Syurga itu matlamat!

Syurga itu matlamat!

Thursday, April 7, 2011

Perjuangan...bagi mukmin di sini harga dan nilainya...


Dia daun yang berwarna hijau
             
            Aku di sini bukan berhajat untuk berceramah. Bukan pula untuk menegakkan benang yang basah. Tetapi untuk menceritakan kepada kamu, ya, kamu yang sudi meluangkan masa membaca cerita pendek ini mengenai sehelai daun yang berwarna hijau. Ketahuilah bahawa aku amat terharu akan perhatian yang kamu letakkan dalam membaca kisah yang dicoretkan di sini. Sebenarnya aku masih berkira-kira di mana ingin aku mulakan kisah ini. Serasa-rasa di dalam hati ini yang kamu akan bosan membacanya. Sudah tentu aku akan mengambil kisah, tetapi apa daya aku, kamu berhak untuk berhenti daripada terus membaca kisah daun yang entah ya atau tidak berwarna hijau ini. Aku tidak berniat memanjangkan bebelan, baiklah aku teruskan dengan tugas hakiki aku di sini.

            Kisah bermula apabila daun yang berwarna hijau ini mula berguguran dari ranting yang selama ini dipaut kemas sebagai tempat teduhan. Seperti kamu yang membaca cerita pendek ini, aku percaya kamu juga akan, sedang atau sudah pun melalui proses keluar meninggalkan rumah yang selama ini menjadi syurga bersama insan-insan yang disayangi untuk belajar mengenal erti hidup dengan erti kata yang sebenarnya. Sesungguhnya amat payah untuk daun yang berwarna hijau ini meninggalkan ranting yang dipautnya selama ini kerana sekali terputus pautan itu, maka selamanya dia perlu hidup berkelana di bawa angin sepoi-sepoi bahasa atau angin ribut atau angin puting beliung. Tetapi inilah kehidupan, mahu tidak mahu, kita perlu keluar berjuang meskipun bukan untuk orang lain, bukan juga untuk negara, memadailah untuk diri sendiri sebagai hambaNya yang Esa. Di dalam hidup ini terlalu banyak jawapan yang perlu dicari agar hidup terasa lebih beerti. Bukankah jauh perjalanan luas pemandangan.

            Jangan ditanya berapa kali daun yang berwarna hijau ini berputus asa, berpatah arah menghadapi kembara hidup yang sementara ini. Semakin jauh kembara daun yang berwarna hijau ini di bawa angin, semakin letih jiwa daun yang berwarna hijau ini memikirkan akan kelakuan daun-daun yang lain. Sebelum berputus kasih dengan ranting dahulu, dia di ajar oleh daun-daun yang pernah sempat bertandang sekejap ketika angin bertiup menghentikan kembara daun-daun tersebut di atas rantingnya. Kata mereka, sentiasalah berbuat baik dengan daun-daun yang lain, nescaya daun-daun yang lain akan berbuat perkara yang sama dengan kita. Ketahuilah kini daun yang berwarna hijau ini bahawa kata-kata tersebut adalah untuk memberikan kekuatan kepadanya untuk keluar mengembara. Seperti kita juga, aku dan kamu yang membaca cerita pendek ini, ketika kita ingin memulakan kembara keluar dari rumah, emak dan abah kita akan memberikan nasihat yang sama agar kita tidak terasa tertekan. Bukan niat mereka untuk tidak berterus terang, tetapi itulah tugas mereka, memberikan ketenangan dan memberikan kita jawapan yang kita hendak dengar. Anak-anak zaman sekarang, jika jawapan yang diberi bukan seperti yang dimahukan, mereka akan memberontak. Berbalik kepada daun yang berwarna hijau tadi, dia berasa kecewa akan sikap daun-daun yang tidak bersikap seperti saranan daun-daun yang sudah kering. Seperti kata-kata manusia, enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Ah enau, memang tidak boleh dijadikan sahabat!

            Ada ketikanya, daun yang berwarna hijau ini mengembara dengan daun-daun yang lain. Mereka dari pelbagai latarbelakang. Ada daun yang lebar, kecil dan ada juga yang membentuk corak yang cukup menawan di mata daun yang berwarna hijau ini. Kagum sungguh daun yang berwarna hijau ini akan ciptaan Allah. Kepelbagaian bentuk dan warna adalah tanda kekuasaan dan kebesaranNya. Sudah disematkan di dalam hati daun yang berwarna hijau ini bahawa janganlah dihina akan ciptaan makhluk yang lain kerana ia adalah cerminan hati kita yang tidak bersih kerana betah sekali menghina ciptaan Allah. Na’uzubillah…

