Syurga itu matlamat!

Syurga itu matlamat!

Sunday, March 16, 2014

Sketsa jiran tetangga 2

Keluarga Adriana mendapat jemputan ke majlis perkahwinan jirannya. Ya, majlis perkahwinan generasi kedua penduduk taman perumahan mereka, generasi Adriana. Macam biasa, kegiatan merewang mengambil tempat.

Perkara wajib iaitu nikah mengambil tempat pada sebelah malam, sebelum kenduri walimah pada keesokan harinya. Macam biasa, mengikut adat setempat yang baik dan mengundang pahala insyaALLAH, bacaan doa selamat dan tahlil akan diadakan sebelum ijab dan kabul, dan sudah tentunya jamuan makan untuk para tetamu.

Usai makan, mak Adriana berbual-bual dengan jiran-jiran tetangganya. Adriana lebih selesa tidak mencampuri perbualan mereka. Bukan tidak ada generasi kedua seperti Adriana yang turut sama berbual, tetapi Adriana seperti kera sumbang, tidak begitu menggemari bercampur gaul dengan mereka. Dulu masa kecil-kecil bukan main lagi bermain bersama seperti tidak mahu pulang ke rumah, tetapi apabila usia meningkat remaja, Adriana sudah berubah.

Apabila jam sudah melewati jam sebelas malam, Adriana sudah tidak keruan kerana dia mahu segera pulang ke rumah. Oleh itu, mak Adriana diajak pulang. Mak Adriana setuju dan mereka bersalaman dengan makcik-makcik dan kawan-kawan sepermainan ketika kecil dahulu. Secara seloroh, makcik Selamah bertanyakan akan bila agaknya dia hendak makan nasi minyak Adriana. Adriana tersenyum dan membalas kembali dengan memohon doa darinya. Tidak semena-mena makcik Luna yang duduknya agak jauh dari mereka yang berbual pendek tadi mencelah, katanya jangan risau, Adriana pasti akan menjemput makcik Selamah untuk rewang. Tanpa rasa bersalah sekali kenyataan tersebut dilontarkan. Motif???

Kenyataan tersebut tidak mampu dihadam oleh Adriana dan jelas terpancar perubahan pada wajahnya. Terasa terhina sekali. Apakah kerana Adriana tidak begitu bercampur dan jarang sekali turun padang semasa aktiviti rewang diadakan? Makcik Selamah menambah pula, katanya Adriana akan menggunakan perkhidmatan katering kerana Adriana orang kaya. Adriana mengaminkan sahaja kata-kata itu. Ya mana tahu akan mustajab.

Much love,
NJ :)


No comments:

Post a Comment