Syurga itu matlamat!

Syurga itu matlamat!

Friday, March 21, 2014

Ibrah daripada The Book of Eli

Assalamualaikum,

Okay entry kali ini sebenarnya mengenai satu tamparan laju-laju untuk aku. Satu kesedaran yang aku harapkan membawa kepada perubahan sikap yang lebih baik, bukan sekadar kesedaran yang hanya tinggal sekadar itu sahaja. Seperti sebelum-sebelum ini...hurm.

Baru malam tadi aku dapat menonton sepenuhnya filem The Book of Eli di saluran Fox Movies. Terima kasih kepada Astro PVR yang membolehkan aku tonton pada bila-bila masa yang aku suka tanpa perlu berebut remote dengan mak dan adik. Okay enough of that.

Aku bukan pengulas filem yang baik, juga pengulas buku yang baik. Aku hanya tahu mencadang filem atau buku untuk ditonton dan dibaca sahaja. Jika ada kesempatan untuk kamu menontonnya, hakimilah sendiri. Sedikit sebanyak beginilah ceritanya, sepertinya dunia mengalami satu peperangan yang maha dahsyat sehingga dunia seperti menjadi padang jarak padang tekukur. Peperangan itu juga membawa kepada pembakaran besar-besaran Bible yang terdapat di muka bumi ini. Jadi, Eli antara yang terselamat dalam peperangan tersebut dan antara yang boleh membaca. Kisahnya ialah selepas perang tersebut, tamadun manusia selepas itu kembali kepada zaman gelap iaitu buta huruf dan ada yang makan daging manusia untuk terus hidup, lebih teruk, mereka tidak beragama.

Walaupun Bible dibakar secara besar-besaran, tetapi satu naskhah masih terselamat dan dalam simpanan Eli yang menjumpainya di bawah timbunan batu-bata. Tapi salinan tersebut dalam bentuk tulisan Braille. Jadi misi Eli adalah menuju ke Barat untuk menyelamatkan Bible yang masih terselamat tersebut kerana katanya dia mendengar suara menyuruhnya berbuat demikian. Selain Eli, ada satu lagi watak, Carnegie yang juga mangsa perang boleh membaca yang terselamat. Carnegie boleh dianggap orang penting pada satu kawasan ini kerana ada akses terhadap air bersih dan boleh membaca. Carnegie tahu akan kewujudan kawasan air mata air sebelum perang bermula dan orang lain yang tahu sudah pun meninggal dunia kerana perang. Carnegie memerlukan Bible untuk menguasai lebih dari satu bandar. Jadi, ada konflik antara Carnegie dan Eli selepas Carnegie tahu Eli ada Bible terakhir yang masih terselamat.

Dipendekkan cerita, walaupun Carnegie dapat Bible tersebut, tetapi tiada guna kerana dalam bentuk tulisan Braille. Eli pula berjaya ke Barat dan rupanya di sana ada manusia yang mula mencetak dan menyimpan kembali buku-buku yang selamat untuk membina semula tamadun. Perjalanan Eli ke Barat tersebut sebenarnya memakan 30 tahun kerana hanya berjalan kaki selama ini. Dalam perjalanan, Eli tanpa gagal membacanya setiap hari (Eli seorang yang buta dan tahu membaca Braille). Oleh itu dia sudah hafal keseluruhan isi Bible tersebut, dan mengarahkan penulisan semula isi-isinya.

Jadi apa tamparan laju-laju yang aku rasa tu? Aku terfikir betapa banyaknya naskhah Al-Quran yang ada dalam dunia sekarang ini tetapi ada umat Islam (termasuk aku) yang tidak pernah menghargai setiap isi ilmu ALLAH di dalamnya. Al-Quran hanya tinggal kitab yang ada dalam salah satu dulang hantaran perkahwinan dan hanya dihargai oleh pelajar-pelajar jurusan agama, ustaz, ustazah dan para hafiz dan hafizah. Maaf aku tak pukul rata, bukan semua yang berada dalam bidang bukan agama jahil Al-Quran.

Aku begitu kagum dengan naskhah novel-novel bahasa Inggeris dan buku-buku motivasi orang luar, tetapi Al-Quran sebagai sumber kekuatan diri terbaik tidak pernah aku selak terjemahannya. Jauh sekali belajar tafsir sebab turun satu-satu ayat... Apakah kesedaran ini hanya kekal sekadar itu atau ada perubahan sikap yang lebih baik daripada sebelumnya?



Much love,
NJ :)

No comments:

Post a Comment