            Suka sekali aku ceritakan di sini pertemuan yang tidak disangka-sangka oleh daun yang berwarna hijau ini dengan sehelai daun yang sudah berumur ini. Dicatat bahawa mereka berjumpa dan menjalinkan ukhuwah ketika sama-sama tersadai di atas Nissan X-Trail milik seorang aktivis alam sekitar yang ingin meninjau kesan kemusnahan hutan yang kaya dengan kayu balak untuk dijadikan kawasan pelancongan dan hub hiburan malam yang kononnya mampu menjana pendapatan negara. Warna daun tua itu pun sudah tidak lagi hijau, tetapi kecoklatan dan amat rapuh fizikalnya. Namun begitu, sesuai dengan umurnya, ilmu dan pengalaman daun tua ini tiada tolok bandingnya. Kembara selama beberapa minggu bersama daun tua ini banyak mengajar daun yang berwarna hijau ini mengenai erti hidup pada memberi. Daun tua ini membuka mata daun yang berwarna hijau ini akan kesusahan yang dialami oleh daun-daun di seberang laut sana yang bergelut, bergolak dengan kerakusan manusia menindas manusia lain untuk berkuasa di tanah yang hanya ditumpang sebelum ini. Akibatnya, pokok-pokok juga menjadi mangsa balingan bom tangan atau pelepasan gas radioaktif yang membahayakan makhluk hidup di muka bumi Allah ini. Diam-diam daun yang berwarna hijau ini menyimpan niat yang suci lagi murni untuk sama-sama berbakti di bumi salah satu perhentian Nabi junjungan mulia kita sebelum diangkat ke langit ketika peristiwa Israk dan Mikraj. Apa kamu meragui kemampuan daun yang berwarna hijau ini? Ketahuilah bahawa suatu ketika nanti pokok-pokok akan membantu kaum muslimin menentang musuh laknatullah itu, seperti yang diceritakan Nabi Muhammad S.A.W di dalam hadis riwayat Al Bukhari,

"Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah saw. bersabda, "Tidaklah akan berlaku kiamat, sehingga kaum Muslimin memerangi kaum Yahudi sehingga kaum Yahudi itu bersembunyi di sebalik batu dan pohon kayu, lalu batu dan pohon kayu itu berkata, (Hai orang Islam, inilah orang Yahudi ada dibelakang saya. Kemarilah, dan bunuhlah ia!", kecuali pohon gharqad (semacam pohon yang berduri), kerana sesungguhnya pohon itu adalah dari pohon Yahudi (oleh sebab itulah ia melindunginya)"

            Kalaupun daun yang berwarna hijau ini tidak mampu berjihad seperti yang dihasratkan di dalam hatinya, cukuplah daun yang hijau ini berjihad menentang hawa nafsu sendiri melawan dakyah-dakyah luar yang ingin merosakkan iman dan amalan dia yang percaya akan Tiada Tuhan Yang Berhak Disembah Melainkan Allah dan Nabi Muhammad Adalah Pesuruh Allah. 

            Sesungguhnya, telah diberitakan sebelum ini bahawa tiap-tiap yang hidup itu akan merasai kematian. Tiada yang kekal di dunia ini kecuali Allah yang tiada awal dan akhirnya. Ujian pemergian daun tua yang banyak membuka mata hati daun yang berwarna hijau ini setelah hancur dipijak sekumpulan gajah yang berjalan perlahan. Perit rasa hati daun yang berwarna hijau, serasa-rasa bagai dunia sudah gelap tetapi walau kesunyian macam mana pun kita, jika punya iman, kita tetap tidak sendiri. Dan imanlah yang menenangkan hati daun yang berwarna hijau itu untuk menerima qada’ dan qadar Ilahi.

            Kembara daun yang berwarna hijau di bawa angin masih diteruskan. Belum diketahui di mana dan bagaimana akhirnya kembara ini. Adakah daun yang berwarna hijau ini sempat berumur seperti daun tua tersebut atau ketika hijau remaja, daun yang berwarna hijau ini akan dijemput menemui Khaliqnya. 

            Akhir kalam, jutaan terima kasih aku tujukan kepada kamu kerana sudi membaca hingga ke akhir cerita. Apa yang bakal terjadi kepada daun yang berwarna hijau ini adalah rahsia Pencipta melalui pilihan yang diberikanNya. Moga-moga jalan yang dipilih adalah jalan ke jannatul Firdaus, sebaik-baik tempat kembali. Amin ya Rab…

Perjuangan - Saff-One

Perjuangan itu gerun dan mengerikan
Hebat dan dasyat menggerunkan hati
Bagi mukmin di sini harga dan nilainya 2x

Perjuangan itu bagai sampan di laut
Di atas lapang tiada perlindungan
Di bawah air melambung dan menggunung
Menongkah gelombang yang datang melanda

Kiri kanan depan dan belakang
Angin yang menderu tidak tahu bila datang
Hujan badai yang datang menyerang
Bak singa yang lapar yang garang

Kadang-kadang terdampar di batu karang
Penumpang menerima nasib berlainan
Ada yang jatuh ada yang tenggelam
Yang pandai berenang berpaut ke sampan

Ada yang berjaya berenang ke tepian
Sekali lagi dia melayar sampan
Walau pelayaran mungkin tidak berjaya
Namun harapnya hanya pada yang Esa

p/s: Cerpen ini dihasilkan bagi memenuhi tugasan perkhemahan Pandu Puteri Siswi II, selepas mengutip 7 jenis tumbuhan di hutan Kalumpang Resort.

Much love,
NJ :)

2 comments: