Syurga itu matlamat!

Syurga itu matlamat!

Thursday, March 20, 2014

Sketsa jiran tetangga 3

Sudah menjadi suratan Ilahi, Jiman dipanggil penciptanya ALLAH ROBBUL JALIL pada tengah malam yang hening. Seluruh ahli keluarga Jiman bagai sudah menjangka detik ini akan tiba dalam masa terdekat ini kerana ketua keluarga mereka sudah berada dalam keadaan tenat sejak empat hari lepas kerana kanser.

Sungguhpun begitu, air mata ini tetap tidak mampu untuk ditampung oleh mereka daripada terus mengalir. Kehilangan ahli keluarga terdekat adalah satu azab. Kematian membawa erti bahawa tiada lagi pertemuan di dunia ini. Oleh itu hanya rindu yang mengiringi.

Jiman menghembuskan nafasnya yang terakhir di hospital, di sisi isteri tercinta dunia dan akhirat dan anak-anak lelaki mereka seramai dua orang. Adriana bersama-sama kakak dan adiknya berada di rumah sudah mula membuat dan mengemas apa yang patut di rumah. Kehadiran tetamu untuk memberi penghormatan terakhir kepada arwah Jiman dan menziarahi ahli keluarganya sudah dijangka oleh Adriana dan adik-beradik perempuannya. Ya, menangis menangis juga, tetapi rumah juga perlu disiapkan untuk menerima kunjungan tetamu dan 'kepulangan' terakhir abah sebelum ke liang lahad.

Walau pun tengah malam, jiran-jiran tetangga ada yang sudi datang menghulurkan pertolongan dan memberi kata sabar dan nasihat. Adik Adriana, Diana namanya menangis terus-terusan. Diana yang bongsu, tentu tidak sama penerimaannya mengenai kematian abah yang disayanginya, berbanding adik-beradik lain yang lebih tua. Sedang adik-beradik perempuan Adriana mengemas dan menyusun semula kedudukan barang-barang di dalam rumah mereka bersama-sama jiran tetangga yang sudi menolong tersebut, tiba-tiba salah seorang anak jiran yang lebih dewasa daripada Diana, Angah panggilannya, menawarkan nasihat yang mengejutkan. Katanya dengan suara yang lantang melarang Diana terus menangis, serius sekali bunyinya. Sekali tengok persis ahli bijak pandai memberi nasihat kepada si jahil.

Mudahnya berkata-kata sedemikian rupa. Ya, meratap merintih akan kematian adalah dilarang dalam Islam, tetapi Islam juga tidak melarang untuk bersedih dan menangis seadanya. Tidak semua manusia mampu menahan air mata daripada terus mengalir apabila ahli keluarga terdekatnya meninggal dunia. Apakah wajar menempelak sedemikian rupa, sepertinya Angah itu pernah kematian ayah atau ibunya?

Apakah sama antara mata yang memandang, dengan bahu yang memikul???

Much love,
NJ :)

No comments:

Post a Comment