Syurga itu matlamat!

Syurga itu matlamat!

Saturday, March 15, 2014

Sketsa jiran tetangga 1

Seperti biasa, jika keluarga Jiman mengadakan kenduri tahlil sama ada dibuat di rumah atau dihantar ke surau, kegiatan rewang bersama jiran tetangga yang berdekatan akan mengambil tempat. Namanya pun kenduri, maka aktiviti masak memasak adalah dalam kuantiti yang banyak dan memerlukan periuk belanga yang besar. Perkara tersebut bukanlah satu masalah kerana surau di taman perumahan Jiman membenarkan penyewaan segala alatan memasak dan periuk belanga dengan bayaran yang sangat minimum.

Biasanya jiran Jiman, Leman namanya, mengetuai upacara masak memasak kerana kepakaran beliau yang tidak lagi dapat disangkal. Setelah meneliti kuali kepunyaan Jiman tidak mampu menampung kapasiti makanan yang hendak dimasak, maka Leman mengarahkan salah seorang anak Jiman iaitu Adriana untuk menyewa salah satu kuali milik surau di taman perumahan mereka. Dengan yakinnya Adriana mendapatkan kunci stor daripada bapanya Jiman yang juga AJK surau untuk mendapatkan kuali yang dimaksudkan. Yang pasti ‘kuali’ yang disebut oleh Leman dan ‘kuali’ juga yang didengar oleh Adriana, tetapi entah kenapa imej ‘periuk’ yang singgah di minda Adriana.

Maka, ‘periuk’ yang bersaiz besar jugalah yang dibawa pulang oleh Adriana untuk diberikan kepada Leman. Tanpa disangka, Leman menyangkal perbuatan Adriana dengan satu suara nyaringan yang hampir sekali didengari seluruh penduduk taman perumahan mereka. Maka helaian dan taburan ketawa pakcik dan makcik ahli rewang kenduri tahlil tersebut dalam tempoh masa yang lama mengiringi nyaringan suara si Leman. Ya, Adriana sangat malu. Terasa bodohnya diri dan terus terfikir, entah berapa lama perkara ini akan kekal di memori jiran tetangganya itu. Adriana kembali semula ke stor surau dan menggantikan periuk tersebut kepada kuali yang dimaksudkan.

Setelah kembali bersama kuali tersebut, ternyata topik perbualan masih lagi berkisarkan perbuatan memalukan diri sendiri oleh Adriana. Sungguh menyebalkan. Kemudian, Leman sendiri mendedahkan anak daranya, si Ida juga pernah disuruh mengambil daun kari, tetapi daun lain yang diambilnya. Adriana yang mendengar menahan gelak dan sempat lagi menempelak di dalam hatinya, adakah Ida bau seperti masakan rendang pada daun kari. Hahaha kenalpasti daun kari pun failed! Kemudian, ASTAGHFIRULLAH… Adriana tidak suka diketawakan kerana kesilapan yang dilakukan, tetapi dia sendiri melakukan perkara yang sama…

Usai Leman bercerita akan perihal anaknya itu, seluruh isi ahli rewang menyambutnya dengan hilai ketawa yang tidak kurang hebatnya. Apa yang mengejutkan, Leman menjadi sentap kerana anak daranya diketawakan sedemikian rupa dan mula menempelak mereka dengan mengatakan, ‘Amboi sakan ketawakan anak orang ye…! ‘


Hai la pakcik Leman, kau memalukan Adriana dengan satu teguran penuh high pitch tidak mengapa pula. Adriana pun berlalu daripada dapur rumahnya dengan keluhan berat dan makian yang terasa hendak dihamburkan tapi ditahan-tahan. 

Much love,
NJ :)

No comments:

Post a Comment