama boleh dilontarkan kepada pasangan suami
isteri yang mengambil keputusan untuk bercerai. Aku belum berkahwin. Aku tak layak
nak komen lebih-lebih. Aku cuma berfikir bahawa aku perlu lebih terbuka kepada
pasangan yang mengambil keputusan untuk bercerai. Tak perlu lagi menjadi
skeptikal. Mungkin mereka juga bingung memikirkan bagaimana mereka sudah tidak
lagi sefahaman dan rasa cinta sudah tidak ada lagi. Tanyalah mana-mana pasangan
suami isteri, mana mungkin mereka berkahwin untuk akhirnya memilih jalan talak.
Jangan salah faham, tidaklah aku menyokong penceraian secara total. Tetapi
mengapa ALLAH mencipta talak, sudah tentu ada hikmah di sebalik semua ini. Bagi
pasangan yang memilih untuk bercerai, mungkin boleh mengimbas kembali bagaimana
rasa cinta dulu boleh wujud sehingga keputusan untuk bernikah boleh dibuat.
Atau juga, pernah tak kita sedari bahawa kita masih tidak dapat
mengenal pasti dari mana datangnya rasa cinta itu, jadi ketika rasa cinta itu
hilang, tak perlulah dicari juga. Ini ketentuan ALLAH, mungkin rezeki takat itu
sahaja.
Much love,
NJ :)
No comments:
Post a Comment