Syurga itu matlamat!

Syurga itu matlamat!

Wednesday, November 3, 2010

Jejak Kasih + Tuhan Manusia


Assalamualaikum,
Setelah hampir sekian lama mengharap dan lebih setahun merancang, akhirnya pertemuan semula dengan sahabat lama, Nurul Afifah menjadi kenyataan, setelah hampir 11 tahun tidak ketemu. Pertemuan ini membawa kepada kegembiraan yang lain juga, apabila aku dapat kembali semula ke Midvalley seterusnya ke MPH! Seronok berganda kerana tempat di mana aku berasal, kebanyakkannya ialah kedai buku yang menumpu kepada bahan bacaan komersial.

Aku sempat membeli 3 buah buku (ALHAMDULILLAH). Walaupun sebenarnya aku ingin memborong lebih daripada itu, faham-faham sajalah kenapa… ;)

Berbalik kepada jejak kasih, ternyata Afifah tidak banyak berubah daripada segi sikap, tetapi fizikal, ya. Afifah sekarang jauh lebih tinggi, sebenarnya dari dulu lagi dia memang tinggi hehehe. Muka dia juga lain sedikit, maklumlah umur pun sudah berapa sekarang berbanding kali terakhir berjumpa dulu, ketika darjah 6!

Seronok rasanya dapat berkumpul semula walaupun hanya bertiga, aku, Afifah dan Nadia. Kalau hendak diikutkan, geng kami masa darjah 6 dulu 7 orang semuanya. Baki 4 orang lagi ialah Ain, Puteri, Hidayah dan Syafiqa. Jarak, umur dan tahap kepandaian memisahkan kami semua. Secara konsistennya yang masih selalu bersama ialah aku, Ain dan Nadia kerana ALLAH mentakdirkan kami tinggal berdekatan antara satu sama lain. 


Okay, kali ini aku ingin berkongsi buku terbaru yang aku baca tulisan Faisal Tehrani. Aku sudah jatuh cinta dengan buku tulisan Faisal Tehrani sejak Tunggu Teduh Dulu. Gaya bahasa dan tema cerita yang ditonjolkan memenuhi cita rasa aku selain tulisan Dzul Karnain Ithnain yang terkenal dengan novel komponen sastera tingkatan 2, Tragedi 4 Disember. Buku terbaru yang dimaksudkan ialah Tuhan Manusia. Sejujurnya aku tak pandai membuat sipnosis. Jadi aku salin semula sipnosis di belakang buku ini.

Novel ‘Tuhan Manusia’ menyelami kehalusan jiwa dan akal seorang adik yang cuba memahami kemurtadan abangnya. Maka terbentanglah panorama pemikiran manusia yang mencabar hakikat ketuhanan.

Novel ini sangat mengharukan. Aku menangis semasa membaca novel ini. Sejujurnya, novel ini agak berat bagi aku yang sangat kurang ilmu agama dan hal ehwal semasa. Kepada sesiapa pun, aku cadangkan untuk membaca novel ini, semoga sama-sama memperoleh manfaatnya ;)

Akhir sekali, aku nak kongsi 2 potong ayat suci Al-Quran sebagai renungan bersama, yang juga menjadi renungan di dalam novel ini.

Berapalah banyak kota yang Kami telah membinasakannya, yang penduduknya dalam keadaan zalim, maka (tembok-tembok) kota itu roboh menutupi atap-atapnya dan (berapa banyak pula) sumur yang telah ditinggalkan dan istana yang tinggi. Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada. -Al-Hajj ayat 45 & 46-

Much love,
NJ :) 

No comments:

Post a Comment